MEMPERTAHANKAN PMX DAN KERAJAAN PERPADUAN MADANI ADALAH KEWAJIPAN
Mempertahankan PMX dan Kerajaan Perpaduan MADANI adalah sebahagian daripada usaha mempertahankan Islam serta kepentingan rakyat, baik majoriti mahupun minoriti.
PMX dan Kerajaan Perpaduan MADANI ditubuhkan melalui perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Raja-Raja Melayu sebagai kuasa tertinggi negara yang mempunyai autoriti mutlak dalam pelantikan Perdana Menteri. Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah diperkenankan untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas cadangan Yang Di-Pertuan Agong supaya Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan perpaduan telah ditolak oleh pihak tersebut.
Dato’ Seri Anwar Ibrahim mematuhi titah Seri Paduka Baginda untuk merundingkan gabungan para wakil rakyat daripada Pakatan Harapan dan parti-parti lain sehingga berjaya mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen, lalu membolehkan penubuhan Kerajaan Perpaduan MADANI.
PMX memperkenalkan kerangka membangun Negara MADANI sebagai landasan utama dan panduan asas dalam pentadbiran negara yang berteraskan prinsip al-Qur’an dan Perlembagaan Madinah, serta digabungkan dengan elemen-elemen kontemporari dalam pengurusan moden negara. Pendekatan ini mengintegrasikan prinsip Islam dan prinsip pengurusan semasa bagi melengkapkan urus tadbir negara secara menyeluruh.
Melalui proses demokrasi dan berpandukan kerangka pentadbiran Kerajaan Perpaduan MADANI, pentadbiran negara dapat digerakkan dengan lebih baik serta memenuhi keperluan rakyat dan negara. Panduan yang jelas menerusi skrip membangun Negara MADANI menjadi asas dalam menangani pelbagai cabaran dan rintangan.
Dalam hampir tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan MADANI, pelbagai usaha telah dilakukan, antaranya: • Bantuan berperingkat kepada golongan fakir miskin untuk berusaha menoktahkan kemiskinan; • Kenaikan gaji penjawat awam; • Penyediaan keperluan asas melalui program Jualan Rahmah, • Pelaburan langsung asing oleh syarikat-syarikat gergasi, • Penstabilan nilai ringgit, • Bantuan tunai RM100 secara one-off melalui pembelian barang keperluan yang disenaraikan di kedai terpilih di seluruh negara kepada seluruh warga negara yang berumur 18 tahun dan ke atas • Penurunan harga minyak kepada RM1.95 seliter dan bantuan khas kepada negeri-negeri dan lain-lain lagi.
Berbanding dengan pentadbiran kerajaan PN sebelum ini yang menyaksikan dua kali pertukaran Perdana Menteri, pertambahan kementerian hanya demi memenuhi tuntutan parti-parti komponen, namun tiada pencapaian ketara. Malah, berlakunya ketirisan kewangan yang kini sedang disiasat oleh SPRM – melibatkan bekas PM, ahli keluarga menteri, dan pengarah syarikat. Seruan agar PMX meletakkan jawatan atas nama perjuangan Islam dan Melayu hanyalah taktik untuk mengaburi kegagalan dan kepincangan mereka sendiri yang sarat dengan amalan korupsi. Kita juga tidak pernah mendengar PN atau PAS menyatakan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Perpaduan MADANI dalam memerangi rasuah.
Parti PAS kini terpengaruh dengan fahaman politik Syiah seperti konsep Wilayat al-Faqih (kepimpinan ulama) yang bukan sebahagian daripada ajaran politik Ahlus Sunnah wal Jamaah. Perpecahan dalaman antara golongan ulama dan akademik melahirkan Parti Amanah sebagai alternatif. Fatwa politik oleh Tan Sri Haji Hadi pula cenderung kepada pendekatan Khawarij yang bertentangan dengan pendekatan fiqh Ahlus Sunnah wal Jamaah. Konsep Wilayat al-Faqih tiada dalam sejarah politik Islam Ahlus Sunnah, bahkan selepas zaman Khulafa’ al-Rasyidin, pemerintahan Islam menggabungkan kuasa Sultan dan peranan ulama – sebagaimana berlaku dalam sejarah Kesultanan Melayu hingga ke hari ini. Selain itu, pandangan Tan Sri Haji Hadi yang cenderung kepada aliran takfiri sesama Islam serta mengangkat proses pilihan raya melebihi ibadah umrah dan haji adalah keterlaluan dan menyimpang daripada pendirian para ulama muktabar Ahlus Sunnah. Tidak dapat dipastikan sama ada hukum-hukum ini dikeluarkan berdasarkan usul fiqh atau semata-mata didorong oleh kepentingan politik.
Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan, maka mempertahankan PMX dan Kerajaan Perpaduan MADANI adalah satu kewajipan. Ini kerana prinsip amar makruf nahi mungkar yang diusahakan berjalan seiring dalam memperjuangkan maslahat rakyat dan negara. Sebaliknya, mereka yang mahu menjatuhkan PMX boleh membawa mudarat yang lebih besar berdasarkan bukti-bukti kegagalan semasa mereka mentadbir – tanpa sebarang perancangan jelas untuk pembangunan negara, sebaliknya hanya menjaga kepentingan kelompok sendiri dan mengumpul kekayaan.
Oleh itu, mempertahankan kedudukan PMX sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan MADANI adalah KEWAJIPAN dari segi hukum dan akal, demi mengekalkan kemaslahatan untuk umat dan negara serta menolak segala bentuk kemudaratan yang dibawa oleh golongan yang kini mahu meruntuhkan Kerajaan Perpaduan MADANI.
Daripada Ibn Umar r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Wajib bagi setiap Muslim patuh dan taat (kepada pemimpin) pada apa yang dia suka dan dia benci, selagi mana dia tidak diperintah melakukan maksiat. Justeru apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi kewajipan untuk patuh dan taat.” Riwayat Bukhari dan Muslim
Sekian,
Dr Abdul Halim El Muhammady Pengerusi Pertubuhan Majlis Murabbi Madani
Semangat Ummatik Dalam Agenda Pemberdayaan Ekonomi Umat PUTRAJAYA, 22 Oktober 2025 — Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman menegaskan bahawa Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) perlu terus menjadi institusi pemangkin yang menjelmakan semangat Ummatik dalam setiap agenda pemberdayaan ekonomi umat. Berucap dalam Program Bicara Madani: YAPEIM dan Semangat […]
Penyerahan Memorandum Sokong Usaha Perdana Menteri Bawa Suara Malaysia di Pentas Dunia PUTRAJAYA, 24 Oktober 2025 — Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menegaskan sokongan kukuh terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam membawa suara Malaysia ke pentas antarabangsa, khususnya bersempena pertemuan rasmi beliau bersama Presiden Amerika Syarikat dalam rangka Persidangan US–ASEAN melalui penyerahan Memorandum […]
Pemikiran Siddiq Fadzil Pendorong Kebangkitan Islam dan Masyarakat Malaysia Madani Kota Bharu, 11 Oktober 2025 – “Umat Islam mesti bangkit dengan pemikiran yang kritikal dan berasaskan ilmu, bukan sekadar menghafal tanpa memahami.” Demikian antara penegasan penting disampaikan oleh YB Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Redzuan Othman, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan […]
Diskusi 2 Seminar Pemikiran Siddiq Fadzil Kelantan 2025: Pemikiran Islam Progresif Menafsir Warisan Dalam Konteks Semasa Kota Bharu, 11 Oktober 2025 – Pembentangan oleh Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Ustaz Hasri Harun, dalam Diskusi 2 Seminar Pemikiran Siddiq Fadzil sempena Muktamar WADAH Negeri Kelantan Kali Ke-19 dengan tema “Pemikiran Islam Progresif: Menafsir Warisan […]