PENYALAHGUNAAN QUNUT NAZILAH DAN FITNAH QAZAF

Kongsikan artikel ini :

PENYALAHGUNAAN QUNUT NAZILAH DAN FITNAH QAZAF: MENCALAR MARUAH ISLAM DAN MEMECAH BELAH UMMAH

Kenyataan Media 30 Julai 2025

WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) memandang serius penyalahgunaan amalan Qunut Nazilah dan penyebaran tuduhan melampau dalam himpunan awam, khususnya insiden terbaru semasa Demonstrasi Baju Hitam pada Sabtu lepas, 26 Julai 2025 di Dataran Merdeka, KL. Dalam perhimpunan tersebut telah wujud dua kesalahan yang amat membimbangkan menyalahi akhlak dan sikap sebagai seorang Muslim yang berpegang kepada Al-Quran dan Sunnah.

  1. Penyalahgunaan Qunut Nazilah:

Bacaan Doa Qunut Nazilah oleh YB Tuan Zulkifli Ismail, sebagai seorang wakil rakyat telah diselewengkan penggunaannya. Qunut Nazilah merupakan amalan doa yang diajar oleh Rasulullah SAW dalam situasi musibah besar seperti penindasan terhadap umat Islam atau serangan dari musuh luar. Namun, penggunaannya secara terbuka dalam himpunan politik untuk mendoakan keburukan kepada pemimpin Muslim atas dasar perbezaan politik adalah penyelewengan terhadap maksud sebenar syariat, mencemarkan kesucian doa, dan melahirkan budaya laknat yang membinasakan ukhuwah.

  1. Kesalahan Qazaf oleh Dato’ Ibrahim Ali:

Dalam demonstrasi yang sama, Dato’ Ibrahim Ali telah secara terang-terangan menuduh seorang pemimpin negara dengan perlakuan liwat dan perlakuan seks songsang tanpa mengemukakan bukti atau empat orang saksi seperti yang ditetapkan oleh hukum Islam. Ia juga bersalahan dengan asas Islam dalam memelihara maruah. Kenyataan beliau juga adalah bersalahan dengan fakta-fakta kes terkait dengan Dato Seri Anwar Ibrahim sebelum ini yang didapati tidak bersalah dan telah dibebaskan. Menurut mazhab Jumhur ulama, tuduhan liwat ke atas seseorang adalah kesalahan qazaf, jika tidak dibuktikan dengan empat orang saksi lelaki atau pengakuan ikrar orang yang dituduh.

Daripada kitab al-Mausu`ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (33/9):

وَمَنْ قَذَفَ رَجُلاً بِعَمَل قَوْمِ لُوطٍ إِمَّا فَاعِلاً أَوْ مَفْعُولاً، فَعَلَيْهِ حَدُّ الْقَذْفِ؛ لأِنَّهُ قَذَفَهُ بِوَطْءٍ يُوجِبُ الْحَدَّ، فَأَشْبَهَ الْقَذْفَ بِالزِّنَا

، وَهَذَا قَوْل الْحَسَنِ وَالنَّخَعِيِّ، وَالزُّهْرِيِّ وَمَالِكٍ وَالشَّافِعِيِّ، وَأَحْمَدَ وَأَبِي يُوسُفَ، وَمُحَمَّدِ بْنِ الْحَسَنِ وَأَبِي ثَوْرٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menuduh seorang lelaki dengan perbuatan kaum Lut, sama ada dengan tuduhan sebagai peliwat atau yang diliwat, maka ke atas orang yang menuduh itu hukuman had qazaf. Ini kerana dia menuduh seseorang melakukan persetubuhan yang mewajibkan hukuman had, maka ia menyerupai tuduhan qazaf dengan zina. Inilah pendapat al-Hasan, al-Nakhaie, al-Zuhri, Malik, al-Syafie, Ahmad, Abu Yusuf, Muhammad bin Hasan, dan Abu Thaur.” (Sumber: Bayan Linnas Siri 183, SS Mufti Wilayah Persekutuan).

Tujuan hukuman yang berat dikenakan terhadap para penabur fitnah dan penyebar aib seseorang khususnya isu qazaf adalah bagi menyekat mereka yang suka menjadikan celaan berbentuk tuduhan seksual agar tidak meneruskan amalan jahat dalam menjatuhkan dan memalukan sesama orang Islam.

Kesalahan ini bukan sahaja berdosa dari sudut agama, malah memperlihatkan kejahilan dan keangkuhan yang memalukan dalam wacana politik umat Islam.
WADAH dengan tegas menyeru agar semua pihak, khususnya agamawan, pendakwah dan pemimpin masyarakat:

  1. Menghentikan penggunaan Qunut Nazilah sebagai alat politik untuk menyerang pihak tertentu.
  2. Menjaga adab dan batas hukum dalam berbeza pandangan, selari dengan akhlak Rasulullah SAW.
  3. Menolak budaya fitnah dan qazaf, yang menodai maruah peribadi serta mencetuskan dosa besar dalam masyarakat.
  4. Mendoakan petunjuk dan kebaikan buat pemimpin, bukan kebinasaan, selaras dengan roh nasihat yang diajarkan Nabi SAW.
  5. Memelihara perpaduan umat, bukan membuka ruang kepada musuh Islam dengan pertelingkahan sesama sendiri.

Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan buruk dalam kalangan orang yang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat.” (Surah al-Nur: 19)

Dan sabda Nabi SAW:
“Agama itu nasihat.” Sahabat bertanya, “Untuk siapa wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Untuk Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin Muslim dan umat Islam keseluruhannya.” (Riwayat Muslim)

WADAH menegaskan bahawa Qunut Nazilah bukan alat laknat, dan politik Islam bukan medan maki hamun serta fitnah murahan. Kami menyeru agar semua kembali ke jalan wasatiyyah, menyuburkan hikmah dan membina perpaduan.

Hasri bin Harun
Timbalan Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia

Kenyataan Media|Kenyataan Media - BM

Simposium Fikrah Siddiq Fadzil 2026 Himpun 50 Tajuk Kajian di UNISEL: Kupas Gagasan ‘Siddiq Fadzil & Negara Madani’ Demi Masa Depan Ummah

BESTARI JAYA, 7 Oktober 2026 – Memugar khazanah pemikiran tokoh cendekiawan agung watan dan menterjemahkannya ke dalam kerangka pembinaan negara bangsa menjadi matlamat utama penganjuran Simposium Fikrah Siddiq Fadzil (SAF) 2026 yang melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya di Dewan Senat, Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Bestari Jaya hari ini. Simposium keilmuan berprestij anjuran Institut Pemikiran dan […]

Baca Lanjut
al-mizan

Bengkel Strategik Isu Perundangan Majlis Al-Mizan WADAH: Rangka Pelan Tindakan Bersepadu Tangani Cabaran Perundangan Semasa

BANGI, 6 Oktober 2026 – Memperkukuh literasi undang-undang, memelihara keluhuran perlembagaan, serta menyediakan respons berstruktur terhadap isu-isu keadilan sosial menjadi fokus utama penganjuran Bengkel Strategik Isu Perundangan di Malaysia anjuran Majlis Al-Mizan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Program intensif setengah hari ini telah berlangsung dengan jayanya bermula jam 8.45 pagi hingga 12.30 tengah hari. Inisiatif […]

Baca Lanjut
presiden wadah uniw

Presiden WADAH Gesa NGO Dunia Islam Melangkaui Deklarasi, Umum Penubuhan Pusat Inisiatif Strategik

PUTRAJAYA, 25 September 2026 — Pertemuan para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sedunia tidak seharusnya terhenti sekadar di meja rundingan, bergambar atau mengeluarkan deklarasi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kefahaman dunia yang jernih serta tindakan bersama yang praktikal. Demikian ditegaskan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, ketika menyampaikan […]

Baca Lanjut
wadah uniw

WADAH Tuan Rumah Mesyuarat Majlis Ke-40 Kesatuan NGO Dunia Islam (UNIW) di Putrajaya

PUTRAJAYA — Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melakar satu lagi detik bermakna di pentas antarabangsa apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Majlis Ke-40 Kesatuan Pertubuhan Bukan Kerajaan Dunia Islam (Union of NGOs of the Islamic World – UNIW / İDSB) yang berlangsung di Putrajaya bermula 24 hingga 27 September 2026. Penganjuran persidangan berprestij […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
2663
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
855229
PERSATUAN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
ROS : PPM-003-10-11902005
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi
Klik Sini