KEADILAN UNTUK ADIK ZARA QAIRINA: RAKYAT PERLU TENANG, ELAK BERITA FITNAH DAN HORMATI PROSES UNDANG-UNDANG
Kenyataan Media 11 Ogos 2025
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan tegas YAB Perdana Menteri bahawa tiada individu akan dilindungi sekiranya terlibat dalam kes kematian adik Zara Qairina di Sabah, tanpa mengira pangkat atau status. Prinsip keadilan mesti ditegakkan dan kebenaran perlu didedahkan, demi menghormati nyawa yang tidak bersalah.
Bagi setiap ibu bapa, keselamatan anak adalah amanah paling berharga. Walaupun anak hanya demam biasa, hati ibu bapa pasti bimbang. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang menghantar anak ke asrama dengan harapan untuk masa depan cerah, tentu mengharapkan persekitaran yang selamat.
Tragedi kehilangan ini amat perit, apatah lagi jika berpunca daripada buli atau dera. Ia bukan sekadar meninggalkan luka di hati keluarga, tetapi juga mencetuskan trauma kepada seluruh masyarakat. Namun, dalam menghadapi ujian ini, WADAH menyeru rakyat Malaysia untuk bersabar, bertenang, dan bersikap objektif, memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus.
WADAH mengingatkan semua pihak agar tidak menyebarkan berita yang tidak disahkan atau berunsur fitnah. Kesedihan keluarga mangsa tidak wajar dijadikan bahan sensasi atau modal politik. Nyawa yang terkorban bukan permainan untuk diperalatkan.
Masyarakat diseru agar jangan biarkan mana-mana pihak mengambil kesempatan isu ini untuk mengadu domba ke arah kepentingan politik.
Pihak berkuasa terutama pihak Polis perlu memaklumkan perkembangan dengan jelas dan hendaklah disalurkan segera kepada masyarakat melalui media rasmi agar tidak menimbulkan polemik.
WADAH turut menyatakan sokongan kepada YB Menteri Pendidikan yang berdepan cabaran besar memastikan keselamatan pelajar di sekolah dan asrama. Tragedi ini menjadi peringatan bahawa isu buli, penderaan dan tekanan emosi di kalangan pelajar mesti ditangani secara menyeluruh.
Sehubungan itu, WADAH:
Mendukung tindakan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan inklusif.
Menegaskan perlunya tindakan tegas terhadap pelaku, tanpa mengira pangkat, kedudukan atau pengaruh.
Mendesak pengukuhan sistem keselamatan pelajar di sekolah dan asrama, termasuk langkah pencegahan buli dan dera yang berkesan.
Mengajak masyarakat untuk menunggu hasil siasatan rasmi dan tidak mudahterpengaruh dengan khabar angin atau spekulasi yang boleh menjejaskan proses keadilan.
Memperkukuh sistem pencegahan dan pemantauan di sekolah dan asrama melalui latihan kepada guru, warden, kaunselor serta pembabitan ibu bapa.
Memperluas akses kaunseling bagi pelajar yang mengalami tekanan emosi, termasuk mewujudkan talian sokongan dan program bimbingan rakan sebaya.
Memupuk budaya hormat dan kasih sayang sesama pelajar melalui pendidikan nilai, kempen kesedaran, dan aktiviti berasaskan perpaduan.
Mengukuhkan saluran aduan rahsia supaya pelajar berani melaporkan kes buli atau penderaan tanpa rasa takut.
WADAH berdiri teguh bersama keluarga Allahyarhamah dalam menuntut kebenaran dan keadilan. Keselamatan pelajar adalah tanggungjawab bersama, dan budaya buli serta dera mesti dihapuskan sepenuhnya daripada institusi pendidikan negara.
WADAH sekali lagi menyeru rakyat untuk bersabar, bertenang dan bersikap objektif, memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus, serta mengelak daripada menyebarkan berita tidak sahih atau berunsur fitnah.
Kami berdiri teguh bersama keluarga Allahyarhamah dalam mencari kebenaran, dan akan terus mendukung usaha kerajaan serta KPM untuk memastikan keselamatan pelajar dan menghapuskan budaya buli di institusi pendidikan.
Azizuddin Ahmad Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
WADAH MENGUTUK ESKALASI SERANGAN TERHADAP INFRASTRUKTUR TENAGA IRAN & AMARAN KRISIS GLOBAL KENYATAAN MEDIA 19 MAC 2026 Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah susulan serangan ke atas FASILITI GAS SOUTH PARS MILIK IRAN—antara medan gas terbesar dunia—yang kini mencetuskan risiko besar kepada keselamatan tenaga global […]
WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI KENYATAAN MEDIA19 Mac 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor WADAH menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Muslim dan Hindu yang bertujuan mencari titik damai serta meredakan ketegangan antara agama dalam negara. Usaha ini […]
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]