MENYOKONG IKHTIAR EKONOMI MADANI UNTUK RAKYAT: SATU LANGKAH MENSEJAHTERAKAN UMMAH
Kenyataan Media 23 Julai 2025
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, dalam ucapan bertajuk Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia pada 23 Julai 2025. Ucapan ini bukan sekadar menyampaikan pencapaian ekonomi yang membanggakan, malah turut memaparkan iltizam Kerajaan untuk menegakkan prinsip keadilan sosial, menjamin kesejahteraan rakyat dan mengangkat martabat golongan rentan – selari dengan semangat Islam yang mengutamakan maqasid syariah serta nilai-nilai MADANI.
WADAHmenyambut baik pencapaian ekonomi negara yang kian meyakinkan termasuk pertumbuhan KDNK, pengukuhan ringgit, peningkatan pelaburan dan pengiktirafan antarabangsa terhadap kedudukan daya saing negara. Namun yang lebih penting, segala manfaat ini telah diterjemah secara nyata kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif seperti peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,700, peluasan peluang pekerjaan, serta langkah memperkasakan GLC dan GLIC dalam memastikan gaji kehidupan wajar dilaksanakan. Usaha menoktahkan kemiskinan tegar yang dijelmakan menerusi pelancaran Sejahtera MADANI turut menunjukkan kesungguhan Kerajaan dalam membela golongan yang paling terkesan.
WADAH melihat semua langkah ini sebagai cerminan kepada nilai-nilai Islam dalam pentadbiran—di mana keadilan (al-‘adl), belas ihsan (rahmah) dan tanggungjawab sosial (mas’uliyyah) menjadi tunjang. Firman Allah SWT:
“Dan Kami hendak berihsan dengan memberikan pertolongan kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan hendak menjadikan mereka pemimpin-pemimpin, serta hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi..” (Surah al-Qasas: 5).
Dalam konteks ini, kerajaan telah menunjukkan keazaman untuk menjadikan rakyat sebagai pewaris pembangunan negara.
Pelbagai bentuk bantuan langsung turut diperluas termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), bantuan kebajikan kepada warga emas dan kanak-kanak keluarga miskin, serta insentif kepada pesawah dan pekebun kecil. Langkah kerajaan melancarkan Sekolah Angkat MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sejati MADANI menunjukkan pendekatan holistik dalam membina kesejahteraan dari akar umbi—dengan menanam benih ekonomi komuniti serta memacu pendidikan anak bangsa dengan kerjasama sektor korporat.
WADAHturut menyambut baik pengumuman bantuan tunai RM100 secara one-off kepada semua warganegara dewasa bersempena Hari Kebangsaan, yang bakal memberi manfaat kepada 22 juta rakyat. Langkah ini bersifat inklusif, adil dan menzahirkan penghargaan kepada rakyat yang terus bersama Kerajaan dalam proses reformasi. Tambahan cuti umum sempena Hari Malaysia, peluasan Jualan Rahmah MADANI, penangguhan kenaikan tol, serta penstrukturan subsidi RON95 yang bakal menurunkan harga petrol kepada RM1.99 seliter juga jelas menunjukkan keutamaan rakyat didahulukan.
Dalam suasana negara yang sedang memperkukuh asas kemakmuran dan kesejahteraan bersama, WADAH menyeru seluruh rakyat agar menolak sebarang usaha atau ajakan negatif daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang cuba mengadu domba, memecah-belahkan masyarakat dan mengganggu usaha pembaharuan negara. Ketika kita berusaha membina masa depan yang lebih baik, perpaduan dan kesatuan ummah adalah kunci kejayaan bersama.
WADAH menaruh harapan besar agar Belanjawan MADANI Keempat yang akan dibentangkan pada Oktober 2025 nanti terus menzahirkan semangat ta’awun (tolong-menolong), istiqamah dalam reformasi, serta iltizam membina negara yang adil dan sejahtera—berpaksikan syariat Islam dan nilai kemanusiaan sejagat.
Akhir kalam, WADAHmenyeru seluruh warga Malaysia agar terus mendukung usaha reformasi ekonomi dan sosial yang dirangka di bawah kerangka MADANI. Sesungguhnya, dalam keprihatinan yang dipamerkan ini terdapat roh maqasid syariah – demi menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta seluruh rakyat Malaysia. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya..” (Surah al-Nahl,16: 90)
“MENGANGKAT MARTABAT UMAT”
Azizuddin Ahmad, Setiausaha Agung, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]
Sungai Gabai, 14 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Yayasan Taqwa telah melaksanakan Program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) di Kampung Orang Asli Sungai Gabai sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat Orang Asli serta memperkukuh hubungan silaturahim bersama komuniti setempat. Program tersebut turut melibatkan penyertaan pelajar latihan industri yang bersama-sama turun […]
Sungai Merab, 10 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Pusat Infaq WADAH telah melaksanakan Projek Bubur Lambuk 2026, mengedarkan 700 bekas bubur lambuk kepada pelbagai komuniti, institusi dan agensi sekitar. Program ini bukan sahaja menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat, tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah, mengeratkan semangat gotong-royong, dan […]