WADAH MENYAMBUT BAIK USAHA DAMAI IRAN–AS, SERU PELAN KOMPREHENSIF KEAMANAN SERANTAU DAN KEADILAN UNTUK PALESTIN
April 9th, 2026
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
Kenyataan Media 9 April 2026
WADAH mengalu-alukan perkembangan positif dalam konflik Amerika Syarikat–Iran melalui cadangan pelan sepuluh perkara yang dikemukakan oleh Iran dan diterima secara konstruktif oleh pihak Amerika Syarikat.
Perkembangan ini merupakan satu sinar harapan ke arah meredakan ketegangan geopolitik yang berlarutan serta membuka ruang kepada pembinaan semula keamanan dan kestabilan di rantau Timur Tengah yang sekian lama bergolak. WADAH berpandangan bahawa usaha ke arah dialog dan rundingan secara berterusan adalah satu-satunya jalan yang bermaruah dan berkesan dalam menyelesaikan konflik yang kompleks ini.
Sehubungan itu, WADAH menegaskan bahawa sebarang proses rundingan mestilah dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, ketelusan dan komitmen terhadap prinsip keadilan sejagat. Rundingan yang dicemari dengan muslihat, kepentingan sempit dan “double-dealing” hanya akan menggagalkan usaha damai dan mengheret dunia ke dalam krisis yang lebih besar.
WADAH turut menyokong gesaan agar pelan sepuluh perkara ini diterjemahkan kepada suatu kerangka perjanjian damai yang lebih menyeluruh, meliputi negara-negara yang terkesan secara langsung seperti Iraq, Lebanon dan Yemen. Pendekatan bersifat serantau ini amat penting bagi memastikan keamanan yang dibina adalah lestari dan tidak bersifat sementara.
Dalam masa yang sama, WADAH menegaskan bahawa sebarang usaha damai di Timur Tengah tidak akan lengkap tanpa penyelesaian yang adil terhadap isu Palestin. Tindakan berterusan yang membawa kepada pembunuhan, penindasan dan pelucutan hak rakyat Palestin, khususnya di Gaza, mesti dihentikan segera. Keadilan untuk Palestin bukan sekadar tuntutan politik, tetapi satu kewajipan moral dan kemanusiaan sejagat.
WADAH juga merakamkan penghargaan kepada usaha diplomasi berani yang ditunjukkan oleh Pakistan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Shehbaz Sharif dalam menjayakan ruang dialog antara pihak-pihak yang bertelagah. Pendekatan ini mencerminkan semangat solidariti dunia Islam dan tanggungjawab bersama dalam mempromosikan keamanan global.
Malaysia, melalui kepimpinan Perdana Menteri, telah menunjukkan peranan penting sebagai suara sederhana yang berprinsip dalam arena antarabangsa. WADAH menyokong sepenuhnya komitmen Malaysia untuk terus menyumbang kepada usaha damai dan diplomasi pelbagai hala.
Cadangan WADAH: Penubuhan “Majlis Dialog Keamanan Timur Tengah (MDKTT)” Berteraskan Negara-Negara Berkecuali
Sebagai langkah ke hadapan, WADAH mencadangkan penubuhan satu platform diplomasi tetap iaitu Majlis Dialog Keamanan Timur Tengah (MDKTT) yang dianggotai oleh negara-negara berkecuali termasuk Malaysia, Turkiye, Qatar dan Pakistan. Majlis ini berperanan sebagai:
• fasilitator rundingan berterusan,
• pemantau pelaksanaan perjanjian damai, dan
• penyelaras bantuan kemanusiaan serantau.
Platform ini penting bagi memastikan proses damai tidak bersifat episodik, sebaliknya berterusan, inklusif dan bebas daripada dominasi kuasa besar.
Akhirnya, WADAH menyeru agar komuniti antarabangsa memastikan akses bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan kepada semua mangsa konflik. Dunia tidak boleh lagi berdiam diri terhadap penderitaan rakyat awam yang tidak berdosa.
Semoga perkembangan ini menjadi titik perubahan ke arah keamanan yang berkekalan dan berteraskan keadilan.
“Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka cenderunglah kepadanya dan bertawakallah kepada Allah.” (Surah Al-Anfal: 61)
Dato’ Ahmad Azam Abdul Rahman Presiden Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]
Sungai Gabai, 14 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Yayasan Taqwa telah melaksanakan Program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) di Kampung Orang Asli Sungai Gabai sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat Orang Asli serta memperkukuh hubungan silaturahim bersama komuniti setempat. Program tersebut turut melibatkan penyertaan pelajar latihan industri yang bersama-sama turun […]
Sungai Merab, 10 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Pusat Infaq WADAH telah melaksanakan Projek Bubur Lambuk 2026, mengedarkan 700 bekas bubur lambuk kepada pelbagai komuniti, institusi dan agensi sekitar. Program ini bukan sahaja menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat, tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah, mengeratkan semangat gotong-royong, dan […]