WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI
March 19th, 2026
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI
KENYATAAN MEDIA 19 Mac 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor
WADAH menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Muslim dan Hindu yang bertujuan mencari titik damai serta meredakan ketegangan antara agama dalam negara. Usaha ini merupakan langkah penting dan berani dalam memperkukuh keharmonian masyarakat majmuk Malaysia yang berteraskan nilai saling menghormati dan kefahaman bersama.
WADAH berpandangan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama perlu terus mengangkat prinsip “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”, iaitu mengiktiraf perbezaan sebagai kekuatan yang memperkayakan kehidupan bersama, bukan sebagai sumber perpecahan. Dalam konteks ini, konsep peaceful coexistence atau kehidupan bersama secara damai mesti dijadikan asas dalam membina masa depan negara yang stabil dan sejahtera.
Sejajar dengan pemikiran almarhum Prof. Dr. Siddiq Fadzil, WADAH menegaskan kepentingan membudayakan “budaya damai”, iaitu pendekatan yang menolak konflik, mengutamakan hikmah, serta mengangkat nilai dialog, keadilan dan ihsan dalam mengurus kepelbagaian. Budaya damai ini harus diterjemahkan dalam tindakan nyata melalui pertemuan, perbincangan, dan kerjasama antara komuniti secara berterusan.
WADAH turut menekankan bahawa semangat dialog tidak boleh bersifat bermusim atau reaktif semata-mata, tetapi perlu dijadikan sebagai amalan berterusan dalam kehidupan bermasyarakat. Dialog yang jujur, terbuka dan beradab adalah kunci untuk membina kepercayaan serta mengelakkan salah faham yang boleh mencetuskan ketegangan.
Dalam hal ini, WADAH komited untuk memainkan peranan aktif melalui jaringan sedia ada, termasuk kerjasama dengan gabungan pertubuhan seperti HIKAM, bagi memperkukuh usaha membina jambatan persefahaman antara agama dan kaum.
Pendekatan kolaboratif ini penting untuk memastikan usaha perpaduan tidak bersifat terasing, tetapi digerakkan secara menyeluruh merentasi pelbagai lapisan masyarakat.
WADAH berpandangan bahawa usaha memperkukuh keharmonian antara agama ini perlu dijadikan sebagai matlamat jangka panjang negara, bukan sekadar respons kepada krisis semasa. Ia menuntut komitmen berterusan semua pihak untuk membina budaya saling memahami, mendidik masyarakat tentang kepelbagaian, serta memupuk kesedaran bahawa keamanan sosial adalah asas kepada kestabilan negara.
Pada masa yang sama, WADAH dengan tegas menolak sebarang bentuk sikap fanatik, ghuluw (melampau) dan aliran keras yang boleh merosakkan keharmonian masyarakat serta mencetuskan kebencian antara komuniti. Pendekatan ekstrem sedemikian bukan sahaja bertentangan dengan nilai agama, malah mengancam kestabilan sosial dan masa depan negara.
WADAH menyeru semua pihak – termasuk pemimpin masyarakat, institusi agama, NGO, media dan rakyat keseluruhannya – untuk terus menyokong dan memperluaskan ruang dialog, memperkukuh kefahaman antara budaya, serta bersama-sama membina Malaysia yang berteraskan keamanan, keadilan dan perpaduan dalam kepelbagaian.
“Kepelbagaian adalah anugerah, dan kesatuan adalah tanggungjawab bersama.”
“MENGANGKAT MARTABAT UMAT”
AZIZUDDIN AHMAD SETIAUSAHA AGUNG WADAH (016-3383249)
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]
Sungai Gabai, 14 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Yayasan Taqwa telah melaksanakan Program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) di Kampung Orang Asli Sungai Gabai sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat Orang Asli serta memperkukuh hubungan silaturahim bersama komuniti setempat. Program tersebut turut melibatkan penyertaan pelajar latihan industri yang bersama-sama turun […]
Sungai Merab, 10 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Pusat Infaq WADAH telah melaksanakan Projek Bubur Lambuk 2026, mengedarkan 700 bekas bubur lambuk kepada pelbagai komuniti, institusi dan agensi sekitar. Program ini bukan sahaja menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat, tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah, mengeratkan semangat gotong-royong, dan […]