UCAPAN PRESIDEN DI MAJLIS PELUNCURAN DUA KARYA HEBAT
December 4th, 2024
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
UCAPAN PRESIDEN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) SEMPENA MAJLIS PELUNCURAN BUKU DITULIS OLEH ALLAHYARHAM DR. RAZALI NAWAWI DAN ALLAHYARHAM PROF. DR. KAMAL HASSAN
Alhamdulillah, dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT, kita dapat bersama-sama dalam majlis penuh bermakna ini untuk meluncurkan buku hasil karya besar Allahyarham Dr. Razali Nawawi dan Allahyarham Prof. Dr. Kamal Hassan.
Pertama sekali, izinkan saya mewakili Wadah mengucapkan tahniah kepada Kerajaan Madani pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas pencapaian cemerlang selama dua tahun ini. Prestasi yang membanggakan ini adalah manifestasi keutuhan kepimpinan yang mengutamakan nilai-nilai Madani.
Sebagai sebuah pertubuhan, WADAH akan terus menjadi rakan strategik dan pendokong setia kerajaan dalam menjayakan agenda Malaysia Madani melalui gerakan Nahdah Umat yang bertujuan menyemai kefahaman dan pembangunan ummah berlandaskan fikrah Islam yang syumul.
Kami juga percaya bahawa kepimpinan YAB Dato’ Seri adalah anugerah terbaik Allah SWT kepada umat. Bersama, kita memberi dokongan padu untuk memperkasa dakwah dan ummah, bukan sahaja di peringkat nasional tetapi juga di pentas global.
Wadah kini aktif bergerak ke akar umbi melalui program Tunas Nahdah bagi mendidik dan menyantuni masyarakat. Selain itu, kami sedang memperkasa penerbitan ilmiah dakwah sebagai medium untuk mendidik fikrah Madani dalam kalangan umat.
Kerjasama Wadah dengan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) juga telah membuka jalan untuk memperluaskan fikrah Madani yang diilhamkan oleh tokoh-tokoh besar seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dan Allahyarham Siddiq Fadzil. Dalam masa yang sama, kami ingin menyarankan agar fikrah Allahyarham Dr. Razali Nawawi dan tokoh seumpamanya seperti Mohammad Natsir diperkasakan serta dijadikan rujukan penting dalam membangunkan kefahaman Madani di seluruh negara.
Di era yang mencabar ini, kita bersama bertanggungjawab mendidik umat daripada pengaruh pemikiran agama yang ekstrim. Fikrah Allahyarham Dr. Razali Nawawi, Perjuangan Bapak Mohammad Natsir dan sumbangan keilmuwan Allahyarham Prof Tan Sri Mohammad Kamal Hassan, boleh menjadi penawar terbaik kepada cabaran ini. 3 TOKOH ini banyak memberi impak kepada perjalanan DAKWAH di Malaysia sejak dari tahun 70an lagi.
Selain itu, pada Muktamar Nasional Wadah (MUKNAS) Oktober 2024, Wadah telah meresolusikan penubuhan Madani Centre for ASEAN Community: Social Innovation and Development (MACSID). Penubuhan ini adalah bukti komitmen bersama para ilmuwan serantau yang hadir untuk mengukuhkan kerjasama dalam membangun masyarakat ASEAN yang inklusif, berdaya saing, dan harmoni. Penubuhan MACSID menjadi signifikan menjelang tahun 2025 apabila YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan sebagai Pengerusi ASEAN.
Pusat ini akan memainkan peranan penting sebagai hab intelektual untuk mengembangkan wacana Madani, menyokong inisiatif dakwah, dan membangun model pembangunan sosial inovatif yang boleh dijadikan rujukan negara-negara ASEAN. Kesepakatan juga dipersetujui dengan mengaktifkan Komuniti ASEAN dalam menggerakkan usaha-usaha DAKWAH melalui penglibatan institusi MASJID di seluruh negara ASEAN bersama NGO lokal setiap negara yang WADAH telah sedia ada jaringannya.
Malam ini, Wadah juga berbesar hati melancarkan Tabung Amanah Penerbitan Dakwah, bertujuan menyebarkan fikrah Madani para tokoh dakwah ummah. Kami menyeru semua hadirin untuk bersama-sama menyokong usaha ini demi mencerdaskan umat melalui tulisan. Dana untuk WADAH PRESS ini akan digunakan untuk menerbitkan buku-buku perjuangan, projek terjemahan dan penyebaran penulisan tokoh-tokoh sebagai misi pencerahan dan pencerdasan umat.
Sebagai kenangan peribadi, Allahyarham Ustaz Dr. Razali Nawawi adalah sosok yang amat menekankan kepentingan dakwah ilmiah. Terima kasih kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah dan Dr. Muhammad Nor Manuty atas kata pengantar yang penuh bermakna serta sokongan terhadap penerbitan buku ini. Dato Seri, mohon disampaikan ucapan SELAMAT HARI LAHIR kepada Kak Wan yang menyambut hari jadinya pada hari ini. Perjuangan bersama WADAH ABIM PKPIM bersama Kak Wan sejak dari dahulu melalui pelbagai cabaran perjuangan amatlah besar ertinya bersama.
Ucapan penghargaan juga kepada pasukan penyuntingan buku dan pihak Aras Mega yang menaja penerbitannya. Peranan ARAS MEGA amat cukup bermakna menaja Makan Malam kita pada hari ini dan penglibatan bermakna Tuan Haji Abdul Rahman Karim sejak hampir 30 tahun bersama kita. Beliau merupakan syarikat Melayu yang boleh kita banggakan sebagai pemimipin syarikat Melayu penerbitan dalam menerbitkan buku-buku pendidikan, ilmiah dan juga buku-buku perjuangan tokoh-tokoh gerakan kita. WADAH juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada penyumbang- penyumbang awal DANA Tabung Amanah Penerbitan Dakwah @ WADAH PRESS. Saya menyeru warga Wadah untuk menganjurkan wacana buku ini secara meluas. Di samping itu, kami berharap agensi- agensi kerajaan akan membeli dan mengedarkan buku ini ke perpustakaan awam dan sekolah sebagai bahan bacaan generasi muda. Ahli-ahli politik juga perlu mendalami fikrah Madani Allahyarham Dr. Razali Nawawi dan Mohammad Natsir untuk memahami panduan kepimpinan berteraskan nilai-nilai Islam yang progresif.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama bertekad untuk memperkasa dakwah dan pembangunan ummah demi mencapai visi Malaysia Madani. Sekian, wa billahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
MAJLIS PENYERAHAN SUMBANGAN MANGSA BANJIR SG MERAB Majlis Penyerahan Sumbangan Mangsa Banjir Sungai Merab telah berjaya dilaksanakan pada 11 Januari 2025 di Dewan Kuliah Anjung Rahmat dengan kehadiran pelbagai pihak yang prihatin terhadap kebajikan masyarakat. Program ini telah disempurnakan dengan kehadiran Ketua Kampung Sungai Merab, Tuan Haji Mohamad Aris Bin Said, Pengerusi Pusat Infaq Wadah […]
Kuliah Khas Manzumah Maqasid Bersama Ustaz Fauwaz Fadzil Kajang, 5 Januari 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Pertubuhan SALWA Malaysia telah berjaya menganjurkan Kuliah Khas bertajuk Manzumah Maqasid yang disampaikan oleh Ustaz Fauwaz Fadzil. Kuliah ini berlangsung di Markaz Al-Qaradhagi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, dan dihadiri oleh 40 orang peserta. Sesi kuliah […]
WADAH Johor Menganjurkan Program Menghadam Amanat Presiden Johor Bahru, 5 Januari 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Johor berjaya menganjurkan program “Menghadam Amanat Presiden Peringkat Negeri Johor” yang berlangsung di Kompleks Pendidikan Al Hikmah, Johor Bahru. Program ini dihadiri oleh pelbagai lapisan ahli WADAH serta aktivis masyarakat yang komited terhadap perjuangan memartabatkan ummah. […]
Program Pemantapan Nilai Ihsan Jiwa Madani Tingkatkan Kepimpinan Inklusif dan Empati Terhadap OKU Gombak, 3 Disember 2024 – Disability Services Unit (DSU), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Pertubuhan Advo OKU Sejahtera, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Salwa Wilayah Persekutuan (WP), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah […]