Takziah, Berehatlah Murabbi Umat

Kongsikan artikel ini :

WADAH Merakamkan Takziah atas Pemergian Ketua Majlis Istisyari WADAH (MIW), Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty

KUALA LUMPUR, 26 Jun 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan penuh rasa hiba dan dukacita merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh keluarga Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Ketua Majlis Istisyari WADAH (MIW), yang telah kembali ke rahmatullah pada hari ini, 26 Jun 2025, jam 11:27 pagi di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang.

Perginya Allahyarham adalah kehilangan besar buat umat Islam, khususnya dalam medan dakwah, keilmuan dan kepimpinan umat. Seluruh pimpinan dan warga besar WADAH berasa amat terkesan dengan pemergian seorang tokoh yang begitu berdedikasi, tinggi budi dan teguh dalam perjuangan membina masyarakat yang tercerahkan dengan ilmu dan akhlak Islam.

Allahyarham merupakan Ketua Majlis Istisyari WADAH ke-2, menggantikan tempat Allahyarham Dato’ Dr. Siddiq Fadzil sejak tahun 2021. Sebelum itu, beliau pernah memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai Presiden ke-4 (1991–1997) dan sebelumnya berkhidmat sebagai Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) antara tahun 1971 hingga 1973. Penglibatan beliau dalam ketiga-tiga entiti — PKPIM, ABIM dan WADAH — mencerminkan kesinambungan dakwah dan pencerahan yang beliau bawa sejak zaman pelajar sehingga ke akhir hayat.

Latar Belakang Ilmuwan dan Murabbi Ummah

Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty merupakan tokoh ilmuwan dan pemikir Islam yang terbilang. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda dalam bidang Usuluddin dan Falsafah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seterusnya melanjutkan pengajian di Temple University, Philadelphia, Amerika Syarikat, sehingga memperoleh ijazah Sarjana (MA) dan PhD dalam bidang Pemikiran Islam dan Perbandingan Agama.

Beliau berkhidmat sebagai pensyarah dan pentadbir di beberapa institusi terkemuka, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (1974–1983) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (1983–1999), antaranya sebagai Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Dekan Pusat Pengajian Lanjutan & Khidmat Masyarakat. Beliau juga pernah menjadi pensyarah pelawat di Markfield Institute of Higher Education, UK.

Beliau turut menjadi Presiden Kolej Dar Al-Hikmah (2021–kini), Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA, 2018–2020) dan terakhir sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sejak 2023.

Allahyarham juga terpilih sebagai Anggota Kehormat Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (IUMS) yang berkuatkuasa pada 15 Julai 2024 lepas. Allahyarham juga dianugerahkan “Diamond Award” sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik yang dianjurkan oleh Muslim Convert Association of Singapore (MCAS) pada 18 Januari 2025 lepas.

Komitmen dalam Pencerahan Ummah

Allahyarham amat aktif membentangkan kertas kerja, pengisian wacana dan menjadi panel dalam pelbagai seminar serta forum keilmuan. Sehingga ke akhir hayat, beliau masih menjadi pengisi tetap Kuliah Tanwiri anjuran WADAH-ABIM-PKPIM di Kolej Dar Al-Hikmah, menandakan komitmen beliau yang berterusan dalam menyemarakkan wacana pemikiran Islam yang mendalam dan membangun jiwa masyarakat.

Pada 23 November 2021, buku beliau bertajuk “Jejak-Jejak Pencerahan Umat” telah dilancarkan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, sebagai catatan perjuangan, pengalaman dan panduan bagi aktivis gerakan Islam untuk terus membawa agenda pencerahan melalui pendekatan ilmu, tarbiah dan aktivisme.

Peranan dalam Politik Berprinsip

Dalam medan politik, Allahyarham aktif bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai Ketua Penerangan (2010–2014) dan kemudian sebagai Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama. Beliau pernah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Negara (Senator) pada 17 Disember 2015 mewakili Dewan Undangan Negeri Selangor untuk dua penggal. Beliau juga pernah bertanding dalam PRU 1999 (Parlimen Larut) dan PRU 2013 (Parlimen Bagan Serai).

Keputusan beliau menyertai PKR selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 memperlihatkan iltizam beliau terhadap keadilan dan prinsip kebenaran yang diyakini.

Info Pengebumian

Solat jenazah Allahyarham dijadualkan berlangsung selepas solat Asar di Masjid Al-Um, Bangi dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Bangi.

📍 Masjid Al-Um, Bangi: https://maps.app.goo.gl/Xx2k25K5TnTn7QsF8
📍 Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas: https://maps.app.goo.gl/2EhvwZnH3p8XEGXY6

Sesungguhnya pemergian Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty merupakan kehilangan besar yang sukar dicari ganti. Namun WADAH yakin, legasi ilmu, pemikiran dan perjuangan beliau akan terus hidup dalam jiwa para murid dan pendokong gerakan Islam yang tercerahkan.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham. Moga Allah mengampuni segala dosa beliau dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang soleh.”

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
26 Jun 2025 | 20 Zulhijjah 1446H

Berita Wadah|Berita Wadah - BM

Dialog Ummah 2.0: Hubungan Raja dan Rakyat Perlu Diperkukuh Berteraskan Amanah, Adat dan Perlembagaan

22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]

Baca Lanjut

Dialog Ummah 2.0: Adab Berbeza Pendapat dan Literasi Media Penting Tangani Perpecahan Masyarakat

22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]

Baca Lanjut

Dialog Ummah 2.0: Institusi Raja dan Keluhuran Perlembagaan Asas Kestabilan Negara

22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kedudukan institusi Raja Berperlembagaan serta hubungan antara Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan Persekutuan menjadi tumpuan sesi pertama Dialog Ummah 2.0 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Sesi bertajuk “Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan: Memahami Amanah Kenegaraan” ini mengupas kepentingan memahami asas kenegaraan […]

Baca Lanjut
dr khalijah

Memugar Legasi Serikandi Muslimah: Puan Hjh. Adibah Ahmad Singkap Dedikasi, Fikrah dan Jiwa Wakaf Prof. Dr. Khalijah Mohd Salleh di Dar al-Hikmah

SUNGAI RAMAL, 23 Oktober 2026 – Di sebalik gelaran sarjana fizik dan pencapaian akademik berprestij di peringkat antarabangsa, keperibadian Almarhumah Profesor Dr. Khalijah Mohd Salleh sentiasa berakar pada satu matlamat tunggal yang amat murni: menjadi seorang Muslimah yang beriman dan mengabdikan seluruh kehidupannya demi meraih keredaan Allah SWT. Penzahiran ini dikongsi secara penuh emosi dan […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
1244
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
922938
PERSATUAN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
ROS : PPM-003-10-11902005
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi
Klik Sini