Presiden WADAH: Dunia Perlu Bangkit Kawal Kuasa Veto, PBB Jangan Jadi Alat Kuasa Besar
Kuala Lumpur, 8 Jun 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman menegaskan bahawa kuasa veto yang dimiliki negara-negara besar di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus digunakan dengan bertanggungjawab dan tidak dijadikan alat untuk melindungi kezaliman. Beliau menyuarakan hal ini secara dalam talian dalam rancangan Glob AlHijrah yang disiarkan secara langsung pada 8 Jun 2025, dikendalikan oleh wartawan Zaim Zamani.
Menurut beliau, empat hari lalu harapan untuk melihat gencatan senjata di Gaza berkubur lagi, hanya kerana satu kuasa veto yang diangkat. “Ia sekaligus mengetepikan suara dunia untuk melihat keamanan di bumi Gaza,” katanya, merujuk kepada tindakan Amerika Syarikat pada 4 Jun 2025 yang menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan PBB berkaitan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan.
Beliau menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan tersebut yang sekali lagi memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab Amerika Syarikat. “Dunia barangkali telah menjangka perkara ini berlaku. Namun, pada masa sama kecewa dengan sikap Amerika Syarikat yang bagaikan menutup mata, tiada tanggungjawab hingga merelakan sahaja bumi Gaza diceroboh, dirobek dan dijarah adik yang dikasihinya, Israel.”
Presiden WADAH turut mempersoalkan sejauh mana kuasa veto benar-benar mencerminkan tanggungjawab sebenar pemegangnya. Katanya, bukan sekali, tetapi berkali-kali kuasa besar itu telah menurunkan martabat dunia, yang sepatutnya menjulang keadilan dan keamanan global.
Pelanggaran Prinsip Undang-undang Antarabangsa
Beliau menyifatkan penggunaan kuasa veto yang sedemikian sebagai pelanggaran terhadap prinsip undang-undang antarabangsa yang sepatutnya menjamin hak asasi manusia, menjamin keamanan sejagat dan menghukum negara-negara yang menyerang atau menindas negara lain. Apabila PBB yang ditubuhkan pasca Perang Dunia gagal mempertahankan keadilan dalam kalangan negara anggotanya dan membiarkan pelanggaran hak asasi manusia berlaku secara terbuka, maka ia secara jelas mencerminkan kecacatan kredibiliti institusi tersebut. Katanya, kehilangan keyakinan terhadap kemampuan PBB untuk menjamin keamanan global kini menjadi isu yang serius dan tidak boleh dipandang remeh.
Dalam kenyataannya, beliau memetik ungkapan penting: “The world is bigger than five”, atau “dunia ini lebih besar daripada lima kuasa veto.” Baginya, dunia tidak boleh terus ditentukan oleh kehendak lima negara ini semata-mata. Menurut beliau, PBB kini berada di persimpangan jalan — sama ada benar-benar berfungsi untuk menjamin keamanan global, atau terus menjadi alat perkakas kepada lima kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat dalam konteks genosida yang sedang berlaku di Gaza.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan seruan tegas agar masyarakat antarabangsa bangkit dan bersatu menyuarakan keperluan untuk merombak sistem veto. Beliau menyarankan agar negara-negara serantau seperti di bawah Liga Arab, ASEAN, Amerika Latin dan Afrika membentuk gabungan solidariti global untuk menentang penyalahgunaan kuasa oleh negara-negara veto ini. Dunia tidak boleh terus membiarkan satu tangan berkuasa menghapuskan harapan berjuta manusia.
BESTARI JAYA, 10 September 2026 – Dunia keilmuan akademik dan gerakan dakwah masyarakat sivil melakar detik bersejarah apabila Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), YBhg. Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, secara rasminya menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF), Universiti Selangor (UNISEL). Pelantikan berprestij tersebut disempurnakan bersempena Majlis […]
BANDAR BARU BANGI, 27 Ogos 2026 – Memperkukuh ikatan ukhuwah merentas generasi serta menyelaraskan kefahaman fikrah harakah menjadi tunjang utama dalam penganjuran Usrah Gabungan Wadah, ABIM, dan Pelajar (WAP) Negeri Selangor bagi edisi Ogos 2026. Pertemuan bulanan yang dihoskan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor ini telah berlangsung dalam suasana penuh barakah bertempat […]
SHAH ALAM, 23 Ogos 2026 – Membina peradaban masyarakat yang maju menuntut keseimbangan neraca antara penguasaan ilmu, keteguhan nilai moral, serta amalan kebajikan yang berteraskan keadilan. Bagi memperhalusi kerangka penting ini, program Wacana Pemikiran Dr. Siddiq Fadzil telah berjaya dianjurkan bertempat di Dewan Kuliah LT2, Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Shah Alam semalam. Wacana keilmuan berprestij […]
SHAH ALAM, 21 Ogos 2026 – Budaya membaca dan tradisi membedah karya-karya pemikiran terpilih terus disuburkan sebagai teras pembinaan akal budi masyarakat melalui penganjuran rutin bulanan Siri Bedah Buku anjuran bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor. Bagi siri kali ini yang berlangsung di Shah Alam, tumpuan perbincangan […]