Sumbangan Pek Ceria Raya WADAH Bantu Golongan OKU Sekitar Bangi
Bangi, 23 Mac 2025 – Seramai 30 penerima dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dari sekitar Bangi dan kawasan berhampiran telah menerima sumbangan Pek Ceria Raya dalam satu majlis anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melalui program Pusat Tunas Nahdah. Serahan pek berlangsung di Surau Al-Sobah, Seksyen 3, Bangi, dengan kerjasama Pertubuhan Kebangsaan Advokasi Pendidikan dan Kesejahteraan OKU (ADVO OKU SEJAHTERA) serta tajaan dana oleh Yayasan Taqwa (MAIWP).
Majlis turut dihadiri oleh Ketua Biro Wanita Surau Al-Sobah, Hajah Nora binti Abdullah serta Timbalan Pengerusi ADVO OKU SEJAHTERA, Mejar Jeneral Dato’ Yusri bin Anwar (B), Exco WADAH bersama Dr. Salmijah dan Tuan Haji Khailani Abdul Jalil.
Majlis yang bermula pada jam 3.00 petang ini dimulakan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Surau Al-Sobah, Dr. Abdul Muin bin Abd Rahman. Ucapannya turut diterjemahkan ke dalam bahasa isyarat oleh jurubahasa isyarat, Saudara Hafiz, bagi memastikan penerima OKU pertuturan dan pendengaran dapat memahami intipati ucapan yang disampaikan.
Naib Presiden WADAH, Prof. Madya Dr. Nur Izura bt Udzir, turut menyampaikan amanat mengenai kepentingan inisiatif kebajikan seperti Tunas Nahdah dalam membantu golongan yang memerlukan, khususnya OKU. Menurut beliau, program ini bukan sahaja memberi bantuan fizikal tetapi juga menyokong kesejahteraan sosial dan memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.
Penerima sumbangan terdiri daripada pelbagai kategori OKU, termasuk 6 penerima buta, 6 penerima bisu dan pekak, 2 penerima kerdil, 4 penerima autisme, dan selebihnya adalah OKU fizikal. Seorang penerima yang kurang sihat tidak dapat hadir dan menerima sumbangan di rumahnya. Pek Ceria Raya yang diagihkan mengandungi barangan makanan kering, kuih raya, pek iftar serta air minuman, dengan tujuan membantu penerima membuat persiapan menyambut Ramadan dan Syawal.
Sumbangan Rumah ke Rumah Bangi
Program ini turut melaksanakan penyampaian sumbangan secara rumah ke rumah bagi penerima yang tidak dapat hadir ke surau, termasuk seorang OKU berkerusi roda yang kini bedridden di Kg Sungai Sikamat. Serahan sumbangan dilakukan selepas waktu Asar semalam dalam keadaan hujan lebat, menambahkan lagi cabaran buat mereka yang menghadapi kekangan fizikal untuk keluar membeli makanan. Isteri penerima, Puan Ema, yang juga merupakan OKU berkerusi roda, turut menerima bantuan.
Inisiatif ini bukan sahaja memastikan golongan OKU tidak terpinggir dalam arus kebajikan masyarakat, tetapi juga membuktikan bahawa semangat solidariti dan kebersamaan terus kukuh, selari dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan dan kebajikan rakyat.
Menurut pihak penganjur, kebanyakan golongan OKU menghadapi cabaran kewangan yang lebih berat berbanding golongan B40 disebabkan kekangan fizikal dan kognitif yang menyukarkan mereka untuk menjana pendapatan tambahan. Oleh itu, sumbangan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka dalam menyambut bulan Ramadan dan Syawal.
Program ini berakhir pada jam 4.00 petang dengan harapan agar lebih banyak inisiatif kebajikan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi membantu golongan yang memerlukan. Usaha sebegini juga selari dengan konsep Malaysia Madani yang menitikberatkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]