Penyerahan Memorandum Sokong Usaha Perdana Menteri Bawa Suara Malaysia di Pentas Dunia
PUTRAJAYA, 24 Oktober 2025 — Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menegaskan sokongan kukuh terhadap kepimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam membawa suara Malaysia ke pentas antarabangsa, khususnya bersempena pertemuan rasmi beliau bersama Presiden Amerika Syarikat dalam rangka Persidangan US–ASEAN melalui penyerahan Memorandum mewakili gabungan 16 NGO.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi Mohd Shamsudin, mengetuai penyerahan memorandum sokongan kepada Perdana Menteri dalam satu majlis yang berlangsung di Surau Al-Quddus, Putrajaya. Memorandum tersebut turut disertai oleh gabungan pertubuhan masyarakat madani termasuk Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) sebagai antara badan utama yang menyokong inisiatif tersebut.
Menurut Ahmad Fahmi, memorandum ini melambangkan kesepakatan masyarakat madani untuk melihat dasar luar Malaysia terus kekal berprinsip, berpaksikan nilai kemanusiaan sejagat, kedaulatan negara, dan keadilan global.
Peranan Malaysia Sebagai Suara Nurani Dunia
Dalam kenyataannya, WADAH menegaskan komitmen agar Malaysia terus tampil sebagai Suara Nurani Dunia yang berani membela keadilan dan menolak ketidakadilan global. Gabungan itu percaya kepimpinan Perdana Menteri hari ini mencerminkan nilai Malaysia MADANI yang berpaksikan kesejahteraan insan, keadilan sosial, dan kemanusiaan sejagat.
Turut digariskan kepentingan memastikan dasar luar negara tidak tunduk kepada tekanan geopolitik mana-mana kuasa besar, sebaliknya mengekalkan pendirian diplomasi berprinsip dan berpaksikan Wasatiyyah.
Sokongan Kepada Usaha Memperkasa Ekonomi Negara
Gabungan NGO menyatakan sokongan penuh terhadap usaha kerajaan memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat sebagai strategi memulihkan dan memperkasa ekonomi negara.
Kerjasama tersebut diyakini mampu membawa manfaat besar kepada rakyat Malaysia melalui peningkatan pelaburan berkualiti, peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan pemindahan teknologi baharu.
Namun, sebarang hubungan mesti dibina atas dasar saling menghormati, tidak mengorbankan kedaulatan atau maruah negara, serta memastikan pembangunan yang inklusif dan lestari.
Malaysia Sebagai Pusat Keamanan dan Dialog Serantau
Gabungan ini menyambut baik langkah Perdana Menteri memanfaatkan platform US–ASEAN untuk mengangkat peranan Malaysia sebagai Pusat Keamanan dan Dialog Serantau. Malaysia diyakini mampu menjadi jambatan diplomatik antara dunia Barat dan Timur serta berperanan aktif dalam menangani isu serantau seperti Laut China Selatan dan krisis Myanmar.
Pendekatan diplomasi sederhana dan berprinsip perlu terus menjadi tunjang dasar luar negara, bagi memastikan ASEAN kekal sebagai zon aman dan bebas daripada pengaruh kuasa besar.
Sokongan Teguh Kepada Pembelaan Rakyat Palestin
Dalam masa yang sama, gabungan NGO mengulangi sokongan terhadap ketegasan Perdana Menteri membela hak rakyat Palestin. Mereka menegaskan bahawa laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak boleh dihalang, dan pembangunan semula wilayah tersebut mesti disegerakan.
Gabungan itu turut menyeru Malaysia agar terus memperjuangkan reformasi terhadap sistem antarabangsa yang tidak adil, khususnya kuasa veto yang sering disalahgunakan bagi melindungi jenayah kemanusiaan.
Malaysia MADANI Sebagai Arah Diplomasi Global
Kepimpinan Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berprinsip, progresif, dan berwibawa di mata dunia.
“Gabungan masyarakat madani berdiri teguh di belakang YAB Perdana Menteri dalam membawa suara rakyat Malaysia di pentas antarabangsa dengan keberanian, kebijaksanaan, dan hikmah,” menurut kenyataan rasmi itu.
Memorandum ini diserahkan mewakili gabungan 16 pertubuhan termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM), Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), HALUAN, Ops Ihsan, MAHAR, BDS Malaysia, Majlis Belia Malaysia (MBM), MAPIM, ACCIN, MACMA, MRA, Persatuan Murabbi Madani, IITQAN, dan Dewan Perniagaan Islam Malaysia (DPIM).
WADAH MENGUTUK ESKALASI SERANGAN TERHADAP INFRASTRUKTUR TENAGA IRAN & AMARAN KRISIS GLOBAL KENYATAAN MEDIA 19 MAC 2026 Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah susulan serangan ke atas FASILITI GAS SOUTH PARS MILIK IRAN—antara medan gas terbesar dunia—yang kini mencetuskan risiko besar kepada keselamatan tenaga global […]
WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI KENYATAAN MEDIA19 Mac 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor WADAH menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Muslim dan Hindu yang bertujuan mencari titik damai serta meredakan ketegangan antara agama dalam negara. Usaha ini […]
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]