Pemikiran Siddiq Fadzil Pendorong Kebangkitan Islam dan Masyarakat Malaysia Madani
Kota Bharu, 11 Oktober 2025 – “Umat Islam mesti bangkit dengan pemikiran yang kritikal dan berasaskan ilmu, bukan sekadar menghafal tanpa memahami.” Demikian antara penegasan penting disampaikan oleh YB Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohamad Redzuan Othman, Ahli Dewan Negara merangkap Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan (MSK), ketika menyampaikan Ucapan Utama dan Perasmian Seminar Pemikiran Siddiq Fadzil Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Wawasan Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu, di sini hari ini.
Dalam ucapan, Prof. Redzuan menyorot sejarah kebangkitan pemikiran Islam sejak abad ke-19, bermula dengan tokoh-tokoh reformis seperti Jamaluddin al-Afghani, Muhammad Abduh, dan Hassan al-Banna, yang menekankan keperluan umat Islam membebaskan diri daripada kejumudan serta memahami Islam sebagai sistem hidup yang menyeluruh. Menurut beliau, “Islam tidak boleh dilihat hanya dari sudut ritual, tetapi mesti dihayati dari segi rohani dan jasmani, pemikiran dan tindakan.”
Beliau menjelaskan bahawa warisan pemikiran reformis inilah yang akhirnya sampai ke Alam Melayu, khususnya di Kelantan, melalui tokoh-tokoh seperti Tok Kenali dan gerakan penerbitan awal seperti Pengasuh dan Al-Hikmah. “Kesedaran yang bermula di Timur Tengah itu turut menyemai kesedaran di Tanah Melayu. Dan di sinilah lahir pemikir-pemikir besar yang menyumbang kepada kemerdekaan dan pembentukan bangsa,” ujarnya.
Menelusuri kesinambungan sejarah itu, Prof. Redzuan menyifatkan almarhum Ustaz Siddiq Fadzil sebagai antara pemikir Islam paling berpengaruh dalam konteks Malaysia moden. “Sumbangan beliau membentuk wajah Islam di Malaysia hari ini tidak boleh dinafikan. Kita menjadi masyarakat yang sederhana, toleran dan harmoni adalah hasil daripada proses panjang pemikiran reformis yang turut diteruskan oleh beliau,” katanya.
Meskipun pelbagai seminar dan forum telah diadakan selepas pemergian almarhum, masyarakat umum masih belum benar-benar memahami keaslian dan keluasan pemikirannya. Justeru, usaha seperti seminar ini amat penting untuk “merakyatkan” pemikiran Siddiq Fadzil agar masyarakat dapat menghayati gagasan besar beliau secara meluas.
Tambahan pula, Hubungan rapat antara Ustaz Siddiq Fadzil dan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memberikan kesan besar terhadap perkembangan Islam di Malaysia sejak 1970-an. “Ketika kebangkitan Islam mula dipandang negatif dan dianggap ancaman, ABIM muncul membawa gagasan Islam yang syumul. Dan apabila Anwar Ibrahim menyertai kerajaan pada 1982, Islam mula menjadi arus perdana melalui dasar penerapan nilai-nilai Islam,” jelasnya.
Banyak dasar dan institusi penting seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), serta pembaharuan dalam sistem pendidikan dan budaya kerja kerajaan, merupakan terjemahan praktikal daripada gagasan pemikiran Siddiq Fadzil dan generasi reformis ABIM.
Mengulas tentang keperibadian almarhum, Prof. Redzuan menggambarkan Siddiq Fadzil sebagai seorang yang berilmu luas, fasih dalam bahasa Arab dan Inggeris, serta mampu berdialog dengan pelbagai pihak tanpa mengira latar politik atau agama. “Beliau bukan hanya menulis, tetapi juga mewacanakan pemikiran melalui pelbagai ruang seperti Balai Raya di rumahnya dan Kolej Darul Hikmah, tempat beliau mengupas isu semasa dengan pendekatan hikmah,” ujarnya.
Kekuatan Siddiq Fadzil ialah kemampuan mengolah pemikiran Islam dalam kerangka realiti tempatan melalui konsep Fiqh Malaysia, Fiqh al-Awlawiyyat (Keutamaan), dan Fiqh at-Ta’ayush (Hidup Bersama). “Pendekatan beliau sederhana, realistik dan rahmatan lil-‘alamin. Islam mesti disebarkan dengan hikmah, bukan kekerasan. Inilah wajah Islam Malaysia yang damai, santun dan membangun,” jelasnya lagi.
Prof. Redzuan juga berkongsi pengalaman peribadi tentang penubuhan Institut Darul Ehsan (IDE) yang diasaskan oleh Anwar Ibrahim, dengan Siddiq Fadzil dilantik sebagai Pengerusi dan beliau sendiri sebagai Timbalan Pengerusi. “Institut ini menjadi wadah penyebaran pemikiran beliau melalui penyelidikan dan wacana ilmiah yang tersusun,” katanya.
Mengakhiri ucapannya, beliau menyeru masyarakat agar tidak sekadar hadir ke seminar tetapi menghidupkan semangat penghayatan terhadap karya dan buku-buku Siddiq Fadzil. “Untuk memahami pemikiran beliau, kita mesti membaca, berdiskusi, dan meneliti isi dengan mendalam. Kalau tidak, kita hanya kenal nama tetapi tidak menjiwai perjuangan dan falsafah beliau,” tegasnya.
Beliau menyeru agar WADAH dan ABIM negeri Kelantan meneruskan penganjuran siri wacana dan pembacaan karya Siddiq Fadzil secara berkala. “Saya yakin, jika kita benar-benar menghayati pemikirannya, kita akan mampu membina semula masyarakat dan negara yang lebih adil, berilmu dan berakhlak tinggi,” ujarnya sebelum merasmikan seminar tersebut secara rasmi dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim.
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kedudukan institusi Raja Berperlembagaan serta hubungan antara Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan Persekutuan menjadi tumpuan sesi pertama Dialog Ummah 2.0 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Sesi bertajuk “Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan: Memahami Amanah Kenegaraan” ini mengupas kepentingan memahami asas kenegaraan […]
SUNGAI RAMAL, 23 Oktober 2026 – Di sebalik gelaran sarjana fizik dan pencapaian akademik berprestij di peringkat antarabangsa, keperibadian Almarhumah Profesor Dr. Khalijah Mohd Salleh sentiasa berakar pada satu matlamat tunggal yang amat murni: menjadi seorang Muslimah yang beriman dan mengabdikan seluruh kehidupannya demi meraih keredaan Allah SWT. Penzahiran ini dikongsi secara penuh emosi dan […]