Misi Ummatik dalam Menghadapi Cabaran Pendidikan di Simposium Guru Pendidikan Islam 2025
Klang, 19 Ogos 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman tampil menyampaikan pengisian penuh inspirasi bertajuk “Misi Ummatik dalam Menghadapi Cabaran Pendidikan” dalam Slot Motivasi Inspirasi sempena Simposium Guru Pendidikan Islam: Pemacu Reformasi Inisiatif Sahsiah Unggul Murid Tahun 2025, bertempat di KSL Esplanade Hotel, Klang, Selangor.
Dalam pengisiannya, beliau membuka wacana dengan ibrah daripada Surah Ar-Rum (30:1–5) yang menegaskan bahawa kemenangan dan kekalahan bangsa-bangsa dunia adalah dalam pengaturan Allah, dan orang beriman akan bergembira dengan pertolongan-Nya. Menurut beliau, ayat ini menjadi petunjuk bahawa umat Islam perlu yakin dengan sunnatullah dalam perubahan sejarah dunia.
Dato’ Ahmad Azam turut mengingatkan bahawa genap 100 tahun kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah (1924–2024), umat Islam berdepan tiga penyakit besar yang diwariskan hasil penjajahan: kejahilan, kemiskinan, dan perpecahan, seperti yang pernah digariskan oleh Imam Badi’uzzaman Said Nursi. Penyakit ini, katanya, menjadi penghalang utama kepada kebangkitan semula umat.
Cabaran umat dengan hegemoni Zionis serta pergiliran kuasa dunia dikaitkan sebagaimana disebut dalam Surah Ali Imran (3:140). Dato’ Ahmad Azam menyenaraikan beberapa tanda besar perubahan geopolitik dunia mutakhir termasuk kemenangan Taliban di Afghanistan (2021), kebangkitan rakyat di Burkina Faso (2022), operasi Taufan Al-Aqsa (2023), Revolusi Pelajar di Bangladesh (2024), serta runtuhnya regim Assad di Syria. Semua ini, ujarnya, memperlihatkan detik-detik besar menuju perubahan landskap global yang menuntut kesediaan umat.
Ancaman Budaya Negatif
Dalam konteks pendidikan, Ditegaskan bahawa generasi muda Islam kini berdepan ancaman budaya materialisme, hedonisme, serta pengaruh negatif media sosial. Fenomena “New Age Movement” yang menekankan spiritual tanpa agama, sinkretisme, dan kebebasan individu dilihat berbahaya kepada akidah. Justeru, katanya, guru Pendidikan Islam perlu melindungi generasi muda daripada arus ini dengan memperkukuh penghayatan wahyu, adab, serta nilai integriti.
Konsep Generasi Ummatik digariskan berpaksikan al-Quran dan Sunnah, berpandukan Surah Ali Imran (3:110) dan At-Taubah (9:20). Menurut beliau, syarat kemenangan umat ialah iman, hijrah, dan jihad, selain kesatuan sebagaimana ditekankan dalam Surah Ali Imran (3:103). Malaysia, katanya, berpotensi besar untuk tampil sebagai pemimpin dunia Islam melalui pendekatan damai, kepelbagaian etnik, dan kebijaksanaan diplomasi – selaras dengan semangat Piagam Madinah.
Sebagai penutup, beliau mengemukakan “7 Formula Generasi Al-Fatih” sebagai pedoman melahirkan belia multi-talenta yang menghidupkan semangat ummatik. Formula ini menekankan kepentingan memiliki Wawasan Ummatik yang jelas, digerakkan dengan semangat jihad dan keberanian. Dalam masa yang sama, generasi muda perlu dibangunkan dengan kekuatan adab, etika serta integriti, di samping penghayatan mendalam terhadap al-Quran sebagai panduan hidup.
Selain itu, mereka juga perlu menguasai ilmu strategik yang meliputi pelbagai bidang penting seperti teknologi, kecerdasan buatan, kewangan, pertahanan, perusahaan, dan kepimpinan. Penguasaan pelbagai bahasa utama dunia turut menjadi aset penting bagi meluaskan pengaruh dan peranan global. Akhir sekali, kekuatan spiritual yang terzahir melalui amalan mendirikan solat tahajud hendaklah menjadi tonggak kepada pembinaan jiwa yang kental dan penuh kebergantungan kepada Allah SWT.
Simposium Guru Pendidikan Islam 2025
Slot motivasi oleh Presiden WADAH ini merupakan salah satu acara utama dalam Simposium Guru Pendidikan Islam Pemacu Reformasi Inisiatif Sahsiah Unggul Murid Kementerian Pendidikan Tahun 2025, anjuran Bahagian Pendidikan Islam (BPI) KPM dengan kerjasama Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO).
Simposium yang berlangsung secara hibrid pada 19–21 Ogos 2025 ini menghimpunkan lebih 250 guru Pendidikan Islam (GPI) dan guru Bahasa Arab dari seluruh negara. Program ini menjadi platform kolaboratif untuk memperkasa profesionalisme GPI serta menangani cabaran pembentukan sahsiah murid seiring dengan aspirasi Generasi MADANI.
Selain Slot Motivasi Inspirasi bersama Dato’ Ahmad Azam, pengisian turut menampilkan ucapan Pengarah BPI, forum tokoh pendidikan dan agamawan negara, bootcamp strategi sahsiah, Bicara Profesionalisme oleh Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Slot Fiqh al-Mizan dalam Pendidikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, serta majlis penutupan oleh YB Menteri Pendidikan.
Penganjuran ini adalah respons terhadap kebimbangan kepimpinan negara mengenai peningkatan gejala sosial seperti buli dan gangsterisme, khususnya di negeri yang dilabel menghadapi “social emergency”. Simposium ini diharap dapat melahirkan GPI yang beriltizam, berkarisma, serta mampu menjadi qudwah hasanah dan pemacu perubahan sahsiah dalam ekosistem pendidikan negara.
WADAH MENGUTUK ESKALASI SERANGAN TERHADAP INFRASTRUKTUR TENAGA IRAN & AMARAN KRISIS GLOBAL KENYATAAN MEDIA 19 MAC 2026 Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah susulan serangan ke atas FASILITI GAS SOUTH PARS MILIK IRAN—antara medan gas terbesar dunia—yang kini mencetuskan risiko besar kepada keselamatan tenaga global […]
WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI KENYATAAN MEDIA19 Mac 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor WADAH menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Muslim dan Hindu yang bertujuan mencari titik damai serta meredakan ketegangan antara agama dalam negara. Usaha ini […]
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]