Dakwah TV AlHijrah, Kemerdekaan Hakiki Bukan Sekadar Bebas, Tapi Keyakinan Iman
Kuala Lumpur, 27 Ogos 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, telah dijemput sebagai panel dalam rancangan Dakwah Live terbitan TV AlHijrah yang bersiaran pada Rabu, 27 Ogos 2025, jam 10.00 malam. Episod kali ini membawakan tajuk “Sejarah Kita, Realiti Mereka” dan dikendalikan oleh Ustaz Izzhar Nazri selaku pengacara.
Pengisian menyentuh makna kemerdekaan yang hakiki dengan merujuk kepada penderitaan rakyat Palestin yang lebih 77 tahun dijajah. Dalam konteks sambutan kemerdekaan negara, diingatkan bahawa masih ramai saudara seagama yang terus berjuang mempertahankan watan dan maruah mereka.
Kisah menyayat hati di Gaza turut dikongsikan, antaranya peristiwa seorang ayah yang kehilangan seluruh ahli keluarganya akibat serangan bom tetapi tetap menguatkan orang lain dengan keyakinan bahawa mereka telah pun dikurniakan syurga. Inilah, menurutnya, contoh kemerdekaan sebenar – pembebasan diri daripada kecintaan duniawi, keberanian mengorbankan jiwa raga demi keredhaan Allah, dan keyakinan terhadap kehidupan akhirat.
Isu Palestin dijelaskan sebagai cerminan perpecahan umat Islam selepas kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Perpecahan negara-negara Islam menyebabkan umat gagal bersatu mempertahankan Gaza, selaras dengan penyakit al-wahan – cinta dunia dan takut mati – yang melemahkan umat sehingga tidak digeruni lagi.
Kemerdekaan Daripada Kekejaman Zionis
Seruan turut dibuat agar kemarahan terhadap kezaliman Zionis diterjemahkan dalam bentuk tindakan nyata, antaranya mengutip dana, memperkukuh advokasi, dan menyokong pendidikan anak-anak Palestin termasuk diaspora yang kini tersebar di seluruh dunia. Rakyat Palestin digambarkan sebagai bangsa yang luar biasa kerana tetap bersemangat menuntut ilmu, menghafal al-Quran, dan menghasilkan senjata buatan sendiri walaupun hidup dalam penindasan.
Kemenangan Palestin, ditegaskan lagi, hanya dapat dicapai dengan keimanan, jihad, dan pertolongan Allah sebagaimana sejarah Afghanistan mengalahkan tiga empayar besar walaupun dengan senjata usang. Bicara soal Palestin bukan sekadar isu politik, tetapi medan ujian iman dan kebergantungan kepada Allah SWT.
Sejarah kewujudan Israel turut dihuraikan, yang mana kelahirannya pada 1948 adalah hasil naratif ciptaan Zionisme untuk merampas tanah Palestin serta memecahbelahkan dunia Arab selepas keruntuhan Khilafah. Strategi ini jelas bertujuan memastikan umat Islam terus lemah dan berpecah.
Menjelang penghujung rancangan, anak muda diseru agar mengambil pengajaran daripada hadis Nabi SAW: “Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia.” Kemerdekaan Malaysia perlu diiringi dengan usaha memberi manfaat kepada orang lain, termasuk menolong rakyat Palestin yang dizalimi. Tindakan sekecil zarah tetap bernilai di sisi Allah.
Rancangan berakhir dengan doa bersama, memohon kekuatan dan perlindungan untuk rakyat Palestin serta kesyukuran atas nikmat kemerdekaan Malaysia.
Rakaman penuh slot Dakwah boleh ditonton di paparan tertera.
KENYATAAN MEDIA WADAH Isu-isu Agama Perlu Diserahkan Kepada Pihak Berautoriti, Elak Kekeliruan Awam Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyokong penuh kenyataan YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang menegaskan keperluan agar isu-isu berkaitan agama ditangani melalui saluran yang betul dan oleh pihak berautoriti yang sah. WADAH berpandangan bahawa dalam masyarakat majmuk seperti […]
Permukiman Kepimpinan NGO MADANI: Menggalas Amanah Islah dan Memperkukuh Ketahanan Tamadun KUALA LUMPUR, 1 Februari 2026 – Kesepaduan gerak kerja pimpinan pertubuhan masyarakat sivil (NGO) Islam di Malaysia mencapai satu lagi mercu tanda penting melalui penganjuran Permukiman Kepimpinan NGO MADANI Kebangsaan. Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 30 Januari sehingga 1 Februari […]
JOHOR BAHRU, 25 Januari 2026 – Kesepaduan gerak kerja dan penyatuan pemikiran menjadi agenda utama dalam Bengkel Wahdatul Fikr yang berlangsung hari ini di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Wilayah Selatan. Program strategik ini merupakan anjuran bersama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Johor, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Johor, dan Kesatuan Pelajar Islam Johor […]
KUALA LUMPUR, 21 Januari 2026 – Dalam usaha memperkukuh agenda pembangunan umat dan menyelaraskan gerak kerja dakwah di peringkat nasional, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah mengadakan satu pertemuan rasmi bersama YB Senator Dr. Zulkifli Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Pertemuan yang berlangsung pada jam 10.00 pagi tadi di Menara MAIWP, […]