HIKAM BANTAH PELANTIKAN NICK ADAMS SEBAGAI DUTA AMERIKA SYARIKAT KE MALAYSIA
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) dengan tegas membantah cadangan pelantikan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia. Pelantikan ini bukan sahaja mengecewakan, malah mencemarkan nilai diplomasi antarabangsa yang seharusnya berlandaskan integriti, hikmah dan kepekaan budaya.
Nick Adams tidak memiliki kelayakan moral mahupun keperibadian yang sewajarnya untuk mewakili sebuah negara besar seperti Amerika Syarikat di negara ini.
Sebagai tokoh awam yang sering melontarkan retorik ekstrem, kenyataan berbaur perkauman serta penghinaan terhadap pelbagai komuniti, Nick Adams tidak mencerminkan nilai toleransi dan hormat yang menjadi asas hubungan antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan agama, dengan masyarakat yang amat menitikberatkan adab, diplomasi dan kesopanan dalam hubungan antarabangsa. Sifat serta rekod peribadi beliau bertentangan sama sekali dengan keperluan asas untuk memegang jawatan diplomat di sini.
HIKAM berpandangan bahawa pelantikan ini boleh mencetuskan ketegangan dan menjejaskan hubungan baik yang telah sekian lama terjalin antara kedua-dua negara.
Kehadiran individu yang lantang membawa naratif kebencian dan tidak menghormati nilai-nilai sejagat berisiko besar mengganggu kestabilan sosial serta persefahaman budaya yang dibina dengan penuh usaha oleh pelbagai pihak selama ini.
HIKAM menyeru agar kerajaan Malaysia menyatakan pendirian yang tegas terhadap pelantikan ini. Sebagai sebuah negara berdaulat, Malaysia berhak menerima atau menolak duta asing ke negara ini.
Oleh hal yang demikian, HIKAM menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius latar belakang Adams dan kesan akibat pelantikannya serta menyarankan agar pihak berkuasa Amerika Syarikat menilai semula keputusan mereka.
Jawatan duta bukan ruang untuk kepentingan politik sempit atau eksperimen retorik populis. Ia memerlukan keinsafan moral, pemikiran yang matang dan rasa hormat terhadap budaya negara tuan rumah – ciri-ciri yang jelas tidak dimiliki oleh Nick Adams.
Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM)
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN)
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]
Sungai Gabai, 14 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Yayasan Taqwa telah melaksanakan Program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) di Kampung Orang Asli Sungai Gabai sebagai sebahagian daripada usaha menyantuni masyarakat Orang Asli serta memperkukuh hubungan silaturahim bersama komuniti setempat. Program tersebut turut melibatkan penyertaan pelajar latihan industri yang bersama-sama turun […]
Sungai Merab, 10 Mac 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Pusat Infaq WADAH telah melaksanakan Projek Bubur Lambuk 2026, mengedarkan 700 bekas bubur lambuk kepada pelbagai komuniti, institusi dan agensi sekitar. Program ini bukan sahaja menyediakan juadah berbuka puasa kepada masyarakat, tetapi juga menjadi platform untuk memperkukuh ukhuwah, mengeratkan semangat gotong-royong, dan […]