KUALA LUMPUR, 1 Februari 2026 – Kesepaduan gerak kerja pimpinan pertubuhan masyarakat sivil (NGO) Islam di Malaysia mencapai satu lagi mercu tanda penting melalui penganjuran Permukiman Kepimpinan NGO MADANI Kebangsaan. Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam bermula 30 Januari sehingga 1 Februari 2026 ini diadakan di IKP AKM, Kuala Lumpur, dengan menghimpunkan pimpinan utama daripada tiga organisasi serangkai: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Permukiman ini bertujuan untuk menyelaraskan visi strategik dalam kerangka Malaysia Madani, sekali gus memperkukuh peranan NGO sebagai suara nurani bangsa yang berwibawa dalam mendepani cabaran sosiopolitik dan ekonomi semasa.
Hari Pertama: Analisis SWOT dan Wawasan Dakwah
Program dimulakan pada hari Jumaat dengan sesi Interaktif Kenegaraan oleh Encik Sulhairil Hafiz bin Haji Sulaiman dari AKM, yang menekankan kepentingan penguasaan media digital dalam kepimpinan strategik. Kepentingan untuk menilai kekuatan dan kelemahan dalaman organisasi diterjemahkan melalui sesi Perbincangan Dalam Kumpulan (SWOT) yang dikendalikan oleh Sdr. Khairul Ariffin Mohd. Munir.
Pengisian ilmu pada malam pertama dimulakan dengan Kuliah Maghrib oleh Dr. Abdul Halim El-Muhammady, Ketua Majlis Istisyari WADAH, mengenai tuntutan Harakah Islamiyyah. Agenda diteruskan dengan slot utama bertajuk “Gerakan Dakwah: Warisan dan Wawasan” yang disampaikan oleh Presiden WADAH, Dato’ Haji Ahmad Azam Abdul Rahman. Beliau menekankan bahawa gerakan dakwah harus memiliki akar sejarah yang kuat (warisan) namun perlu sentiasa dinamik dalam merangka strategi masa hadapan (wawasan) agar tetap relevan sebagai agen perubahan masyarakat.
Hari Kedua: Generasi Nusa Madani dan Konsep Ajalin Musamma
Hari kedua memberi fokus kepada pemerkasaan generasi muda. Ahmad Fahmi Samsudin (Presiden ABIM) membentangkan slot “Generasi Nusa Madani; Iltizam ABIM Untuk Masa Hadapan”, yang menggariskan komitmen belia dalam membina ketahanan tamadun. Ini disusuli oleh Muhammad Adib Irfan Fazil (Presiden PKPIM) melalui slot “Gerakan Dakwah Pelajar: Gerbang Perkaderan”, yang memperincikan peranan mahasiswa sebagai barisan hadapan dalam proses perkaderan pimpinan masa hadapan.
Satu pengisian yang cukup memberikan kesan mendalam ialah Kuliah Maghrib oleh Ustaz Muhammad Saifuddin Abdul Latif (Timbalan Presiden ABIM) bertajuk “Ajalin Musamma: Ruang Rahmat yang Ditangguhkan”. Mengambil ibrah daripada dokumen Malaysia Memimpin, beliau menjelaskan bahawa fasa “tsunami digital” dan krisis nilai ketika ini bukanlah noktah sejarah, melainkan fasa ujian. Konsep Ajalin Musamma mengingatkan peserta bahawa selagi ajal belum tiba, ruang kebangkitan dan islah tetap terbuka luas, dan amanah tersebut wajib dipikul oleh para pendakwah tanpa rasa gentar.
Hari Ketiga: Pelan Tindakan Strategik dan Amanat Perjuangan
Kemuncak permukiman pada hari Ahad difokuskan kepada pembentangan Pelan Tindakan Strategik yang diketuai oleh Sdr. Azizuddin Ahmad, Sdr. Ahmad Fawwaz, dan Sdr. Muhammad Farhat. Sesi ini memastikan segala perbincangan sepanjang permukiman diterjemahkan ke dalam bentuk gerak kerja yang nyata dan terukur.
Majlis diakhiri dengan Sidang Pengukuhan Gerakan yang melibatkan ucapan daripada pimpinan sayap wanita (HEWI, HELWA, dan SALWA) serta pimpinan utama organisasi. Sebagai penutup, Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman menyampaikan Amanat Perjuangan yang menggesa seluruh pimpinan agar memperkukuh budaya ilmu dan adab. Beliau menegaskan bahawa kepimpinan yang benar adalah kepimpinan yang berani mendepani krisis dengan naratif harapan, bukan sekadar retorik kuasa.
Dengan berakhirnya permukiman ini, pimpinan NGO MADANI kini pulang dengan komitmen yang lebih padu untuk menyumbang secara strategik kepada pembinaan Malaysia yang bernilai dan bermaruah, selari dengan tuntutan tajdid ummah yang dicitakan.
BANGI, 23 Mei 2026 – Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik bersama pertubuhan belia serta menyuburkan budaya gaya hidup sihat, empat orang petugas daripada Sekretariat WADAH Pusat telah tampil menyahut cabaran dalam Pertandingan Bowling Komuniti AYG 2026. Pertandingan yang berlangsung meriah itu telah diadakan bertempat di Ampang Superbowl, Tingkat 3, Bangi Gateway, semalam. WADAH kali ini […]
Kajang, 22 Mei – Program Jamuan Kasih Pelajar al-Hikmah telah berlangsung di Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, menghimpunkan para pelajar dalam suasana penuh ukhuwah, kesyukuran dan kebersamaan. Program ini turut dihadiri oleh petugas Sekretariat WADAH Pusat, yang bersama-sama menyantuni para pelajar serta menzahirkan sokongan terhadap usaha membina ekosistem pendidikan yang berteraskan kasih sayang, adab dan kepedulian. […]
PUTRAJAYA, 22 Mei 2026 – Di sebalik kehangatan pergolakan geopolitik di Selat Hormuz yang sedang menghimpit ekonomi dunia, pasak pertahanan dan masa depan sesebuah negara kini tidak lagi sekadar bergantung kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya ditentukan oleh kedaulatan digital dan penguasaan teknologi. Menyedari hakikat ini, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Abdul Rahman, […]
KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap serta mengurniakan surat cara pelantikan kepada 22 Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi sesi 2026–2028. Istiadat rasmi yang penuh gilang-gemilang itu telah berlangsung di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara pada 18 […]