Siddiq Fadzil dan Gagasan Islam Progresif

Kongsikan artikel ini :

Diskusi 2 Seminar Pemikiran Siddiq Fadzil Kelantan 2025: Pemikiran Islam Progresif Menafsir Warisan Dalam Konteks Semasa

Kota Bharu, 11 Oktober 2025 – Pembentangan oleh Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Ustaz Hasri Harun, dalam Diskusi 2 Seminar Pemikiran Siddiq Fadzil sempena Muktamar WADAH Negeri Kelantan Kali Ke-19 dengan tema Pemikiran Islam Progresif: Menafsir Warisan Siddiq Fadzil dalam Konteks Semasa” telah membuka ruang perbincangan mendalam mengenai gagasan pembaharuan Islam berasaskan maqasid syariah dan hikmah yang diperjuangkan oleh almarhum Dato’ Dr. Siddiq Fadzil. Seminar ini telah diadakan di Dewan Wawasan, Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Kota Bharu, Pengkalan Chepa.

Pembentangan tersebut menegaskan bahawa Ustaz Siddiq Fadzil ialah seorang pemikir Islam kontemporari Malaysia yang berperanan besar dalam membangunkan wacana Islamisasi ilmu, pembinaan masyarakat madani dan kebangkitan semula umat melalui pendidikan dan dakwah. Beliau dikenali sebagai pemimpin gerakan Islam dan juga seorang mufakkir ummah yang mempunyai pandangan progresif terhadap Islam serta realiti semasa. Pemikiran progresif yang diangkat oleh almarhum tidak membawa maksud liberal atau bebas daripada tradisi, sebaliknya suatu usaha pembaharuan berasaskan maqasid syariah dan hikmah Islam bagi memastikan Islam terus hidup, relevan dan dinamik dalam menghadapi perubahan zaman.

Islam menurut beliau ialah agama yang ṣāliḥ li kulli zamān wa makān – sesuai untuk setiap masa dan tempat. Oleh itu, pemikiran Islam tidak boleh jumud atau beku, sebaliknya perlu sentiasa bersedia melakukan tajdid (pembaharuan). Islam menolak kejumudan (jumūd al-fikrī) dan menyeru kepada pembaharuan yang berpaksikan wahyu serta nilai-nilai maqasid. Kemajuan pula tidak bermaksud meniru Barat secara membuta tuli, tetapi melakukan islah berasaskan pandangan dunia Islam (worldview tauhidi) yang menggabungkan ilmu, akal dan hikmah.

Asas pemikiran progresif beliau ialah pendekatan maqasid syariah, yakni memahami Islam bukan hanya dari segi bentuk luaran hukum, tetapi pada tujuan dan hikmah di sebaliknya. Maqasid bagi Siddiq Fadzil bukan terbatas kepada aspek ibadah atau hukum peribadi semata-mata, tetapi perlu diterapkan dalam konteks sosial, politik dan ekonomi untuk membina masyarakat adil serta sejahtera. Prinsip maqasid itu menjadi “ruh syariah” yang mesti dijadikan panduan dalam menggubal dasar, membina sistem pendidikan dan membentuk kepimpinan politik. Dengan itu, Islam bukan sistem tertutup, tetapi satu kerangka dinamik yang mampu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman tanpa kehilangan prinsip asalnya.

Pemikiran progresif Siddiq Fadzil turut menekankan konsep wasatiyyah – keseimbangan dan kesederhanaan antara dua kecenderungan melampau: kelompok literalistik yang hanya berpegang kepada teks tanpa memahami konteks, dan kelompok liberal yang menolak autoriti tradisi Islam. Jalan tengah ini menuntut kefahaman mendalam terhadap agama (tafaqquh fi al-din) yang disertai kesedaran terhadap realiti semasa (fiqh al-waqi‘). Dengan keseimbangan ini, umat Islam dapat mengekalkan keaslian ajaran Islam sambil terus maju dalam menghadapi dunia moden yang kompleks dan mencabar.

Dalam bidang pendidikan, beliau menekankan konsep pendidikan berteraskan al-hikmah, iaitu gabungan antara ilmu, akhlak dan makna. Pendidikan bukan hanya bertujuan memenuhi tuntutan pasaran kerja, tetapi untuk membina manusia berjiwa merdeka, berfikir kritis dan berperibadi rabbani. Konsep ini menolak sistem pendidikan sekular yang memisahkan ilmu daripada nilai. Kolej Dar al-Hikmah yang diasaskan beliau dijadikan model pendidikan Islam holistik dan inklusif yang menggabungkan dimensi intelektual, spiritual dan moral.

Allahyarham Ustaz melihat keadilan sosial dan demokrasi sebagai manifestasi nilai Islam yang sebenar. Perjuangan politik Islam menurutnya bukan sekadar menegakkan simbol atau hukum zahir, tetapi menzahirkan nilai keadilan dan kemanusiaan sejagat. Konsep syura menjadi asas kepada demokrasi Islam – proses membuat keputusan secara kolektif, beradab dan menghormati perbezaan pandangan. Menentang kezaliman, rasuah dan penindasan pula dianggap sebagai jihad moden, suatu tanggungjawab moral umat Islam dalam menegakkan keadilan sosial.

Pemikiran beliau turut menyerlah melalui gagasan fiqh ta‘āyush, iaitu kefahaman hidup bersama secara damai dalam masyarakat majmuk. Realiti Malaysia yang berbilang agama, kaum dan budaya menuntut pendekatan silmi (perdamaian) dan ta‘aruf (saling mengenali). Wacana konfrontasi antara Islam dan bukan Islam perlu diganti dengan dialog, keadilan sejagat dan kasih sayang. Islam ditampilkan sebagai rahmat untuk semua (rahmatan lil-‘ālamīn), bukan hanya untuk umat Islam.

Beliau juga menampilkan gagasan nahdah atau kebangkitan budaya Melayu-Islam berasaskan nilai-nilai hikmah dan adab. Bangsa Melayu menurut beliau mesti bangkit sebagai bangsa berilmu, berakhlak dan berjiwa besar, bukan sekadar berbangga dengan simbol keagamaan. Pembaharuan budaya ini menolak unsur feudal, taksub perkauman dan kejumudan yang membantutkan kemajuan.

Progresif bagi beliau tidak bererti menolak tradisi, sebaliknya memperbaharui tradisi dengan roh turath dan minda maqasidi – memahami maksud, bukan sekadar bentuk. Ijtihad kolektif (ijtihad jamā‘i) oleh para ulama, intelektual dan cendekiawan perlu digerakkan bagi menjawab cabaran globalisasi, hak asasi manusia, ekonomi moden dan teknologi digital.

Kesimpulannya, pemikiran progresif Siddiq Fadzil bukan sekadar gagasan akademik, tetapi suatu gerakan kesedaran yang menyeru umat Islam keluar daripada kejumudan menuju pembaharuan berteraskan nilai Ilahi. Beliau menggabungkan hikmah tradisi dan semangat tajdid, menjadikan Islam kekal relevan tanpa kehilangan keasliannya. Progresif menurutnya bererti berpandangan jauh, berpaksikan maqasid, berakhlak dan bersedia memimpin dunia dengan nilai rahmah.

Warisan pemikiran Siddiq Fadzil terus menjadi sumber inspirasi kepada generasi hari ini dalam membina masyarakat madani yang adil, berilmu dan berperikemanusiaan – menjadikan Islam bukan sekadar anutan, tetapi panduan untuk membina peradaban yang berasaskan kasih sayang, keadilan dan kebijaksanaan.

Berita Wadah|Berita Wadah - BM

Siddiq Fadzil dan Gagasan Islam Progresif

Diskusi 2 Seminar Pemikiran Siddiq Fadzil Kelantan 2025: Pemikiran Islam Progresif Menafsir Warisan Dalam Konteks Semasa Kota Bharu, 11 Oktober 2025 – Pembentangan oleh Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Ustaz Hasri Harun, dalam Diskusi 2 Seminar Pemikiran Siddiq Fadzil sempena Muktamar WADAH Negeri Kelantan Kali Ke-19 dengan tema “Pemikiran Islam Progresif: Menafsir Warisan […]

Baca Lanjut

Wanita Madani Bangkit Perkukuh Kesatuan

“Now is the Time”: Presiden WADAH Seru Wanita Madani Bangkit Perkukuh Kesatuan Ummah BANGI, 4 Oktober 2025 – “Now is the time!” demikian seruan Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) ketika menyampaikan ucapan penuh semangat dalam Majlis Makan Malam Inspirasi Wanita Madani: Menyulam Peradaban Ummah yang berlangsung pada 4 Oktober […]

Baca Lanjut

Program Kesihatan Reproduktif WADAH dan Yayasan Taqwa

Program Kesihatan Reproduktif WADAH dan Yayasan Taqwa: Membentuk Generasi Sihat & Bermaruah Alor Setar, 27 September 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Yayasan Taqwa telah menganjurkan Bengkel Kesihatan Reproduktif bertempat di Dewan Dato’ Sheikh Azmi Ahmad, Kompleks Pendidikan Al-Hikmah, Alor Setar, Kedah. Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan dan pendidikan kesihatan reproduktif yang […]

Baca Lanjut

Ukhuwwah Islamiyyah Sebagai Penyembuh Luka

Ceramah Perdana dan Pelancaran Pusat Tunas Nahdah Pokok Sena, Masyarakat Madani: Ukhuwwah Islamiyyah – Penyembuh Luka, Perpaduan Umat ALOR SETAR, 26 September 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman telah dijemput untuk menyampaikan ceramah perdana sempena Muktamar Negeri ke-19 WADAH Kedah dan Pelancaran Pusat Tunas Nahdah Pokok Sena, […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
2231
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
76950
Klik Sini