Dato’ Seri Dr. Wan Azizah Rasmi Seminar Perbandaran Madani
July 28th, 2025
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
Penekanan Peranan Keluarga dan Empati dalam Pembangunan Masyarakat
Kuala Lumpur, 23 Julai 2025 — YB Dato’ Seri Dr. Hajah Wan Azizah binti Dato’ Dr. Wan Ismail, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, hadir menyempurnakan perasmian Seminar Perbandaran Madani: Membangun Masyarakat Sejahtera dan Inklusif yang diadakan di Ballroom Vivatel Hotel, Kuala Lumpur.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan bahawa gagasan Malaysia Madani yang digagaskan oleh Perdana Menteri bukan sekadar slogan politik, tetapi merupakan satu ajakan dan seruan untuk membina negara yang berteraskan nilai-nilai positif seperti ihsan, adab, hormat, belas kasihan dan keadilan.
“Kita mahu menilai kejayaan negara bukan hanya dari angka dan statistik, tetapi melalui rasa rakyat yang dihargai, disayangi dan dilibatkan,” tegas beliau.
Wan Azizah turut menyentuh peranan institusi keluarga sebagai teras pembinaan masyarakat. Katanya, rumah adalah madrasah pertama dan ibu bapa ialah pendidik utama. Beliau menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan isu kesihatan mental, khususnya dalam kalangan belia, serta menekankan perlunya ketahanan jiwa dalam menghadapi ujian kehidupan.
“Dulu orang Melayu tak bunuh diri. Tapi sekarang statistik menunjukkan anak-anak kita putus asa. Kita kena bina kekuatan dalam diri mereka,” ujarnya sambil merujuk kisah Nabi Yunus A.S. sebagai teladan menghadapi kesempitan hidup dengan tawakal.
YB Dato’ Seri turut menyuarakan keprihatinan terhadap suasana kehidupan di kawasan PPR, tekanan hidup ibu bapa yang bekerja, serta kesan teknologi terhadap perkembangan anak-anak.
“Sekarang ni, ramai ibu bapa beri gajet supaya anak diam. Tapi apa yang anak tonton, kita tak tahu. Ibu bapa kena hadir secara emosi dan bimbing anak-anak,” katanya.
Beliau juga menyeru agar masyarakat kembali kepada nilai kejiranan dan menghargai harta awam, serta menggesa agar semua pihak bersama-sama menjaga kemudahan seperti lif di kawasan perumahan demi kesejahteraan bersama.
Mengakhiri ucapan, beliau menyokong usaha penganjuran seminar ini yang menjadi medan membina jaringan dan merancang masa depan masyarakat bandar yang lebih inklusif dan sejahtera.
“Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Seminar Perbandaran Madani: Membangun Masyarakat Sejahtera dan Inklusif,” ucap beliau penuh semangat.
Seminar anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pusat Tunas Nahdah Wilayah serta pelbagai agensi kerajaan dan NGO, menghimpunkan pelbagai pihak bagi membincangkan isu-isu perbandaran serta penyelesaian yang berdaya tahan dalam kerangka Malaysia Madani.
BESTARI JAYA, 10 September 2026 – Dunia keilmuan akademik dan gerakan dakwah masyarakat sivil melakar detik bersejarah apabila Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), YBhg. Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, secara rasminya menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF), Universiti Selangor (UNISEL). Pelantikan berprestij tersebut disempurnakan bersempena Majlis […]
BANDAR BARU BANGI, 27 Ogos 2026 – Memperkukuh ikatan ukhuwah merentas generasi serta menyelaraskan kefahaman fikrah harakah menjadi tunjang utama dalam penganjuran Usrah Gabungan Wadah, ABIM, dan Pelajar (WAP) Negeri Selangor bagi edisi Ogos 2026. Pertemuan bulanan yang dihoskan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor ini telah berlangsung dalam suasana penuh barakah bertempat […]
SHAH ALAM, 23 Ogos 2026 – Membina peradaban masyarakat yang maju menuntut keseimbangan neraca antara penguasaan ilmu, keteguhan nilai moral, serta amalan kebajikan yang berteraskan keadilan. Bagi memperhalusi kerangka penting ini, program Wacana Pemikiran Dr. Siddiq Fadzil telah berjaya dianjurkan bertempat di Dewan Kuliah LT2, Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Shah Alam semalam. Wacana keilmuan berprestij […]
SHAH ALAM, 21 Ogos 2026 – Budaya membaca dan tradisi membedah karya-karya pemikiran terpilih terus disuburkan sebagai teras pembinaan akal budi masyarakat melalui penganjuran rutin bulanan Siri Bedah Buku anjuran bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor. Bagi siri kali ini yang berlangsung di Shah Alam, tumpuan perbincangan […]