Pemergian Murabbi, Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Bin Ghazali
Kajang, Selangor, 6 Mei 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin bin Musa @ Ghazali, Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat dunia keilmuan, aktivisme Islam dan gerakan dakwah tanah air.
Latar Belakang
Dilahirkan pada 13 November 1971 di Alor Setar, Kedah, Allahyarham mendapat pendidikan rendah di Sekolah Rendah Iskandar Alor Setar, Kedah. Pada peringkat menengah beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud dari tahun 1984 hingga tahun 1989. Selepas menghabiskan peringkat menengah di Maktab Mahmud, beliau meneruskan pelajaran ke Pusat Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau sekarang dikenali sebagai Pusat Asasi UIAM di Petaling Jaya selama setahun. Berpeluang meneruskan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir, beliau mengambil keputusan untuk meneruskan pelajaran ke sana dalam bidang pengajian bahasa Arab dari tahun 1991 hingga tahun 1995.
Setelah selesai pelajaran beliau diperingkat ijazah sarjana muda dalam pengajian bahasa Arab di Universiti Al-Azhar Mesir, beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana dalam bidang akidah dan pemikiran di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada tahun 1996-1997. Tidak berhenti di situ, beliau kemudiannya meneruskan pelajaran di peringkat lebih tinggi, peringkat doktor falsafah di dalam bidang yang sama iaitu akidah dan pemikiran di Akademi Pengajian Islam Univeristi Malaya pada tahun 2000 sehingga tahun 2002. Beliau seterusnya berkahwin dan dikurniakan dua orang anak, seorang perempuan dan seorang lelaki
Beliau pernah bertugas di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan sebagai guru pendidikan di Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Selepas beliau menamatkan pelajaran di Universiti Al-Azhar, beliau menginfaqkan diri lebih dari setahun di dalam harakah Islamiyyah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebagai petugas sepenuh masa ketika zaman Haji Ahmad Azam Ab Rahman ditaklifkan sebagai Presiden ABIM. Penglibatan beliau dengan ABIM bermula daripada zaman mahasiswanya lagi, ketika beliau belajar di Pusat Matrikulasi UIAM PJ, beliau telah menyertai Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan meneruskan penglibataan beliau ketika berada di Universiti Al-Azhar dalam cabang ABIM di Mesir. Dari situ beliau terus istiqamah bersama ABIM hinggalah sekarang dengan bersama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).
Jawatan Pernah Dirangkul
Keterlibatan beliau dalam pergerakan dakwah bermula dari sekolah menengah lagi, dimana beliau menjadi salah seorang penulis majalah di sekolah menengah Maktab Mahmud, Kedah. Tidak berhenti setakat itu sahaja, beliau kemudian mula menyertai pergerakan pelajar seperti PKPIM di Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya. Beliau meneruskan keaktifan beliau dalam berorganisasi dengan menyertai ABIM cawangan Mesir. Sedikit demi sedikit, dari memegang jawatan sebagai salah seorang exco ABIM Mesir, beliau kemudiannya diberi kepercayaan bagi menggalas tanggungjawab sebagai Yang diPertua ABIM Mesir pada tahun 1994 sehingga tahun 1995.
Kembalinya beliau ke Malaysia setelah selesai pengajian di Universiti Al-Azhar Mesir, beliau kemudiannya diberi taklifan sebagai exco ABIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun 1996. Beliau kemudiannya dilantik sebagai exco dakwah ABIM Pusat pada tahun 1998. Pada zaman Dr. Yusri Mohamad sebagai Presiden ABIM Pusat, beliau dilantik sebagai Timbalan Presiden ABIM Pusat pada tahun 2002 sehingga tahun 2004. Kini beliau merupakan salah seorang pensyarah dakwah di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Sumbangan dan Hasil Karya
Antara buku yang telah dihasilkan melalui tulisan beliau adalah seperti berikut:
Muhammad Al-Ghazali: Sejarah hidup dan pemikiran (1999)
Syeikh Muhammad Al-Ghazali: Pemikirannya dalam Kayfa Nata’amal Ma’a Al-Quran (2000)
Panduan Berdakwah Kontemporari (2003)
Teks STPM Tamadun Islam (2003)
Sains Politik Islam (2004)
Tokoh Islam Kontemporer (2004)
Minda Hadhari (2005)
Islam dan Demokrasi di Malaysia (2005)
Agenda Melayu (2006)
Islam dan Politik (2006)
Gerakan Islam Antara Dua Paradoks (2006)
10 Profile Sarjana Islam (2009)
Pembangunan Islam di Era Mahathir Mohamad (2010)
Ketokohan Muhamad Al-Ghazali Dalam Bidang Al-Quran dan Al-Hadith (2010)
Membina Pemikiran Islam Menghadapi Cabaran Zaman (2010)
Yusuf Al-Qaradhawi dan Kefahaman Fiqh Pemikiran (2010)
Dakwah dan Pengurusan (2010)
WADAH amat terkesan dan berdukacita atas pemergian tokoh yang amat dikasihi ini. Allahyarham merupakan antara sosok penting yang menyumbang dalam pelbagai wacana, sidang ilmiah dan advokasi Islam yang progresif dan berakar pada maqasid syariah. Doa kami agar segala amal soleh beliau diterima oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan para solihin, anbiya’, dan syuhada’. Kehilangan beliau pasti dirasai oleh segenap lapisan umat yang pernah disentuh oleh ilmunya.
Pengurusan Jenazah Allahyarham Ustaz Dr Rumaizuddin Ghazali. 6 Mei 2025, Selasa
Jenazah akan diuruskan di Masjid Bandar Seri Putra. Dijangka sampai jam 2 petang.
Jangkaan solat jenazah selepas Asar dan dikebumikan dalam jam 5:30 petang.
Lokasi Masjid: https://maps.app.goo.gl/1qT9DTk2ryf9GrRy7?g_st=awb
Rujukan kredit sumber: https://entriuntukilahi.blogspot.com/2015/01/biografi-tokoh-ustaz-rumaizuddin-ghazali.html?m=1
Pemergian Murabbi, Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin Bin Ghazali Kajang, Selangor, 6 Mei 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham Prof. Madya Dr. Mohd Rumaizuddin bin Musa @ Ghazali, Pensyarah Kanan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), yang telah kembali ke rahmatullah pagi tadi. […]
Temu Bual Presiden WADAH di Slot Garis Krisis The Merdeka Times: Diplomasi dan Kemanusiaan, Malaysia Tidak Selamanya Aman Studio Merdeka, 3 Mei 2025 – “Apakah jaminan Malaysia ini akan makmur sebagaimana kita nikmati pada waktu ini?,” ujar Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Penasihat Khas Menteri Luar Negeri bagi Isu Kemanusiaan dan Pembangunan Semula dalam episod […]
Malaysia Tegas Di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ): Presiden WADAH Nyatakan Dunia Sudah Penat Lindungi Israel Kuala Lumpur, 30 April 2025 – Kenyataan lisan Malaysia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) disifatkan sebagai satu tindakan berani dan konsisten dalam memperjuangkan hak asasi rakyat Palestin. Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia […]
Tular Dunia vs Tular Akhirat: Timbalan Presiden WADAH Seru Masyarakat Tapis Maklumat Sebelum Sebar Kuala Lumpur, 25 April 2025 – Masyarakat diingatkan agar lebih berhati-hati dalam menularkan sebarang maklumat di media sosial supaya tidak terjebak dalam kancah fitnah tular dan adu domba yang boleh membawa kerosakan sosial. Seruan ini disampaikan oleh Ustaz Hasri Harun, Pensyarah […]