Rumah Terbuka Menurut Islam: Platform Ziarah, Silaturahim dan Dakwah Budaya
Kuala Lumpur, 10 April 2025 – Rumah terbuka bukan hanya adat tahunan yang sinonim dengan musim perayaan, malah ia berpotensi menjadi ruang untuk menghidupkan sunnah ziarah, mengeratkan silaturahim serta menyemai perpaduan merentas kaum dan agama. Demikian antara kupasan penting yang dikongsikan oleh Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Ustaz Hasri Harun dalam rancangan Assalamualaikum di TV AlHijrah.
Menerusi segmen khas bertajuk “Rumah Terbuka Menurut Islam”, beliau menekankan bahawa rumah terbuka itu sendiri bukanlah syariat khusus dalam Islam, namun amalan ini boleh dijadikan platform untuk melaksanakan nilai dan adab Islam jika dimulakan dengan niat yang betul. Ustaz Hasri menjelaskan bahawa rumah terbuka menjadi medium untuk menunaikan tuntutan Islam seperti yang disebut dalam hadis – antaranya menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, memenuhi jemputan, dan mendoakan orang yang bersin. Hadis ini menunjukkan bahawa memenuhi jemputan termasuk dalam lima hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain.
Rumah Terbuka Sebagai Ibadah
Beliau turut mengingatkan bahawa kehadiran ke rumah terbuka seharusnya bukan semata-mata untuk menikmati hidangan seperti kambing golek atau mencuba menu menarik, tetapi perlu diniatkan sebagai satu bentuk ibadah dan usaha untuk memperkukuh hubungan kasih sayang antara sesama insan. Jika hadir kerana Allah, maka bukan sahaja perut kenyang, bahkan ganjaran pahala dan keberkatan juga bakal diperoleh.
Menurut beliau, penganjuran rumah terbuka juga perlu dirancang dengan baik dan berpandukan adab-adab Islam. Antaranya ialah memastikan pengurusan majlis dilakukan dengan teliti, termasuk pemilihan tempat yang sesuai, pengasingan ruang lelaki dan perempuan, serta penyediaan hiburan yang tidak melalaikan. Hiburan yang disajikan haruslah menenangkan jiwa dan mendekatkan diri kepada Allah, bukan menjurus kepada kelalaian atau maksiat.
Ustaz Hasri turut menyarankan agar jemputan rumah terbuka tidak hanya tertumpu kepada saudara mara atau kenalan penting semata-mata, tetapi harus juga melibatkan jiran tetangga terdekat. Dalam Islam, jiran mempunyai hak yang besar, dan sewajarnya menjadi antara tetamu utama dalam mana-mana majlis kenduri atau jamuan. Hal ini lebih penting apabila aroma makanan dari rumah terbuka itu mampu sampai ke deria jiran yang tidak dijemput – satu perkara yang patut dielakkan menurut adab Islam.
Beliau juga menegur amalan membazir yang sering berlaku dalam rumah terbuka, baik daripada pihak penganjur mahupun tetamu. Penganjur disarankan menyediakan makanan mengikut keperluan sebenar dan mengelak berlebihan. Manakala tetamu pula harus bijak mengambil makanan, terutama ibu bapa yang membawa anak-anak kecil. Ambillah makanan berpada-pada dan elakkan pembaziran, kerana ia perbuatan yang dibenci agama dan menyerupai teman syaitan.
Insan Beradab dan Tidak Membazir
Selain itu, Ustaz Hasri turut menekankan adab semasa kehadiran di rumah terbuka. Kehadiran hendaklah dirasai, bukan sekadar datang makan dan pulang tanpa bersapa. Beliau menyeru agar tetamu memberi salam, bertegur sapa, bertanya khabar dan bersalaman dengan tuan rumah atau penganjur. Ini penting bagi memupuk kasih sayang dan membina hubungan ukhuwah yang lebih bermakna. Terutamanya dalam rumah terbuka keluarga, tetamu sewajarnya menghidupkan suasana mesra dan tidak bersikap acuh tak acuh.
Isu pemilihan waktu juga dibincangkan. Menurut beliau, tetamu perlu menghormati masa dan elakkan hadir terlalu lewat malam atas alasan kesesakan atau terlalu banyak jemputan. Sebaiknya, maklumkan kepada tuan rumah lebih awal jika ada kelewatan atau ketidakhadiran agar tidak membebankan mereka. Tuan rumah juga berhak mendapat rehat dan tidak patut dipaksa melayan tetamu hingga lewat malam semata-mata kerana hubungan kekeluargaan.
Sebagai penutup, beliau mengajak umat Islam untuk memperbaharui niat sebelum melangkah ke rumah terbuka. Niat yang ikhlas kerana Allah untuk menyambung silaturahim akan menjadikan kehadiran kita diberkati, walaupun kita perlu menempuh kesesakan atau cabaran masa. Rumah terbuka yang dirancang dan dihadiri dengan adab dan niat yang betul bukan sahaja menjadi medan menjamu selera, tetapi juga gelanggang untuk meraih pahala, menebar kasih sayang dan memperkukuh ukhuwwah sejati dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama.
Rakaman slot ini boleh ditonton di paparan tertera.
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kedudukan institusi Raja Berperlembagaan serta hubungan antara Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan Persekutuan menjadi tumpuan sesi pertama Dialog Ummah 2.0 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Sesi bertajuk “Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan: Memahami Amanah Kenegaraan” ini mengupas kepentingan memahami asas kenegaraan […]
SUNGAI RAMAL, 23 Oktober 2026 – Di sebalik gelaran sarjana fizik dan pencapaian akademik berprestij di peringkat antarabangsa, keperibadian Almarhumah Profesor Dr. Khalijah Mohd Salleh sentiasa berakar pada satu matlamat tunggal yang amat murni: menjadi seorang Muslimah yang beriman dan mengabdikan seluruh kehidupannya demi meraih keredaan Allah SWT. Penzahiran ini dikongsi secara penuh emosi dan […]