BERHATI-HATI MENGGUNAKAN NAMA SYURGA DAN NERAKA DALAM POLITIK

Kongsikan artikel ini :
hati hati politik

KENYATAAN MEDIA

6 SEPTEMBER 2026
BANDAR BARU BANGI, MALAYSIA

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengambil perhatian terhadap kenyataan Setiausaha Agung Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang mengaitkan sokongan politik dengan persoalan syurga dan neraka. Kenyataan tersebut wajar ditanggapi secara serius kerana penggunaan istilah dan autoriti agama dalam persaingan politik mempunyai implikasi besar terhadap kefahaman masyarakat terhadap Islam.

WADAH berpandangan bahawa persoalan syurga dan neraka adalah perkara akidah dan keputusan mutlak Allah SWT, bukan sesuatu yang sewajarnya dijadikan instrumen untuk mengikat pilihan politik rakyat.

Al-Quran mengingatkan:

“Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dialah yang paling mengetahui tentang orang yang bertakwa.”

(Surah al-Najm, 53:32)

Islam mengajar umatnya supaya menyampaikan kebenaran dengan ilmu, hikmah dan hujah, bukan dengan memberikan gambaran bahawa pilihan terhadap parti atau tokoh politik tertentu secara langsung menentukan kedudukan seseorang di akhirat.

Wadah berpandangan dalam demokrasi, rakyat mempunyai hak untuk memilih berdasarkan pertimbangan ilmu, integriti, rekod perkhidmatan, kemampuan memimpin dan kemaslahatan negara.

Perbezaan pilihan politik tidak sewajarnya ditukar menjadi ukuran iman dan kufur, syurga dan neraka, atau baik dan buruknya seseorang Muslim.

WADAH menegaskan bahawa mengundi adalah suatu keputusan politik; syurga dan neraka pula adalah ketetapan Allah SWT berdasarkan ilmu, keadilan dan rahmat-Nya.

Justeru, kita boleh berbeza parti, pendekatan dan strategi politik, tetapi perbezaan tersebut hendaklah diurus dengan adab al-ikhtilaf.

Jangan sampai persaingan politik melahirkan budaya mencela, menyesatkan, memfitnah, memperlekeh atau menghukum pihak yang berbeza.

Rasulullah SAW bersabda:

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, WADAH berpandangan bahawa parti politik yang membawa nama dan imej Islam mempunyai tanggungjawab moral yang lebih besar untuk memastikan bahasa politiknya mencerminkan rahmah, hikmah, keadilan dan akhlak Islam.

Islam tidak seharusnya dipersembahkan seolah-olah menjadi milik eksklusif mana-mana parti politik.

Parti politik boleh berubah, kepimpinan boleh berubah dan strategi politik boleh berubah. Tetapi prinsip agama keadilan, amanah, rahmah, kebenaran dan kemuliaan insan tidak boleh dijadikan alat untuk memenangkan persaingan kepartian.

Akhirnya, WADAH menyeru semua pemimpin politik agar membina politik pencerdasan umat, bukan politik yang mengeksploitasi ketakutan agama.

Rakyat perlu diberikan hujah tentang dasar, ekonomi, pendidikan, integriti, keadilan sosial, tatakelola, perpaduan dan masa depan negara.

Persaingan politik sepatutnya menjawab persoalan siapakah yang paling amanah,

siapakah yang paling adil, siapakah yang paling berkeupayaan,siapakah yang paling mampu membawa maslahat kepada rakyat dan negara. Bukan siapa masuk syurga dan siapa masuk neraka kerana pilihan politiknya.

WADAH juga menyeru semua parti politik, khususnya parti-parti yang menjadikan Islam sebagai asas perjuangan, supaya memperlihatkan contoh Politik beradab.

Perbezaan adalah sunnatullah. Demokrasi menyediakan ruang untuk perbezaan tersebut diurus melalui dialog, musyawarah, pilihan raya dan proses perlembagaan.

Oleh itu, WADAH mengajak seluruh pemimpin politik Malaysia untuk:

1. Menghentikan penggunaan syurga dan neraka sebagai retorik persaingan kepartian;

2. Mengelakkan penghukuman terhadap keimanan seseorang berdasarkan pilihan politiknya;

3. Memelihara adab al-ikhtilaf dalam perbezaan politik;

4. Mengutamakan hujah, fakta dan prestasi dalam mendapatkan sokongan rakyat;

5. Mengembalikan politik kepada tujuan asalnya sebagai khidmat kepada manusia dan amanah kepada Allah SWT.

WADAH percaya bahawa politik yang berteraskan Islam seharusnya menjadikan manusia lebih beradab, masyarakat lebih bersatu dan negara lebih sejahtera.

Kita tidak perlu menentukan siapa ke syurga dan siapa ke neraka dalam gelanggang politik.

Tugas kita ialah menegakkan kebenaran, berlaku adil, menjaga maruah manusia dan membina kemaslahatan. Penghakiman terakhir adalah milik Allah SWT.

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat ihsan…”

(Surah al-Nahl, 16:90)

Haji Hasri bin Harun
Timbalan Presiden

Kenyataan Media|Kenyataan Media - BM

Dialog Ummah 2.0: Hubungan Raja dan Rakyat Perlu Diperkukuh Berteraskan Amanah, Adat dan Perlembagaan

22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]

Baca Lanjut

Dialog Ummah 2.0: Adab Berbeza Pendapat dan Literasi Media Penting Tangani Perpecahan Masyarakat

22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]

Baca Lanjut

Dialog Ummah 2.0: Institusi Raja dan Keluhuran Perlembagaan Asas Kestabilan Negara

22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kedudukan institusi Raja Berperlembagaan serta hubungan antara Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan Persekutuan menjadi tumpuan sesi pertama Dialog Ummah 2.0 yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Sesi bertajuk “Islam, Melayu, Raja dan Perlembagaan: Memahami Amanah Kenegaraan” ini mengupas kepentingan memahami asas kenegaraan […]

Baca Lanjut
dr khalijah

Memugar Legasi Serikandi Muslimah: Puan Hjh. Adibah Ahmad Singkap Dedikasi, Fikrah dan Jiwa Wakaf Prof. Dr. Khalijah Mohd Salleh di Dar al-Hikmah

SUNGAI RAMAL, 23 Oktober 2026 – Di sebalik gelaran sarjana fizik dan pencapaian akademik berprestij di peringkat antarabangsa, keperibadian Almarhumah Profesor Dr. Khalijah Mohd Salleh sentiasa berakar pada satu matlamat tunggal yang amat murni: menjadi seorang Muslimah yang beriman dan mengabdikan seluruh kehidupannya demi meraih keredaan Allah SWT. Penzahiran ini dikongsi secara penuh emosi dan […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
1122
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
894784
PERSATUAN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA
ROS : PPM-003-10-11902005
Tentang Wadah Jaringan Privasi Polisi
Klik Sini