MERDEKA JIWA, CERDAS UMAT: KEMERDEKAAN MESTI DIRASAI DAN DIMAKNAKAN RAKYAT
August 31st, 2026
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
KENYATAAN MEDIA
31 OGOS 2026 BANDAR BARU BANGI, MALAYSIA
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyambut baik enam ikhtiar yang diumumkan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2026 bagi menangani beberapa keperluan mendesak rakyat, khususnya berkaitan kos sara hidup, pendidikan, pembangunan generasi muda, kesihatan dan kelangsungan peniaga kecil.
Pengumuman ini membawa satu mesej penting – pertumbuhan dan kekayaan negara akhirnya mesti dikembalikan kepada rakyat.
Bagi WADAH, prinsip ini harus menjadi antara ukuran terpenting dalam usaha kita memaknai kemerdekaan. Selepas 69 tahun merdeka, persoalan yang perlu kita tanyakan bukan lagi sejauh mana negara telah membangun, tetapi bagaimana pembangunan itu telah memerdekakan manusia dan mengangkat martabat rakyat.
Kemerdekaan tidak sempurna sekiranya masih ada rakyat yang terhimpit oleh kemiskinan, anak-anak yang tercicir daripada pendidikan berkualiti, keluarga yang terbeban dengan kos kehidupan dan generasi muda yang tidak dipersiapkan menghadapi perubahan dunia.
Atas asas itu, WADAH melihat dengan positif peningkatan peruntukan penyelenggaraan sekolah kepada RM1.5 bilion yang turut melibatkan sekolah agama, tahfiz, pondok dan pendidikan khas. Pendidikan bukan sekadar satu sektor pembangunan. Pendidikan harus dilihat sebagai jalan utama ke arah memerdekakan pemikiran, membina keupayaan insan dan menentukan masa depan sesebuah bangsa.
WADAH turut melihat langkah membuka peluang latihan kecerdasan buatan (AI) kepada 100,000 anak muda sebagai satu langkah penting dan tepat pada masanya. Namun, cabaran generasi muda hari ini bukan sekadar untuk celik teknologi tetapi harus cerdas teknologi.
Dalam dunia hari ini yang terbentuk oleh algoritma dan ledakan maklumat, generasi muda mesti ada keupayaan untuk membezakan antara ilmu dengan manipulasi, fakta dengan fitnah, serta kemajuan teknologi dengan penyalahgunaan teknologi. Di sini agenda pencerdasan umat menjadi semakin signifikan.
Sebagai sebuah gerakan Islam, WADAH berpandangan bahawa umat Islam tidak boleh menjadi pengguna pasif kepada perubahan teknologi. Kita mesti melahirkan generasi yang mampu menguasai teknologi, menghasilkan ilmu dan kandungan, membina naratif namun masih memelihara keluhuran nilai dan akhlak untuk menentukan bagaimana teknologi digunakan bagi kemaslahatan manusia.
WADAH juga memberikan perhatian terhadap pengumuman Perdana Menteri bahawa dana hasil haram, rasuah dan salah guna kuasa yang diperoleh melalui proses undang-undang akan disalurkan terutamanya kepada pendidikan dan kesihatan rakyat.
Prinsip ini perlu diperkukuhkan. Memerangi rasuah bukan semata-mata menangkap dan menghukum mereka yang bersalah. Ia merupakan persoalan amanah yang harus dikembalikan kepada rakyat. Kekayaan negara yang diseleweng adalah hak rakyat. Apabila ia dimanfaatkan untuk membina sekolah, meningkatkan pendidikan dan memperkukuh kesihatan rakyat, maka usaha membanteras rasuah membawa makna yang jauh lebih besar kepada kehidupan masyarakat.
Pada masa yang sama, WADAH berharap semua ikhtiar yang diumumkan dapat dilaksanakan secara cekap, telus dan sampai kepada kelompok sasaran. Pengumuman dasar yang baik mesti diterjemahkan kepada pelaksanaan yang benar-benar dirasai rakyat, khususnya mereka yang berada di lapisan akar umbi.
Kerajaan mempunyai tanggungjawabnya. Masyarakat sivil juga mempunyai tanggungjawabnya yang tersendiri. WADAH percaya bahawa pembinaan negara tidak boleh diserahkan kepada kerajaan semata-mata. NGO, institusi pendidikan, institusi agama, sektor swasta, keluarga dan seluruh masyarakat perlu membentuk satu ekosistem yang bersama-sama mencerdaskan dan memperkasa rakyat.
WADAh, sebagai sebuah NGO Islam yang membawa misi pencerdasan umat, akan tetap istiqamah dalam memberikan penumpuan kepada agenda pembangunan umat dan mengangkat karamah insaniah terutamanya di peringkat akar umbi. Kita mahu melihat kemerdekaan Malaysia melahirkan umat yang bukan sahaja bebas secara politik, tetapi merdeka pemikirannya, tinggi ilmunya, kukuh akhlaknya dan berani menentukan masa depannya sendiri.
Sempena Hari Kebangsaan ke-69, WADAH menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya kembali menghayati makna kemerdekaan dengan memperkukuh muafakat dan menolak segala bentuk kebencian, perkauman sempit, ekstremisme, rasuah serta politik yang memecah-belahkan masyarakat.
Kita mungkin berbeza pandangan dan pendirian, tetapi kita berkongsi tanah air dan masa depan yang sama. Kemerdekaan yang diwariskan kepada kita bukan sekadar untuk diraikan. Ia suatu amanah untuk dipertahankan dan disempurnakan.
Selamat Menyambut Hari Kebangsaan ke-69.
“MENGANGKAT MARTABAT UMAT”
AZIZUDDIN AHMAD Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]