WADAH SOKONG PENDEDAHAN LAPORAN RCI TABUNG HAJI, DESAK KETELUSAN PENUH DAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG TANPA PILIH KASIH
July 30th, 2026
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
KENYATAAN MEDIA
29 Julai 2026
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyambut baik keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan dan mendedahkan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum.
Keputusan ini merupakan langkah penting ke arah memperkukuh prinsip ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus berintegriti dalam sebuah institusi umat Islam yang amat dekat dengan kepentingan rakyat, khususnya para pendeposit dan bakal jemaah haji.
WADAH turut menyokong keputusan kerajaan untuk membentangkan dan membahaskan laporan tersebut dalam satu sidang khas Dewan Rakyat. Perbahasan secara terbuka dan bertanggungjawab amat penting bagi memastikan rakyat mendapat kefahaman yang jelas berasaskan fakta, bukan spekulasi, sentimen politik atau persepsi yang tidak lengkap.
Dalam masa yang sama, WADAH mendesak agar segala dapatan dalam laporan tersebut diteliti secara serius oleh badan-badan penguat kuasa. Sekiranya terdapat unsur salah laku, kecuaian, penyelewengan, pelanggaran amanah atau pelanggaran undang-undang, pihak yang bertanggungjawab mestilah dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira kedudukan, pengaruh atau latar politik.
Tabung Haji bukan sekadar sebuah institusi kewangan. Ia adalah institusi amanah umat yang dibina atas kepercayaan rakyat, simpanan para pendeposit dan cita-cita umat Islam untuk menyempurnakan rukun Islam kelima. Justeru, sebarang kelemahan tadbir urus yang pernah berlaku mesti dijadikan pengajaran besar agar ia tidak berulang.
WADAH mengambil maklum bahawa sebahagian besar syor penambahbaikan telah dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH. Perkembangan ini wajar dihargai, namun ia tidak harus menutup keperluan untuk memastikan akauntabiliti penuh terhadap apa-apa keputusan lampau yang menjejaskan integriti institusi berkenaan.
WADAH juga menggesa kerajaan dan pengurusan TH agar terus memperkukuh kerangka tadbir urus, pemantauan risiko, pematuhan syariah, ketelusan pelaburan serta komunikasi awam kepada pendeposit. Keyakinan rakyat hanya dapat dipulihkan dan dipertahankan melalui pembaharuan yang konsisten, telus dan boleh diukur.
Pada masa yang sama, WADAH menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu ini secara sempit. Fokus utama mestilah kepada pemulihan institusi, perlindungan kepentingan pendeposit, penegakan keadilan dan pembinaan semula kepercayaan awam terhadap Tabung Haji.
WADAH percaya bahawa pendedahan laporan RCI ini perlu menjadi titik mula kepada reformasi institusi yang lebih menyeluruh. Ketelusan tidak harus berhenti pada pendedahan laporan semata-mata, tetapi mesti diterjemahkan melalui tindakan susulan yang tegas, pembaikan sistem dan pendakwaan yang adil sekiranya wujud kesalahan.
WADAH menegaskan bahawa amanah umat tidak boleh dikompromi. Tabung Haji mesti terus dipertahankan sebagai institusi Islam yang berwibawa, berintegriti dan diyakini oleh rakyat.
Azizuddin Ahmad Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]