Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) memandang amat serius pendedahan mengenai sindiket pengedaran dadah yang dipercayai mengeksploitasi kemudahan pengangkutan udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sehingga membawa kepada penahanan 11 individu termasuk lima pegawai TUDM. Pihak berkuasa turut merampas 96.64 kilogram dadah disyaki metamfetamina bernilai RM4.83 juta.
Jika siasatan mengesahkan bahawa kemudahan dan akses strategik pertahanan negara telah disalahgunakan untuk kegiatan jenayah terancang, perkara ini bukan sekadar isu pengedaran dadah. Ia menyentuh integriti institusi keselamatan, kerahsiaan operasi dan keselamatan negara.
WADAH menyambut baik ketegasan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, bahawa tidak boleh ada kompromi terhadap kegiatan penyeludupan dan rasuah yang melibatkan anggota keselamatan, tanpa mengira pangkat atau kedudukan. Pendirian yang sama mesti diterjemahkan melalui siasatan yang menyeluruh, bebas dan tanpa sebarang perlindungan kepada mana-mana pihak.
Siasatan tidak boleh terhenti pada individu yang ditahan. Seluruh rantaian perlu diteliti, termasuk bagaimana akses diperoleh, bagaimana barangan boleh dibawa memasuki sistem pengangkutan tentera, pihak yang menyelaras pergerakan, kemungkinan wujudnya perlindungan dalaman, aliran kewangan serta sama ada terdapat individu lain yang terlibat.
WADAH turut menghargai tindakan petugas TUDM yang mengesan bahan terlarang melalui pemeriksaan rutin di Pangkalan Udara Subang sebelum perkara itu diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman. Tindakan tersebut menunjukkan bahawa mekanisme kawalan dalaman berfungsi, namun kejadian ini pada masa yang sama menuntut penilaian semula yang lebih menyeluruh terhadap tahap keselamatan dan tatakelola kemudahan pertahanan.
Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia perlu memperketat prosedur kawalan akses, pemeriksaan bagasi dan kargo, kelulusan penerbangan, pengawasan logistik serta sistem audit dan pemantauan. Sebarang kelemahan yang boleh dieksploitasi oleh sindiket jenayah mesti dikenal pasti dan ditutup segera.
WADAH khuatir sekiranya rangkaian jenayah mampu menembusi kemudahan strategik pertahanan, kelemahan yang sama berpotensi dimanfaatkan untuk kegiatan lain yang lebih berbahaya kepada keselamatan dan kedaulatan negara. Justeru, isu ini mesti ditangani sebagai persoalan keselamatan nasional dan integriti institusi, bukan sekadar kes jenayah biasa.
Pada masa yang sama, tindakan segelintir individu tidak boleh mencemarkan nama ribuan anggota Angkatan Tentera Malaysia yang menjalankan amanah dengan penuh disiplin, keberanian dan kesetiaan. Sebab itulah siasatan mesti dilakukan secara tegas dan adil agar mereka yang tidak bersalah dilindungi, manakala sesiapa yang terbukti mengkhianati amanah dikenakan tindakan tanpa kompromi.
WADAH menyeru kerajaan memastikan hasil siasatan dan langkah pembaikan institusi dimaklumkan kepada rakyat secara sewajarnya. Keyakinan terhadap institusi keselamatan hanya dapat dipertahankan melalui ketelusan, akauntabiliti dan tindakan yang jelas.
Keselamatan negara tidak boleh dikompromi. Aset dan kemudahan pertahanan ialah amanah negara, bukan ruang yang boleh dieksploitasi oleh sindiket jenayah.
“MENGANGKAT MARTABAT UMAT”
AZIZUDDIN AHMAD Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
17 November 2026 | Editor WADAH SUNGAI GABAI, 17 November – Seramai 20 orang kanak-kanak masyarakat Orang Asli Sungai Gabai telah menyertai program komuniti yang dikendalikan oleh empat peserta Daie Muda YADIM (DMY) yang kini menjalani latihan industri di Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Program ini memberi tumpuan kepada aktiviti interaktif dan santai bersama kanak-kanak […]
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]