Ceramah Perdana dan Pelancaran Pusat Tunas Nahdah Pokok Sena, Masyarakat Madani: Ukhuwwah Islamiyyah – Penyembuh Luka, Perpaduan Umat
ALOR SETAR, 26 September 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman telah dijemput untuk menyampaikan ceramah perdana sempena Muktamar Negeri ke-19 WADAH Kedah dan Pelancaran Pusat Tunas Nahdah Pokok Sena, bertempat di Dewan Masjid Al-Ariffin, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar, Kedah. Program tersebut berlangsung pada Jumaat, 26 September 2025, jam 7.30 malam.
Ceramah beliau yang bertajuk “Masyarakat Madani: Ukhuwwah Islamiyyah – Penyembuh Luka Perpaduan Umat” menekankan betapa pentingnya ukhuwwah Islamiyyah sebagai asas pembinaan masyarakat madani dan penawar kepada perpecahan umat.
Ukhuwwah Sebagai Asas Masyarakat Madani
Dalam mukadimahnya, presiden menjelaskan bahawa masyarakat madani yang diidamkan adalah masyarakat berperadaban, berdiri atas prinsip ketakwaan, keadilan dan persaudaraan. Namun, cita-cita ini tidak akan tercapai jika ikatan persaudaraan dalam kalangan umat Islam masih rapuh.
Pesanan kepada hadirin tentang firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang menyeru umat Islam agar berpegang teguh pada tali Allah dan jangan bercerai-berai.
Terdapat tiga pilar utama ukhuwwah Islamiyyah yang menjadi panduan dalam membina perpaduan:
At-Ta’aruf (Saling Mengenal): Landasan untuk membangun hubungan, memahami karakter sesama Muslim, menjalin silaturahim, memahami latar belakang dan aktif dalam kegiatan masyarakat.
At-Ta’awun (Saling Menolong): Perintah untuk tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan (rujuk Surah al-Ma’idah: 2), yang diterjemah dalam bentuk gotong-royong, membantu golongan kesusahan, serta mendukung program kebajikan.
Al-Islah (Mendamaikan): Kewajipan mendamaikan perselisihan sesama saudara seiman (rujuk Surah al-Hujurat: 10), menjadi penengah yang adil, meredakan fitnah, dan mengajak kepada rekonsiliasi.
Teladan Sejarah Rasulullah dan Sahabat
Mengimbau sirah Rasulullah SAW, beliau menegaskan bagaimana Nabi mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Kisah Saad bin Rabi’ yang rela berkongsi harta dengan Abdul Rahman bin Auf dijadikan teladan betapa kuatnya ikatan ukhuwah.
Contoh lain termasuk Perjanjian Aqabah, Piagam Madinah, Perjanjian Hudaibiyah, dan Fathul Makkah, yang menunjukkan strategi Rasulullah SAW menegakkan keamanan dan perpaduan walaupun dalam keadaan mencabar. Sejarah ini perlu diteladani bersama supaya tidak hilang ditelan arus moden.
Dato’ Ahmad Azam memetik pemikiran Imam Badiuzzaman Said Nursi yang menjelaskan strategi pecah dan perintah (“divide and rule”) yang digunakan penjajah sejak kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924. Strategi ini menurut beliau masih berterusan sehingga kini, bahkan menjadi punca kelemahan umat Islam di Gaza yang telah menderita lebih 700 hari serangan berterusan tanpa tindakan konkrit dunia Islam.
Contoh lain turut disebut seperti negara Sudan, Libya dan Iraq yang runtuh akibat salah urus politik dan perpecahan dalaman sehingga maqasid syariah tidak dapat dilaksanakan.
Peringatan Buat Malaysia
Ditegaskan bahawa keamanan Malaysia adalah nikmat Allah yang wajib dipelihara. Beliau memberi amaran, jika perpecahan, salah faham agama dan jurang ekonomi dibiarkan, Malaysia juga boleh menghadapi nasib sama seperti negara-negara Islam yang lain.
Kemuncak program ialah pelancaran Tunas Nahdah di Kedah sebagai model baharu gerak kerja WADAH. Melalui Tunas Nahdah, WADAH berhasrat untuk:
Menangani salah faham agama,
Mengurangkan jurang ekonomi dan sosial,
Menyantuni masyarakat miskin tanpa mengira agama, selaras dengan konsep karamah insaniah,
Mengurangkan ketegangan dan mengajak kepada perdamaian serta persaudaraan Islam.
Beliau mengajak ahli WADAH, ABIM, dan PKPIM bersama-sama menjayakan projek ini yang menjadi pelopor penyatuan umat melalui pendidikan, dakwah dan kebajikan.
Seruan Menjelang Muktamar Kebangsaan
Hadirin perlu bersiap sedia menghadiri Muktamar Nasional kali ke-19 Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (MUKNAS19) pada 28–30 November 2025 di Permatang Pauh, Pulau Pinang. Acara ini bakal menghimpunkan tokoh dari Filipina, Kemboja dan Thailand untuk membincangkan agenda masyarakat madani berasaskan sirah Nabawiyyah.
Mengakhiri ceramah, beliau menegaskan bahawa hanya dengan kembali kepada roh masyarakat madani, prinsip ukhuwwah Islamiyyah, serta teladan Rasulullah SAW, umat Islam akan mampu bangkit selepas 100 tahun kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah.
“Ukhuwwah Islamiyyah adalah penyembuh luka perpecahan umat. Ia amanah Ilahi yang mesti dijaga. Jika kita bersatu, dengan izin Allah, umat Islam akan bangkit kembali.” – Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman
Rakaman ceramah boleh ditonton di paparan tertera.
KUALA LUMPUR, 14 Januari 2026 – Mendepani landskap sosial yang semakin mencabar di era digital, gerakan dakwah di Malaysia perlu melakukan anjakan paradigma dengan mengadopsi pendekatan “di luar kotak”. Keperluan ini menjadi fokus utama dalam Konvensyen Dakwah Negara: Mendepani Isu Sosial Umat yang berlangsung dengan penuh jayanya di Kingston 10 @ Unicorn Hotel, Kuala Lumpur, […]
CYBERJAYA, 5 Disember 2025 – Bertempat di Dewan Semarak, Cyberjaya, satu anjakan paradigma dalam memperkasa ekonomi golongan wanita telah dizahirkan menerusi penganjuran Seminar Ekonomi Wanita MADANI oleh Pekawanis. Program yang berlangsung bermula jam 8:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ini telah berjaya menghimpunkan ratusan peserta yang terdiri daripada usahawan, surirumah, dan belia dari sekitar daerah […]
Menghidupkan Syura, Memperkukuh Amal Jama‘iyy, Mempersatukan Umat MUKADIMAHTahun 2026 dan Panggilan Tanggungjawab Bismillāhirraḥmānirraḥīm.Saudara-saudari pimpinan dan seluruh warga Gerakan WADAH yang saya kasihi. Kita melangkah ke tahun 2026 dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu. Perpecahan umat semakin ketara, politik kebencian semakin menular, dan suara hikmah sering tenggelam dalam lautan emosi. Dalam suasana inilah Allah SWT […]
PUTRAJAYA, 28 Disember 2025 – Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) hari ini melakar sejarah penting dalam landskap dakwah negara melalui penganjuran Forum Masyarakat Madani: Menolak Ketaksuban, Mempromosi Hikmah Melalui Asas Islam Rahmah (AISAR). Program yang berlangsung di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Qur’an ini telah menjadi medan pertembungan idea yang progresif bagi menangani isu ekstremisme […]