Serahan Sumbangan dan Inspirasi OKU Penglihatan PPR
May 28th, 2025
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
Program “Bicara Dari Hati” OKU Penglihatan dan Serahan Sumbangan Kepada Warga PPR
KUALA LUMPUR, 24 Mei 2025 — Dalam kesibukan rutin harian penghuni Perumahan Awam Seri Kota, satu program penuh inspirasi dan menyentuh perasaan telah berjaya menyatukan komuniti setempat, bukan melalui kehadiran selebriti popular atau pidato hebat, tetapi melalui kisah kehidupan tiga anak muda luar biasa yang memilih untuk bangkit walau diuji kehilangan penglihatan.
Program “Bicara Dari Hati”, anjuran bersama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Yayasan Nur Inspirasi, dan Jiran Wanita KRT Perumahan Awam Seri Kota, telah menghimpunkan lebih 50 orang peserta yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal dan golongan B40. Program ini merupakan manifestasi solidariti masyarakat dan lambang kekuatan insan apabila diuji dengan cabaran hidup.
Tiga Anak Muda, Tiga Kisah Ketabahan
Tiga figura utama program ini, Khairul Azreen, Dinie Rashid, dan Rashidi Abdullah adalah golongan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan yang kehilangan deria penglihatan mereka pada usia remaja. Namun, daripada memilih simpati sebagai jalan hidup, mereka tampil berkongsi kisah perjuangan dan kebangkitan diri yang disulami nilai kesabaran, kesyukuran, dan reda. Lebih mengesankan, mereka mengangkat peranan ibu bapa masing-masing yang tetap menjadi cahaya penunjuk arah dalam kegelapan yang menimpa.
Datin Fauziah Ramly, Pengerusi Yayasan Nur Inspirasi, bertindak selaku moderator program dan berjaya mewujudkan suasana intim serta menyentuh perasaan antara panel dan hadirin. Antara detik paling menyentuh hati ialah ketika Rashidi Abdullah mendeklamasikan puisi tulisannya sendiri bertajuk “Buta dan Mak”, yang mengundang linangan air mata ramai peserta. Dinie Rashid pula menghiburkan hadirin dengan alunan suara lunaknya, yang pernah memikat penonton di pentas Big Stage Astro Ria, manakala Khairul Azreen memetik gitar sambil menyampaikan mesej harapan yang menyentuh hati.
Kolaborasi Pelbagai Pihak Demi Manfaat Masyarakat
Program ini turut disokong oleh beberapa agensi dan organisasi lain. Jiran Wanita KRT Seri Kota memainkan peranan penting dalam urusan logistik program, manakala Global Peace Mission Malaysia (GPM) menyumbangkan 50 kampit beras kepada para peserta sebagai tanda penghargaan. Yayasan Foodbank Malaysia pula menyumbang makanan sejuk beku untuk diagihkan sebagai cenderamata kepada penerima manfaat.
Program ini turut menyelitkan pengisian rohani menerusi tazkirah ringkas bertajuk “Adab Hidup Berjiran” yang disampaikan oleh Tuan Haji Megat Mohamad Azlan bin Md Arshad, Ahli Jawatankuasa WADAH Pusat. Tazkirah ini memberikan dimensi spiritual yang memperkukuh lagi nilai kebersamaan dan adab dalam kehidupan bermasyarakat.
Dari Gelap Menuju Terang: Mesej yang Menghidupkan Jiwa
WADAH dan Yayasan Nur Inspirasi dalam kenyataan bersama menyatakan bahawa program “Bicara Dari Hati” bukan sekadar satu acara motivasi, tetapi adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memupuk rasa empati, membina solidariti dan memberi ruang kepada suara-suara yang sering terpinggir agar dapat diraikan dan didengari.
“Program ini mengingatkan kita bahawa kekurangan bukan penghalang untuk berjaya dan menyumbang kepada masyarakat. Ia juga membuktikan bahawa keprihatinan dan kerjasama antara pelbagai pihak mampu mencetuskan impak yang besar kepada komuniti,” ujar Datin Fauziah Ramly dalam ucapan penutupnya.
Kata-kata penutup Rashidi Abdullah dalam puisinya “BUTA” menjadi penutup yang menggugah hati setiap yang hadir:
“Biarkan sahaja aku dibuta di sini, jika itu satu cagaran agung untuk aku dibangkit celik di Mahsyar nanti.”
Dengan program seperti ini, WADAH bersama rakan strategiknya terus komited meneruskan perjuangan mencerahkan umat, bukan sekadar dengan wacana, tetapi dengan menyentuh jiwa.
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]