Bukit Mertajam, 23 November 2025 – Seminar Wanita Sejahtera, Anggun & Wibawa yang diadakan di Dewan Aminuddin Baki, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun hari ini berjaya menghimpunkan hampir 300 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk guru, mahasiswa, wakil NGO, persatuan orang pekak, ibu tunggal dan masyarakat awam. Program anjuran SALWA Pulau Pinang dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), IPG Kampus Tuanku Bainun, IPG Kampus Pulau Pinang, Koperasi Ibu Tunggal dan Wanita Seberang Perai Tengah Berhad, Persatuan Orang Pekak Pulau Pinang serta Pusat Tunas Nahdah Permatang Pauh ini bertujuan memperkasa kesejahteraan wanita secara holistik merangkumi aspek fizikal, mental, sosial dan spiritual.
Seminar yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari ini dirasmikan oleh Pengarah IPG Kampus Tuanku Bainun, Tuan Haji Mohd Fadzil Mohd Salleh. Majlis turut menyaksikan ucapan aluan oleh Pengerusi SALWA Malaysia, Puan Hajah Nordiran Idris yang menegaskan perlunya inisiatif berterusan untuk meningkatkan literasi kesihatan wanita serta mengatasi stigma berkaitan isu kesihatan mental.
Menurut beliau, wanita merupakan aset penting dalam pembangunan keluarga, masyarakat dan negara. “Wanita hari ini bukan sahaja memikul amanah sebagai pendidik anak bangsa, bahkan turut menyumbang dalam sektor ekonomi, pentadbiran, pendidikan dan sosial. Tekanan dan tuntutan berterusan ini menuntut wanita mengurus kesejahteraan diri dengan lebih baik, supaya mampu berperanan secara berkesan,” ujarnya dalam ucapan perasmian tersebut.
Seminar menampilkan tiga panel pakar yang membentangkan isu-isu kritikal berkaitan wanita. Slot pertama oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nur Izura Udzir dari Universiti Putra Malaysia (UPM) membincangkan tema utama seminar “Wanita Sejahtera, Anggun dan Wibawa: Fizikal, Mental, Sosial dan Spiritual”. Beliau menekankan bahawa kecantikan dan keanggunan wanita bukan sekadar aspek luaran, tetapi meliputi kekuatan minda, akhlak dan daya tahan emosi.
Sesi kedua pula oleh Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Dr. Jumaida Abu Bakar yang memberi penerangan tentang bahaya obesiti dalam kalangan wanita. Menurut beliau, kadar obesiti wanita di Malaysia semakin meningkat, menyebabkan risiko penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, kanser dan komplikasi kehamilan. Tekanan kerja, gaya hidup sedentari serta pemakanan tidak sihat dikenal pasti antara punca utama yang perlu diberi perhatian secara serius.
Sementara itu, Pakar Psikiatri Hospital Bukit Mertajam, Dr. Lily Marina Ismail membentangkan isu “Masalah dan Penyakit Mental dalam Kalangan Wanita” yang kian membimbangkan seperti stres, keresahan (anxiety), kemurungan serta postpartum depression. Ramai wanita yang mengalami gejala ini enggan mendapatkan bantuan kerana stigma dan rasa malu, sekali gus memburukkan lagi keadaan. Beliau menegaskan kepentingan menghapuskan stigma dan menyediakan sokongan persekitaran yang lebih inklusif.
Kesemua slot berjaya menarik perhatian para peserta dengan perkongsian ilmiah yang memberi kesedaran bahawa kesejahteraan wanita harus dilihat secara menyeluruh. Pendekatan seimbang antara kerjaya, keluarga dan kesihatan diri menjadi faktor penting untuk melahirkan wanita yang berwibawa, yakin diri dan berdaya saing.
Seminar ini juga merumuskan beberapa resolusi yang dibentangkan oleh Ketua SALWA Pulau Pinang, Puan Nor Hayati Abu Bakar, antaranya memperkukuh program sokongan komuniti wanita, memperluas akses pendidikan kesihatan, meningkatkan kempen kesedaran kesihatan mental serta memperkasa jaringan kerjasama strategik antara NGO, institusi pendidikan dan agensi kerajaan.
Kesimpulannya, penganjuran Seminar Wanita Sejahtera, Anggun & Wibawa jelas menjadi platform penting dalam usaha memperkasa wanita Malaysia. Program ini bukan sahaja menyuntik motivasi dan inspirasi kepada peserta, malah membuka ruang perkongsian ilmu yang mampu membantu wanita menangani cabaran masa kini dengan lebih yakin, seimbang dan berintegriti. SALWA Pulau Pinang komited meneruskan daya usaha sebegini sebagai manifestasi sokongan terhadap agenda pembangunan wanita demi kemakmuran masyarakat dan negara.
WADAH MENGUTUK ESKALASI SERANGAN TERHADAP INFRASTRUKTUR TENAGA IRAN & AMARAN KRISIS GLOBAL KENYATAAN MEDIA 19 MAC 2026 Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah susulan serangan ke atas FASILITI GAS SOUTH PARS MILIK IRAN—antara medan gas terbesar dunia—yang kini mencetuskan risiko besar kepada keselamatan tenaga global […]
WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI KENYATAAN MEDIA19 Mac 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor WADAH menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Muslim dan Hindu yang bertujuan mencari titik damai serta meredakan ketegangan antara agama dalam negara. Usaha ini […]
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]