BENGKEL KERJA REFORMASI SEKOLAH SBP: MEMBINA GENERASI UMMATIK DALAM MENGHADAPI CABARAN GEOPOLITIK DUNIA
Putrajaya, 9 Mac 2025 – Dato’ Ahmad Azam bin Abdul Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) yang juga merupakan Penasihat Khas Menteri Luar Negeri, telah menyampaikan sesi bertajuk “Membina Generasi Ummatik dalam Menghadapi Cabaran Geopolitik Dunia” dalam Bengkel Kerja Reformasi Sekolah ke Arah Melestarikan Kecemerlangan Sekolah Berasrama Penuh anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dalam perkongsiannya, beliau menegaskan bahawa umat Islam sedang menghadapi cabaran besar dalam geopolitik global dan menyorot kepentingan membentuk generasi ummatik yang bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi juga memahami tanggungjawab dalam memperjuangkan keadilan dan hak umat Islam sejagat.
Beliau mengupas Ibrah daripada Surah Ar-Rum yang menggambarkan kebangkitan dan kejatuhan kuasa besar dunia serta mengaitkannya dengan kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 yang membawa kepada penjajahan umat Islam selama 100 tahun. Dato’ Ahmad Azam turut merujuk kepada tiga penyakit utama yang melanda umat Islam pasca-penjajahan, sebagaimana yang disebut oleh Imam Badi’uzzaman Said Nursi:
Kejahilan yang dirancang untuk menjauhkan umat Islam daripada ilmu dan kefahaman Islam yang sebenar.
Kemiskinan yang disengajakan bagi melemahkan ekonomi umat Islam.
Perpecahan yang menyebabkan umat Islam mudah dieksploitasi oleh kuasa besar dunia.
Beliau turut membincangkan tanda-tanda besar perubahan geopolitik dunia, termasuk kemenangan Taliban di Afghanistan pada 15 Ogos 2021, kejatuhan proksi kolonial Perancis di Burkina Faso pada 30 September 2022, dan peristiwa Taufan Al-Aqsa oleh Hamas pada 7 Oktober 2023. Perubahan-perubahan ini, katanya, menandakan fasa kebangkitan baharu umat Islam yang memerlukan persiapan rapi dari aspek kepimpinan, ilmu, dan solidariti global.
Mengaitkan realiti ini dengan sistem pendidikan di Malaysia, beliau menekankan bahawa reformasi sekolah harus bersandarkan kepada nilai-nilai Islam, membentuk murid yang seimbang dari segi intelektual, emosi, spiritual, dan sahsiah, serta melahirkan pemimpin masa depan yang memahami geopolitik dunia dan mampu memperjuangkan hak umat Islam di peringkat global.
Bengkel Kerja Reformasi Sekolah: Misi Melestarikan SBP
Dalam usaha memperkasakan sistem pendidikan negara, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh (BPSBP), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menganjurkan bengkel ini dari 9 hingga 11 Mac 2025 bertempat di Dewan Serbaguna, Aras 9, Blok E12, Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya. Bengkel ini bertujuan meningkatkan kompetensi dan akauntabiliti Pengetua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dalam menyahut agenda reformasi pendidikan. Dengan tema reformasi sekolah, bengkel ini menyediakan platform bagi pengetua SBP untuk mendalami strategi kepimpinan serta memahami peranan mereka dalam membentuk generasi berdaya saing dan berjiwa ummatik.
Sepanjang sesi ini, para pengetua SBP turut berpeluang untuk berdialog secara langsung dengan Dato’ Ahmad Azam, berkongsi cabaran dalam sistem pendidikan, serta mendapatkan pandangan mengenai pendekatan terbaik dalam membina persekitaran sekolah yang lebih inklusif dan dinamik.
Bengkel ini diharapkan dapat memberi impak besar dalam usaha memperkukuh peranan sekolah berasrama penuh sebagai institusi pendidikan yang bukan sahaja melahirkan pelajar berprestasi tinggi, tetapi juga pemimpin masa depan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan ummah dan negara.
WADAH MENGUTUK ESKALASI SERANGAN TERHADAP INFRASTRUKTUR TENAGA IRAN & AMARAN KRISIS GLOBAL KENYATAAN MEDIA 19 MAC 2026 Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah susulan serangan ke atas FASILITI GAS SOUTH PARS MILIK IRAN—antara medan gas terbesar dunia—yang kini mencetuskan risiko besar kepada keselamatan tenaga global […]
WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI KENYATAAN MEDIA19 Mac 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor WADAH menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Muslim dan Hindu yang bertujuan mencari titik damai serta meredakan ketegangan antara agama dalam negara. Usaha ini […]
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]