Mengukuhkan Perpaduan Umat: Pesanan Presiden Wadah Menelusuri Marhalah Daulah Dalam Tamrin Tarbawi Ramadan
Ipoh, 22 Mac 2025 – Konsep negara bangsa adalah ciptaan penjajah yang bertujuan memecahbelahkan umat Islam. Umat Islam perlu bersatu dalam satu kesatuan yang lebih besar demi memperkukuhkan Islam dan membina masa depan yang lebih gemilang. Demikian antara intipati utama yang disampaikan oleh Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), dalam pembentangan beliau bertajuk “Misi Tanwiri: Dari Marhalah Daulah ke Marhalah Khilafah” dalam program Tamrin Tarbawi Ramadan dan Iftar Jama’iy yang berlangsung di Masjid Syed Muhammad Jamalullail, Ipoh.
Beliau menegaskan bahawa perjuangan umat Islam harus terus digerakkan melalui Marhalah Daulah, iaitu peringkat pembinaan negara yang berasaskan prinsip Islam, sebelum menuju fasa kepimpinan yang lebih besar. Dalam konteks Malaysia, gagasan Malaysia Madani perlu direalisasikan dengan mengambil inspirasi daripada asas mantap Madinah yang dibangunkan oleh Rasulullah SAW sebagai model negara yang adil dan sejahtera.
Dato’ Ahmad Azam turut menyeru agar masjid bukan sekadar tempat ibadah, tetapi berfungsi sebagai pusat rahmatan lil alamin, menyebarkan rahmat kepada semua lapisan masyarakat. Asia, khususnya Malaysia, kini berada di hadapan dalam perkembangan dakwah Islam, justeru gerakan Islam perlu bersedia memainkan peranan strategik dalam memimpin perubahan ini.
Beliau turut menyentuh objektif Tunas Nahdah, yang bertujuan membentuk generasi Islam yang memiliki kefahaman yang mendalam, kepimpinan yang jelas, serta semangat jihad dalam memperjuangkan agama dan keadilan sosial.
Tamrin Tarbawi Ramadan Perkukuh Tarbiyah dan Ukhuwah
Pembentangan Dato’ Ahmad Azam tersebut merupakan sebahagian daripada Tamrin Tarbawi Ramadan dan Iftar Jama’iy yang dianjurkan oleh WADAH Perak di Masjid Syed Muhammad Jamalullail, Ipoh. Program yang berlangsung pada 21 Ramadan 1445H ini diadakan bagi memperkukuhkan kefahaman Islam serta mempereratkan ukhuwah dalam kalangan ahli dan masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan sesi pertama bertajuk “Bertadabur dengan al-Quran: Pelaksanaan dan Penghayatan” oleh Ustaz Mohd Naim Mohd Nor, Exco Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Sesi ini menekankan kepentingan tadabbur al-Quran dalam membentuk kefahaman yang lebih mendalam terhadap ajaran Islam.
Sejurus selepas sesi pembentangan dan perbincangan, para peserta bersama-sama menunaikan solat Asar, diikuti dengan sesi tahlil dan majlis berbuka puasa yang penuh keberkatan. Solat Maghrib, Isyak serta Tarawih berjemaah turut menjadi sebahagian daripada agenda program bagi menghidupkan suasana ibadah Ramadan.
Pada sebelah malam, sesi tadabbur al-Quran diteruskan sebelum para peserta berehat dan bersiap untuk Qiyamullail yang diadakan awal pagi keesokan harinya.
Peranan Gerakan Islam
Keesokan paginya, program diteruskan dengan kuliah Subuh bertajuk “Tarbiah Ruhiyyah: Tuntutan Amal Jama’i”, disampaikan oleh Ustaz Hj Mohamad Tarmizi Abdul Hamid dari Majlis Murabbi Madani. Kuliah ini menekankan kepentingan pendidikan ruhani dalam gerakan Islam sebagai landasan kepada perjuangan yang berkesan.
Seterusnya, forum “Gerakan Islam Menangani Cabaran dan Realiti” turut diadakan, menampilkan Hj Mohd Nasir Kamarudin, Pengerusi WADAH Perak, dan Ustaz Mohamad Saifuddin Abdul Latiff, Yang Dipertua Angkatan Belia Islam Perak. Forum ini membincangkan cabaran semasa yang dihadapi oleh gerakan Islam serta langkah-langkah strategik bagi menghadapinya.
Sebagai penutup, sesi “Merealisasikan Gagasan Malaysia Madani: Peranan Gerakan Islam” yang disampaikan oleh Tn Hj Amidi Abd Manan, Exco Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menegaskan peranan gerakan Islam dalam membentuk sebuah negara yang harmoni dan berpaksikan nilai-nilai Islam.
Majlis penutup disempurnakan oleh Encik Ramdani Abd Karim, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Negeri Perak, sebelum program diakhiri dengan solat Zohor berjemaah dan sesi bersurai.
Program ini telah memberi manfaat besar kepada para peserta dalam memperkukuhkan tarbiyah, mengeratkan ukhuwah, serta memperbaharui iltizam mereka dalam perjuangan Islam.
17 November 2026 | Editor WADAH SUNGAI GABAI, 17 November – Seramai 20 orang kanak-kanak masyarakat Orang Asli Sungai Gabai telah menyertai program komuniti yang dikendalikan oleh empat peserta Daie Muda YADIM (DMY) yang kini menjalani latihan industri di Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Program ini memberi tumpuan kepada aktiviti interaktif dan santai bersama kanak-kanak […]
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]