Presiden WADAH Sampaikan Pidato Kenegaraan MADANI: Seru Kepimpinan SMKA Hadapi Cabaran Geopolitik dan Bangunkan Generasi Ummatik
Genting Highlands, 17 April 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman telah menyampaikan Pidato Khas Kenegaraan MADANI kepada lebih 100 orang pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan warga KPM sempena Kursus Peningkatan Profesionalisme anjuran Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.
Pidato bertajuk “Membina Generasi Ummatik Dalam Menghadapi Cabaran Geopolitik Dunia” menyoroti keperluan mendesak untuk memperkasakan peranan pendidikan Islam dalam membina watak kepimpinan pelajar yang berdaya tahan, berwawasan global, dan berpaksikan nilai-nilai MADANI.
Dato’ Ahmad Azam membuka pidatonya dengan membawa para peserta menelusuri ibrah daripada Surah Ar-Rum ayat 1 hingga 5, yang mengisahkan tentang kekalahan Empayar Rom di tangan Parsi dan kebangkitan semula Rom dalam tempoh kurang 10 tahun. Menurut beliau, kisah ini memberi pengajaran besar tentang sunnatullah dalam dinamika sejarah dan kuasa. Ia memperkukuh keyakinan bahawa segala bentuk kemenangan atau kekalahan adalah di bawah ketetapan Allah, dan orang-orang beriman akan bergembira apabila datangnya kemenangan yang dijanjikan.
Dato’ Ahmad Azam turut menyorot cabaran besar umat Islam masa kini dalam menghadapi hegemoni Zionis, merujuk kepada Surah Al-Israa’ ayat 4 yang menyatakan tentang kerosakan yang akan dilakukan oleh Bani Israil di bumi Palestin serta sifat angkuh mereka. Beliau mengingatkan bahawa penjajahan Zionis bukan sekadar isu politik, tetapi suatu pertembungan yang memerlukan kebangkitan ummah secara menyeluruh, dari aspek kesedaran, perpaduan dan kekuatan spiritual.
Sejarah Kebangkitan Umat Islam
Dato’ Ahmad Azam menyentuh persoalan sejarah dan kebangkitan umat Islam dengan mengimbau semula kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah pada tahun 1924 yang menjadi titik tolak kepada penjajahan minda dan geopolitik umat selama 100 tahun. Menurutnya, umat Islam kini sedang menyaksikan fajar kebangkitan setelah melalui zaman kejatuhan yang dicirikan dengan kejahilan, kemiskinan, dan perpecahan — tiga penyakit utama seperti yang diungkapkan oleh Imam Badi’uzzaman Said Nursi.
Dalam pidatonya, beliau turut mengupas beberapa perkembangan mutakhir yang menjadi petanda jelas berlakunya perubahan geopolitik dunia. Antaranya ialah kemenangan Taliban di Afghanistan ke atas Amerika Syarikat pada 15 Ogos 2021, yang mengejutkan dunia dengan kejatuhan mendadak rejim yang disokong Barat. Diikuti pula dengan rampasan kuasa oleh Kapten Ibrahim Traoré di Burkina Faso pada 30 September 2022 yang menggugat dominasi Perancis di Afrika Barat.
Pada 7 Oktober 2023, dunia menyaksikan gelombang kebangkitan menerusi Operasi Taufan Al-Aqsa oleh Hamas yang mengubah landskap konflik Palestin-Israel. Seterusnya, pada 8 Ogos 2024, tercetus revolusi pelajar di Bangladesh yang menyaksikan kejatuhan Perdana Menteri Sheikh Hasina. Tidak kurang pentingnya, pada 8 Disember 2024, pemerintahan regim Bashar Al-Assad di Syria dilaporkan berakhir, menandakan peralihan besar dalam dinamik politik Asia Barat.
Dato’ Ahmad Azam menjelaskan bahawa semua perkembangan ini memberi isyarat jelas bahawa penggiliran kuasa dunia sedang berlaku dan umat Islam mesti bersedia dengan membina generasi yang memiliki karakter “Ummatik” — iaitu generasi yang berpandukan kepada keimanan, hijrah, dan jihad dalam erti perjuangan pendidikan, sosial dan nilai-nilai keinsanan
Seterusnya, beliau mengajak hadirin merenungi Surah Ali ‘Imran ayat 140, tentang penggiliran kuasa di antara manusia. Menurut beliau, sejarah dunia sentiasa berputar—ada masa Islam memimpin, ada masa dijajah—dan kini adalah masa kebangkitan semula umat. Penggiliran ini bertujuan membezakan antara golongan yang teguh imannya dengan yang lemah, malah mengangkat mereka yang terkorban dalam perjuangan sebagai syuhada’.
Peranan Malaysia MADANI
Beliau juga memetik Surah As-Saff ayat 13 sebagai penegasan bahawa pertolongan Allah dan kemenangan itu amat hampir, asalkan umat Islam bersatu dan kembali kepada jalan yang benar. Pesan beliau, kemenangan dalam konteks ini bukan hanya ketenteraan, tetapi juga kejayaan membina masyarakat adil, makmur dan berteraskan nilai-nilai Islam.
Beliau turut menekankan pentingnya Malaysia tampil sebagai pemimpin dunia Islam melalui pendekatan damai berteraskan Piagam Madinah dan perpaduan Muhajirin-Ansar. Dalam konteks ini, sekolah SMKA perlu diperkasakan untuk melahirkan “Daie Global” yang tidak hanya cemerlang dalam ilmu, tetapi turut memiliki komitmen kepada kemanusiaan dan kepimpinan dunia.
Dato’ Ahmad Azam yang juga Penasihat Khas Menteri Luar Negeri bagi urusan Kemanusiaan dan Pembangunan Semula, serta Pesuruhjaya Suruhanjaya Tetap Hak Asasi Manusia OIC (IPHRC-OIC), menyeru agar SMKA menjadi pusat mencetuskan kesedaran geopolitik dan membentuk pelajar yang faham erti perjuangan ummah secara global selari dengan teras Malaysia MADANI.
Penampilan Dato’ Ahmad Azam dalam sesi ini memperkukuh lagi hubungan strategik antara institusi pendidikan Islam dan masyarakat sivil yang prihatin terhadap pembinaan negara bangsa. Ia turut memperteguh komitmen bersama dalam mendidik generasi muda agar mampu menggalas amanah sebagai pemimpin masa depan umat serta dapat menyuntik semangat warga Pemimpin SMKA supaya menjiwai semangat cintakan negara dalam menggalas usaha dan tanggungjawab kepada negara.
WADAH MENGUTUK ESKALASI SERANGAN TERHADAP INFRASTRUKTUR TENAGA IRAN & AMARAN KRISIS GLOBAL KENYATAAN MEDIA 19 MAC 2026 Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah susulan serangan ke atas FASILITI GAS SOUTH PARS MILIK IRAN—antara medan gas terbesar dunia—yang kini mencetuskan risiko besar kepada keselamatan tenaga global […]
WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI KENYATAAN MEDIA19 Mac 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor WADAH menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Muslim dan Hindu yang bertujuan mencari titik damai serta meredakan ketegangan antara agama dalam negara. Usaha ini […]
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]