WADAH DAN SIDANG MEJA BULAT GLOBAL

Kongsikan artikel ini :

WADAH Sertai Sidang Meja Bulat Antarabangsa Bertemakan “Dunia yang Lebih Adil Itu Adalah Satu Kemungkinan”

Kuala Lumpur, 21 Mac 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, telah menyertai Sidang Meja Bulat Antarabangsa bertemakan “A Fairer World is Possible” yang diadakan di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur. Sidang berprestij ini dianjurkan oleh Pejabat Kaunselor Komunikasi, Kedutaan Republik Türkiye di Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif global Stratcom Public Forum, yang turut berlangsung di 20 buah negara seluruh dunia.

Dato’ Ahmad Azam hadir sebagai wakil masyarakat sivil Malaysia, bersama dua tokoh lain dari WADAH, iaitu Encik Khairul Arifin bin Mohd Munir, Penolong Setiausaha Agung WADAH, dan Dr. Ahmad El Muhammady bin Muhammad Uthman El-Muhammady, Exco WADAH merangkap tokoh akademik dalam bidang ekstremisme dan pemikiran Islam kontemporari.

Sidang meja bulat ini bertujuan mengetengahkan perbincangan strategik berkaitan keperluan membentuk sistem tadbir urus global yang lebih adil, inklusif dan bertanggungjawab. Ia diadakan dalam suasana tertutup bagi memberi ruang kepada pertukaran idea secara mendalam mengenai isu-isu antarabangsa yang mendesak, termasuk ketidaksamarataan global, kegagalan institusi antarabangsa seperti PBB dalam menangani konflik seperti di Palestin dan Ukraine, serta kemerosotan fungsi multilateralisme dalam persekitaran geopolitik dunia hari ini.

Sistem Antarabangsa Semakin Tidak Berfungsi

Dalam sesi perbincangan tersebut, Dato’ Ahmad Azam telah menyuarakan kebimbangan terhadap sistem antarabangsa sedia ada yang semakin tidak berfungsi dan gagal menangani krisis kemanusiaan yang berlarutan. Beliau menyambut baik kenyataan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdoğan, yang sering menegaskan bahawa “The world is bigger than five”, sebagai seruan tegas terhadap dominasi lima kuasa besar dalam Majlis Keselamatan PBB yang menafikan prinsip keadilan sejagat.

Dato’ Ahmad Azam turut menyeru agar institusi antarabangsa menjalani reformasi struktur yang menyeluruh, demi memastikan suara negara membangun, termasuk dari dunia Islam, diberikan ruang dan pengiktirafan sewajarnya dalam pembentukan dasar global. Beliau menekankan bahawa pembinaan sistem antarabangsa yang adil memerlukan penglibatan aktif masyarakat sivil, sektor swasta, golongan muda dan akademik sebagai pemegang taruh bersama negara-negara.

Antara isu yang dibincangkan dalam meja bulat ini termasuklah:

  • Kegagalan sistem antarabangsa dalam menangani krisis pelarian, bencana alam, perubahan iklim dan peperangan moden;
  • Ketidakcekapan institusi sedia ada seperti WTO dan WHO dalam menyelesaikan krisis kesihatan dan perdagangan global;
  • Ketidakseimbangan kuasa dan pengaruh yang melemahkan prinsip inklusif, keterwakilan dan kebertanggungjawaban dalam tadbir urus global;
  • Usaha membina kerjasama transnasional yang melibatkan NGO, masyarakat awam dan sektor swasta dalam memperkukuh keadilan sosial dan pembangunan mampan sejagat.

Turut menyumbang idea dalam sesi tersebut ialah Encik Khairul Arifin yang menekankan kepentingan mendekati reformasi global dari perspektif maqasid syariah dan prinsip kemanusiaan sejagat. Beliau menyatakan bahawa umat Islam tidak boleh terus menjadi pemerhati kepada penderitaan dan penindasan, sebaliknya perlu menjadi pendesak kepada perubahan sistemik melalui gerakan masyarakat sivil yang aktif dan beretika.

Pendekatan Sidang Wacana Alternatif

Sementara itu, Dr. Ahmad El Muhammady pula membawa pandangan akademik berhubung keperluan mengarusperdanakan wacana alternatif daripada Global South, termasuk pendekatan berasaskan nilai timur dan spiritualiti dalam memperbaharui kerangka tadbir urus global yang selama ini dibentuk oleh hegemoni Barat.

Forum awam yang berlangsung selepas sesi tertutup menampilkan ucapan Duta Besar Türkiye ke Kuala Lumpur, Emir Salim Yüksel, serta tayangan mesej khas dari Prof. Dr. Fahrettin Altun, Pengarah Komunikasi Kepresidenan Türkiye. Forum ini mengukuhkan seruan bersama bahawa keadilan antarabangsa tidak boleh dibina tanpa keberanian untuk mereformasi sistem yang usang dan menindas.

Acara kemuncak ditutup dengan tayangan dokumentari “Devrim”, sebuah karya sinematik yang menampilkan tokoh seni Türkiye, Devrim Erbil, sebagai simbol kreativiti dan kekuatan budaya dalam menyampaikan mesej keadilan dan kemanusiaan.

Penyertaan Presiden WADAH dalam sidang ini membuktikan keterlibatan aktif Malaysia melalui masyarakat sivil dalam wacana antarabangsa yang menyentuh isu dasar luar, kemanusiaan, dan tadbir urus global. Ia mengangkat martabat peranan NGO Malaysia di peringkat antarabangsa dan menegaskan komitmen WADAH untuk menjadi suara yang berani, berprinsip dan strategik dalam perjuangan membina dunia yang lebih adil untuk semua.

Berita Wadah|Berita Wadah - BM
wadah

WADAH Wilayah Persekutuan Dinobat Penerima Anugerah Khas Dakwah Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 1448H/2026M

KUALA LUMPUR, 6 September 2026 – Komitmen berterusan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Wilayah Persekutuan dalam memartabatkan syiar Islam, memperkasa agenda pencerdayaan masyarakat, dan memperkukuh kefahaman nilai Madani mendapat pengiktirafan berprestij apabila dinobatkan sebagai Penerima Anugerah Khas Organisasi (Kategori Dakwah) sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan Tahun 1448H/2026M. Majlis sambutan gilang-gemilang yang dianjurkan […]

Baca Lanjut
tabung haji

Rumusan Dialog Ummah: ABIM dan HIKAM Tegaskan Pemulihan Tabung Haji Mesti Disusuli Penguatkuasaan Serta Pertanggungjawaban Undang-Undang

BANDAR BARU BANGI, 3 September 2026 – Tirai persidangan berprestij Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji yang menghimpunkan lebih 600 peserta di Tenera Hotel & Suites, Bandar Baru Bangi secara rasminya melabuhkan tirai dengan penyampaian Ucapan Rumusan dan Penutup oleh Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Ahmad Fahmi bin Mohd Samsudin. Mewakili gabungan […]

Baca Lanjut
selangor

Wacana Pemikiran Dr. Siddiq Fadzil Sempena MUKRI WADAH Selangor Ke-19: Kupas Fiqh Kehidupan, Konsep Mizan dan Masyarakat Madani

SHAH ALAM, 26 Ogos 2026 – Membina kemajuan sesebuah tamadun menuntut penilaian yang melangkaui pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya wajib berpasak kepada pembentukan nilai keinsanan, keadilan sosial, serta keseimbangan neraca kemanusiaan. Prinsip asas ini menjadi tunjang utama dalam penganjuran Program Nasional MIZAN dan Wacana Pemikiran Dr. Siddiq Fadzil bertajuk “Dari Fiqh Kehidupan Kepada Agenda Perubahan Sosial” […]

Baca Lanjut
tabung haji

Slot 1 Dialog Ummah: Pengerusi dan CEO Dedah Kronologi RCI, Pelan Pemulihan dan Kejayaan Bersejarah Tabung Haji

BANDAR BARU BANGI, 3 September 2026 – Tirai pembentangan ilmiah sesi pagi Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji dimulakan dengan Slot 1 bertajuk “Tabung Haji: Pencapaian dan Strategi Masa Depan” yang disampaikan secara langsung oleh dua nakhoda utama institusi berkenaan, iaitu Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
377
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
753511
Klik Sini