MUKNAS19 – TEKS UCAPAN YB TIMBALAN MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (HAL EHWAL AGAMA

Kongsikan artikel ini :

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Segala puji bagi Allah SWT yang mempertemukan kita dalam medan ilmu dan perjuangan ini. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, pembawa rahmah dan cahaya sepanjang zaman.

Yang dihormati Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden WADAH; para pimpinan ABIM, PKPIM, SALWA, HELWA; para tokoh sarjana, aktivis masyarakat sivil, serta para muktamirin dan muktamirat sekalian.

Hari ini saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan dengan rasa syukur dan rendah hati kerana dapat bersama-sama dalam Muktamar WADAH di bumi yang begitu sarat dengan makna sejarah—Permatang Pauh, tempat lahirnya gelombang Reformasi dan tempat bermulanya perubahan moral dan intelektual yang membentuk wajah Malaysia hari ini.

PENGHARGAAN KEPADA WADAH – PAYUNG ILMU DAN PERJUANGAN

Izinkan saya terlebih dahulu merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada WADAH atas peranan besar sebagai payung pemikiran dan pencerahan untuk keluarga besar ABIM dan PKPIM. WADAH bukan sekadar sebuah NGO, tetapi sebuah madrasah nilai yang memandu perjalanan umat dengan ilmu, hikmah dan keberanian moral.

Saya ingin menyatakan bahawa gerakan Islam hari ini mendapat manfaat besar daripada sumbangan para tokoh senior dan pendahulu, yang telah meletakkan asas kukuh sejak era kebangkitan Islam 1970-an. Ramai antara mereka hadir di sini — merekalah yang membina tradisi ilmu, mengangkat martabat ummah, menentang kezaliman, dan memartabatkan nilai akhlak dalam masyarakat.

Malaysia Memimpin – Wajah Baharu Kepimpinan Ummah

Tema MUKNAS tahun ini, Malaysia Memimpin: Model Negara Madani – Visi dan Strategi, sangat kena pada waktunya. Malaysia hari ini sedang memikul satu peranan baharu di pentas dunia — bukan sebagai kuasa besar, tetapi sebagai kuasa nilai, kuasa moral, kuasa yang mengangkat dialog dan budaya damai sebagai asas hubungan antarabangsa.

Negara kita diiktiraf kerana komitmen kepada keadilan, kepada kemanusiaan, dan kepada suara sederhana yang mempersatukan, bukan melagakan. Dalam isu Palestin, dalam diplomasi ASEAN, dalam kerjasama antarabangsa — Malaysia ingin memimpin dengan suara yang berhikmah, bukan dengan retorik. Inilah wajah kepimpinan yang dibawa oleh Malaysia MADANI, dan inilah ruang besar untuk WADAH tampil sebagai rakan pemikiran dan rakan nilai bagi negara.

Namun, untuk memimpin, kita perlu memahami cabaran. Hari ini, kita berdepan pelbagai cabaran besar yang mendesak dan tidak boleh dipandang enteng.

Krisis Pengetahuan dan Gelombang Post-Truth

Dunia hari ini menyaksikan banjir maklumat tanpa kebenaran, seperti yang dimadahkan oleh T.S Eliot penyair Inggeris: “Where is the wisdom we have lost in knowledge? Where is the knowledge we have lost in information?”.

Kebanjiran maklumat ini, menurut Neil Postman dalam buku beliau Technopoly: The Surrender of Culture to Technology, adalah “tidak lebih umpama sampah sarap, yang bukan sahaja tidak mampu memberi jawapan kepada persoalan-persoalan fundamental dalam hidup, tetapi juga tidak mampu membantu kita melaksanakan kerja-kerja harian. Maklumat disumbat ke dalam otak secara bertalu-talu tanpa henti, tanpa diikat dengan sebarang teori, makna atau tujuan.” Maka neraca kebenaran menjadi kabur, lalu kebenaran tenggelam dalam timbunan informasi yang berselerakan.

Hal ini diburukkan lagi dengan zaman yang diistilahkan oleh sarjana seperti Lee McIntyre dan Michiko Kakutani sebagai post-truth society ini, apabila orang tidak lagi mencari fakta, tetapi mencari apa yang mengesahkan perasaan mereka. Ini melahirkan budaya anti-intelektual, fitnah, kebencian dan kekeliruan. Tanpa ilmu, masyarakat mudah dimanipulasi.

Kemelampauan dalam Agama

Maka hal ini membawa kepada fenomena seterusnya iaitu kefahaman beragama kalangan segelintir saudara kita yang melampau, keras dan tidak berhikmah. Fenomena tabdi’, tafsiq dan takfir dipandang remeh dan enteng. Jenayah qazaf dan dosa memaki hamun seolah dinormalisasi atas nama ‘perjuangan menegakkan agama’. Agama yang sepatutnya membawa rahmat menjadi punca perbalahan.

Jawapan kepada fenomena sebegini adalah tidak lain tidak bukan dengan membina kerangka Fiqh al-Amni wa al-Salam sebagai asas keamanan negara. Keamanan bukan sekadar ketiadaan konflik; ia ialah dasar nilai. Kita mesti menolak ujaran kebencian, fitnah, provokasi dan fanatisme. Kita perlu suburkan budaya dialog, ihsan dan tasamuh dalam masyarakat majmuk Malaysia. Kita mesti kembali kepada tradisi ilmu yang seimbang — bukan literal tanpa konteks, bukan sempit tanpa hikmah. Pengajaran agama mesti memandu, bukan menghukum; memupuk rahmah, bukan ketakutan.

Kelemahan Ekosistem Kepimpinan dan Kaderisasi

Gerakan Islam memerlukan pelapis yang kuat. Namun kita berhadapan vakum kepimpinan, kelemahan tarbiah, dan jurang antara agamawan, profesional dan aktivis masyarakat. Tanpa ekosistem kaderisasi yang kukuh, umat tidak mampu mengemudi zaman digital dan geopolitik baharu.

Justeru, pembaharuan dakwah akar umbi melalui Tunas Nahdah perlu dipergiat sebagai platform penting untuk membina generasi dai’ baharu yang bersifat sederhana, inklusif, berilmu tinggi dan dekat dengan masyarakat.

Persoalan Idea dan Gagasan

Selain itu, gerakan Islam mesti bergerak ke arah penyelesaian dasar, bukan hanya wacana. Kita perlukan pakar polisi, ahli ekonomi, ahli sosial, ahli strategi dan ilmuwan yang dapat menerjemahkan nilai Islam ke dalam dasar negara. Namun sebelum itu, kita perlukan idea-idea malar segar yang hanya akan tercetus melalui kajian, pembacaan dan perbincangan serius.

Kerana menurut Malek Bennabi dalam The Question of Ideas in the Muslim World, sebuah negara yang mundur itu bukan semestinya disebabkan kekurangan dari sudut material, tapi disebabkan oleh kontangnya idea yang dijana oleh masyarakat tersebut. Bahkan lebih teruk dalam banyak keadaan, kita bukan sahaja tidak menjana idea baharu, tetapi tidak terbiasa dan tidak membaca idea-idea besar yang menjadi gagasan perubahan, lalu kita hanya berpada dengan berbicara tentang sosok, tentang si fulan dan si fulan, walhal sepatutnya ‘great minds discuss ideas!

Khulasah

Akhir kalam, tanpa ingin memanjangkan lagi kalam, dengan penuh takzim, dan dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Muktamar Nasional WADAH ke-19 dan Forum Madani & Keamanan Global 2025.

Semoga muktamar ini menjadi medan islah, medan pencerahan, dan medan penyatuan fikrah demi masa depan Malaysia dan umat yang lebih adil, damai dan bermaruah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Berita Muktamar|Berita Wadah|Berita Wadah - BM

Merajut Istiqamah dan Thiqah: WADAH Gariskan Syarat Kemenangan Umat Mendepani Krisis Global

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Dalam menghadapi landskap sosioekonomi dan politik dunia yang sarat dengan ketidaktentuan, gerakan Islam diingatkan agar sentiasa memelihara dua teras utama perjuangan iaitu keteguhan istiqamah serta kepatuhan thiqah (kepercayaan) kepada pimpinan yang berpasak pada Tauhid. Amanat tersebut ditegaskan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), YBhg. Dato’ Ahmad Azam Ab […]

Baca Lanjut
bengkel level up

Memartabat Karamah Insani: Bengkel Level Up: Misi Belajar SMART Pupuk Potensi dan Sistem Pembelajaran Anak Komuniti Bandar

KUALA LUMPUR, 17 Ogos 2026 – Dalam usaha membebaskan golongan asnaf dan keluarga berpendapatan rendah daripada belenggu kemiskinan multidimensi menerusi wahana pendidikan, Projek Tunas Nahdah di bawah inisiatif Merakyat Malaysia MADANI telah menganjurkan program “Bengkel Level Up: Misi Belajar SMART”. Program yang berlangsung pada hari Ahad, 16 Ogos 2026 itu telah diadakan bertempat di Dewan […]

Baca Lanjut
tamrin nahdhah

Tamrin Nahdhah Siasah WAP Kelantan 2026: Perkukuh Idealisme, Fikrah Siasah dan Kesiapsiagaan Strategik Gerakan

TANJUNG MAS, KOTA BHARU, 17 Ogos 2026 – Dalam usaha menyusun semula kekuatan saf kepimpinan dan mempertajam hala tuju perjuangan dakwah sivil di peringkat negeri, seramai 111 orang aktivis dan barisan pimpinan gabungan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), SALWA, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), serta Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Kelantan telah berhimpun menjayakan […]

Baca Lanjut
10 Tuntutan RCI Tabung Haji

Serah Memorandum 10 Tuntutan RCI Tabung Haji: WADAH dan Gabungan NGO Desak Tindakan Undang-Undang Tegas Tanpa Pilih Kasih

KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Gabungan pertubuhan masyarakat sivil yang dipimpin oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), dengan kerjasama Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) dan Sekretariat DAIE Madani, hari ini secara rasminya telah menyerahkan satu Memorandum Keprihatinan NGO berhubung Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Lembaga Tabung Haji (TH). Inisiatif penyerahan memorandum ini dilaksanakan sebagai […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
1254
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
721249
Klik Sini