Malaysia Memimpin: WADAH Tekankan Agenda Islah, Ketahanan Tamadun dan Tajdid Ummah

Kongsikan artikel ini :

Seberang Jaya, 29 November 2025 — Muktamar Nasional WADAH kali ke-19 (MUKNAS19) berlangsung dengan penuh signifikan apabila Presiden WADAH Pencerdasan Umat, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, menyampaikan amanat bertema “Malaysia Memimpin: Agenda Islah, Ketahanan Tamadun dan Tajdid Ummah”. Amanat ini merupakan satu rangka pemikiran besar yang menegaskan peranan Malaysia sebagai negara berwibawa, beradab dan berkeupayaan memimpin dalam dunia pascanormal yang semakin mencabar. Amanat Presiden menegaskan, “Malaysia tidak boleh berdiam diri, menunggu arahan, atau terperangkap dalam politik reaktif semata-mata. Malaysia mesti tampil ke hadapan dengan gagasan, nilai dan teladan,” sekali gus menggariskan peranan kepimpinan nasional yang perlu proaktif dan bernilai tinggi.

Dalam ucapannya, beliau menekankan bahawa Malaysia kini berada pada persimpangan sejarah, berhadapan polikrisis global seperti ketidaktentuan geopolitik, kekacauan maklumat, jurang sosial serta krisis moral yang menggugat kestabilan masyarakat. Menurutnya, pendekatan kepimpinan berteraskan nilai MADANI; kemampanan, kesejahteraan, hormat, daya cipta, keyakinan dan ihsan; mampu menjadi landasan kukuh untuk negara melangkah ke hadapan.

Beliau mengingatkan bahawa pergiliran kuasa adalah sunnatullah, memetik Surah Ali Imran ayat 140 sebagai asas memahami realiti jatuh bangun tamadun. Malaysia, katanya, telah melalui fasa pembinaan, pembangunan pesat, kemerosotan moral dan kini berada dalam fasa pemulihan institusi yang menuntut keberanian moral, kecerdasan analitik dan kesediaan berkorban demi maslahat bangsa.

Presiden WADAH turut menegaskan bahawa agenda Reformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan kini bukanlah reformasi politik, tetapi ia merupakan proses islah dan tajdid nasional. Reformasi, katanya, perlu terus dipandu nilai, diperhalusi secara beradab serta dipantau oleh masyarakat sivil seperti WADAH sebagai “penjaga nurani bangsa”, bukan pengulas atau penonton dari tepi gelanggang.

Amanat ini turut menyorot cabaran besar dalam masyarakat seperti jurang kaya–miskin, krisis keluarga, polarisasi media sosial, manipulasi sentimen perkauman, serta kehilangan makna hidup dalam kalangan anak muda. Semua ini digambarkan sebagai “keletihan moral” yang hanya dapat dipulihkan melalui pemantapan ilmu, pengembalian adab, pembinaan jiwa dan penghidupan semula hikmah dalam wacana nasional.


Dalam isu Palestin, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman menegaskan bahawa tragedi Gaza telah membongkar kegagalan moral kuasa besar dunia, namun pada masa sama mencetuskan gelombang kesedaran baharu di peringkat global. Dengan 157 negara mengiktiraf negara Palestin, Malaysia katanya, mesti kekal teguh sebagai suara moral dunia Islam melalui diplomasi hikmah, kerjasama masyarakat sivil dan solidariti kemanusiaan.

Beliau memberi amaran tentang peningkatan ekstremisme dan ghuluw dalam kalangan masyarakat dan agamawan, antaranya kecenderungan kepada takfir, taksub kumpulan, penggunaan agama secara literal tanpa maqasid, dan fenomena “asatizah viral” yang memanipulasi agama untuk sensasi. Ekstremisme, jelasnya, adalah penyakit yang merosakkan adab, memecahbelahkan masyarakat dan mencemarkan wajah rahmah Islam.

Menyentuh politik menjelang PRU-16, Presiden WADAH menekankan bahawa Malaysia sedang menghadapi krisis nilai, bukan sekadar krisis kuasa. Budaya “post-truth”, transaksi politik dan penyalahgunaan agama semakin berleluasa. Gerakan Islam, katanya, mesti tampil sebagai penyuluh politik ihsan; mendidik masyarakat untuk memilih berdasarkan nilai, bukan sentimen.
Beliau turut menggariskan kepentingan Fiqh al-Amni wa al-Salam sebagai asas Malaysia MADANI. Keamanan, katanya, bukan hanya urusan keselamatan negara, tetapi prasyarat bagi kelangsungan ibadah, pembangunan ekonomi, kelestarian sosial dan kemajuan tamadun. Justeru, WADAH menegaskan keperluan menangani fitnah, provokasi, kebencian digital dan politik adu domba melalui pendidikan, dakwah berhikmah serta budaya dialog.

Dari sudut strategi masa depan, WADAH memperkenalkan tiga lapis tindakan:
Dari aspek Global, WADAH menyasarkan pembangunan International Muslim Alliance for Peace (IMAP) bagi memperkukuh gerakan keamanan antarabangsa. Sementara, dari aspek Serantau, WADAH berhasrat meneruskan MACASID sebagai rangkaian NGO ASEAN menuju Komuniti 2045, lanjutan daripada MADANI South East Asia Leadership Program (MSEALP 2025). Seterusnya, di peringkat Nasional, WADAH bergiat bagi menggerakkan Tunas Nahdah, G70 dan rakan strategik WADAH sebagai kekuatan dakwah, advokasi dasar dan pembinaan masyarakat sivil.

Akhirnya, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman mengajak seluruh ahli memaknai konsep Ajalin Musamma (ketetapan yang telah ditentukan) sebagai ruang penangguhan rahmat yang Allah berikan kepada umat bagi memperbaiki diri sebelum pintu perubahan tertutup. Beliau menegaskan bahawa dakwah mesti bergerak dengan wajah baharu yang lebih strategik, penuh makna dan berpaksikan hikmah untuk membina Malaysia yang lebih adil, beradab dan bermaruah.

Berita Muktamar|Berita Wadah|Berita Wadah - BM
SOLAT JUMAAT

Sejarah Tercipta di Ibu Kota: Solat Jumaat Pertama Kali Dilaksanakan di Outreach Oasis Bukit Bintang

BUKIT BINTANG, 19 Jun 2026 – Buat pertama kalinya dalam sejarah, syiar Islam berkumandang dengan lebih dekat di tengah-tengah pusat bandar raya apabila solat Jumaat julung-julung kalinya diadakan di Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB). Pelaksanaan ini mendapat kebenaran khas rasmi bagi berfungsi sebagai surau Jumaat sementara. Langkah tersebut diambil sebagai penyelesaian realistik bagi memenuhi keperluan […]

Baca Lanjut
usrah gabungan staf

Usrah Gabungan Staf Agensi Kelantan: Perkasakan Kemahiran Dakwah Kepada Non-Muslim Secara Berhikmah

KELANTAN, 19 Jun 2026 – Isu penyampaian mesej Islam kepada masyarakat majmuk di Malaysia menuntut komitmen yang konsisten serta pendekatan yang lebih strategik daripada para penggerak agensi dakwah. Menyedari kepentingan tersebut, satu program latihan dalaman berimpak tinggi iaitu Usrah Gabungan Staf Agensi Ke-7/2026 telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya kelmarin. Program yang memfokuskan kepada perbincangan bertema […]

Baca Lanjut
Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty

Majlis Memperingati Setahun Pemergian Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty: Komitmen WADAH Pasang Tekad “Menyambung Jejak Pencerah Umat”

KAJANG, 27 Jun 2026 – Dewan utama Kolej Dar al-Hikmah, Sungai Ramal semalam diselimuti suasana penuh hiba namun sarat dengan keazaman perjuangan. Pimpinan pertubuhan masyarakat sivil (CSO), para akademik, aktivis dakwah, dan anak murid berkumpul bagi menghadiri Majlis Memperingati Setahun Pemergian Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty. Majlis yang dianjurkan secara muafakat oleh gabungan Nadwah […]

Baca Lanjut
sepanggar

Usrah Gabungan Komuniti Sepanggar Suburkan Semangat ‘Hubbulwatan’, Santuni Ratusan Penduduk dan Anak Yatim

KOTA KINABALU, 21 Jun 2026 – Membawa misi pencerdasan ummah and penyatuan komuniti yang berterusan di peringkat akar umbi, program Usrah Gabungan Komuniti Sepanggar telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya semalam. Program berimpak tinggi ini mengambil tempat di Masjid Al-Falah, Kg. Tebobon, Menggatal, Kota Kinabalu. Penganjuran usrah gabungan berskala besar ini merupakan hasil sinergi utuh and […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
595
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
601947
Klik Sini