WADAH Pacu Kepimpinan MADANI Serantau: MSEALP 2025 Tampil Gagasan Bersama Asean
KUALA LUMPUR, 22 Jun 2025 – “Kepelbagaian bukan satu beban, tetapi peluang dakwah yang besar,” demikian penegasan Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dalam Program Kepimpinan Madani SEA (MSEALP) 2025 yang bersiaran secara eksklusif melalui TV AlHijrah, pagi Ahad ini.
Program MSEALP 2025 merupakan inisiatif WADAH untuk memacu sinergi dan kebijaksanaan kolektif pertubuhan-pertubuhan Islam serantau dalam merealisasikan Wawasan Komuniti Asean 2045, sebuah agenda besar untuk menyatukan masyarakat ASEAN dalam kerangka inklusif, lestari dan berpaksikan nilai MADANI.
Menurut Dato’ Ahmad Azam, tahun 2025 adalah Tahun ASEAN di mana Malaysia menjadi pengerusi, bertepatan dengan ulang tahun ke-58 penubuhan ASEAN yang ditubuhkan sejak 1967. Melihat kepada komposisi ASEAN yang pelbagai, sekitar 40% penduduknya adalah Muslim, 20% Buddha, 17% Kristian dan selebihnya Hindu dan agama lain, Malaysia dilihat memiliki pengalaman berharga dalam membina keharmonian antara agama dan bangsa.
“Kawasan ASEAN adalah cerminan Malaysia. Maka pengalaman kita dalam menjayakan perpaduan di sini penting untuk dijadikan model,” katanya.
NGO Islam Serantau Mula Bangkit
Program ini menjadi pentas awal kepada 34 NGO Islam dari 10 negara ASEAN untuk duduk semeja, merancang peranan dan langkah konkrit demi menyatukan visi Komuniti ASEAN dalam tempoh 20 tahun akan datang. MSEALP juga dijadual dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia dengan kehadiran lebih 500 pimpinan NGO dalam negara serta 50 wakil antarabangsa dari ASEAN.
“Kita mulakan dengan NGO Islam dahulu untuk bina solidariti. Bila sudah kukuh, baru kita buka dialog dengan NGO bukan Islam,” ujar beliau.
Beliau turut menekankan bahawa selama ini kebanyakan agenda ASEAN dikendalikan oleh kerajaan semata-mata, antara menteri luar, pegawai tinggi dan pemimpin negara. Sedangkan dalam membina sebuah komuniti, peranan rakyat akar umbi tidak boleh diketepikan. Maka, NGO Islam, badan dakwah dan pertubuhan masyarakat memainkan fungsi penting sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan.
Mengatasi Cabaran: Xenofobia dan Negara Bangsa
Dalam sesi tersebut, beliau turut menggariskan beberapa cabaran besar dalam menjayakan gagasan ini. Antaranya ialah pengaruh gerakan sayap kanan (right wing politics) dari Barat yang menyemai sentimen kebencian kepada agama dan bangsa lain, serta pemikiran terhad dalam kotak negara-bangsa yang menyekat aspirasi pembentukan komuniti serantau.
“Kita harus cairkan batasan sempit seperti ‘kamu orang Filipina’, ‘kamu orang Indonesia’. Kita Asean, kita satu komuniti. Kepelbagaian itu rahmat,” jelas beliau lagi.
Beliau menegaskan bahawa NGO Islam memiliki kekuatan tersendiri untuk mencairkan sekatan budaya dan negara, kerana Islam sendiri menyeru kepada ta’aruf dan menyampaikan rahmat untuk seluruh alam sebagaimana difirmankan dalam Surah Al-Hujurat ayat 13 dan ayat “Wa maa arsalnaka illa rahmatan lil ‘alamin.”
Harapan dan Seruan untuk Bangkit Bersama
Mengakhiri perkongsiannya, Dato’ Ahmad Azam menyeru agar rakyat Malaysia melihat kemajmukan dalam negara sebagai kekuatan strategik untuk memperkukuh pengaruh Malaysia di peringkat serantau dan global. Beliau menekankan bahawa dakwah bukanlah hanya untuk kelompok seagama dan sebangsa, malah Islam harus dilihat sebagai rahmat yang inklusif dan universal.
“Kalau Islam hanya untuk satu bangsa, bagaimana ia mahu berkembang? Kita wajib jadikan kepelbagaian ini ruang dakwah dan penyatuan,” tegas beliau.
MSEALP 2025 bukan sekadar program konvensional. Ia merupakan platform strategik membina masa depan ASEAN yang aman, progresif dan bersatu melalui kekuatan akar umbi. Ia memperkukuh peranan NGO Islam dalam menjayakan sinergi rakyat serantau, selaras dengan semangat Malaysia MADANI dan slogan “Satukan Ummah, Bangunkan Komuniti Asean.”
CYBERJAYA, 5 Disember 2025 – Bertempat di Dewan Semarak, Cyberjaya, satu anjakan paradigma dalam memperkasa ekonomi golongan wanita telah dizahirkan menerusi penganjuran Seminar Ekonomi Wanita MADANI oleh Pekawanis. Program yang berlangsung bermula jam 8:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ini telah berjaya menghimpunkan ratusan peserta yang terdiri daripada usahawan, surirumah, dan belia dari sekitar daerah […]
Menghidupkan Syura, Memperkukuh Amal Jama‘iyy, Mempersatukan Umat MUKADIMAHTahun 2026 dan Panggilan Tanggungjawab Bismillāhirraḥmānirraḥīm.Saudara-saudari pimpinan dan seluruh warga Gerakan WADAH yang saya kasihi. Kita melangkah ke tahun 2026 dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu. Perpecahan umat semakin ketara, politik kebencian semakin menular, dan suara hikmah sering tenggelam dalam lautan emosi. Dalam suasana inilah Allah SWT […]
PUTRAJAYA, 28 Disember 2025 – Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) hari ini melakar sejarah penting dalam landskap dakwah negara melalui penganjuran Forum Masyarakat Madani: Menolak Ketaksuban, Mempromosi Hikmah Melalui Asas Islam Rahmah (AISAR). Program yang berlangsung di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Qur’an ini telah menjadi medan pertembungan idea yang progresif bagi menangani isu ekstremisme […]
Seberang Jaya, 29 November 2025 — Muktamar Nasional WADAH kali ke-19 (MUKNAS19) berlangsung dengan penuh signifikan apabila Presiden WADAH Pencerdasan Umat, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, menyampaikan amanat bertema “Malaysia Memimpin: Agenda Islah, Ketahanan Tamadun dan Tajdid Ummah”. Amanat ini merupakan satu rangka pemikiran besar yang menegaskan peranan Malaysia sebagai negara berwibawa, beradab dan […]