FORUM MADANI TEGASKAN KEPELBAGAIAN SEBAGAI KEKUATAN
November 29th, 2025
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
Forum Madani Menampilkan Tokoh Serantau Membincangkan Kepelbagaian sebagai kekuatan, Dialog Antara Agama Dan Fiqh Ta‘ayush Sebagai Asas Membina Keamanan Serta Budaya Damai Di Rantau Ini
Seberang Perai, 29 November 2025 – Forum Madani tegaskan kepelbagaian sebagai kekuatan, menonjolkan dialog serantau, fiqh ta‘ayush dan pendekatan inklusif untuk membina budaya damai dan keharmonian masyarakat. Lebih 600 orang muktamirin dan muktamirat berhimpun di Dewan Wisma Al-Ansar, Masjid Al-Muhajirin, Seberang Perai bagi menghadiri Forum Madani dan Keamanan Global: Harmoni dalam Kepelbagaian yang menghimpunkan tokoh akademik dan pemimpin serantau dari Malaysia, Thailand, Filipina dan Cambodia. Forum ini menegaskan bahawa kepelbagaian adalah kekuatan yang mampu memperkukuh keharmonian, memupuk toleransi antara agama, dan membina masyarakat majmuk yang stabil serta inklusif.
Forum yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Ahmad El-Muhammady ini memberi fokus kepada perbahasan isu polarisasi dan geopolitik global, di samping menggali pendekatan fiqh ta‘ayush dalam usaha membina model budaya damai yang sesuai dengan realiti masyarakat majmuk Malaysia.
Forum dimulakan dengan kupasan YB Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman yang menekankan bahawa kepelbagaian perlu dilihat sebagai sumber kekuatan, bukan punca perpecahan. Menurut beliau, banyak konflik hari ini muncul daripada perebutan wilayah, salah faham budaya dan kelemahan tatakelola.
Mengimbas sejarah rantau Melayu, beliau menjelaskan bahawa Islam berkembang secara damai, disokong oleh rekod seorang pengembara Venice, Marco Polo, yang menggambarkan masyarakat Perlak pada zamannya sebagai bertamadun, bersih dan beragama Islam. Beliau turut menekankan bahawa gagasan Madanimemberi kerangka tatakelola baharu yang menuntut umat Islam menampilkan akhlak terpuji, sekali gus dihormati oleh masyarakat global. Beliau menuntaskan bahawa solusi terhadap setiap peperangan, akhirnya adalah perdamaian juga, sebagaimana diiktibarkan melalui konflik besar seperti perang Iran–Iraq. Justeru, tegas beliau, kepelbagaian bukan ancaman, tetapi asas kekuatan yang harus dijadikan asas keharmonian.
Seiring dengan itu, Prof. Dr. Pakorn Priyakorn turut menjelaskan komitmen Islam terhadap harmony in diversity, dengan menegaskan bahawa agama ini menekankan prinsip keadilan, kesamarataan dan belas ihsan kepada semua manusia tanpa mengira latar perbezaan. Prinsip ini mendorong umat Islam untuk mengamalkan akhlak mulia dalam interaksi dengan semua lapisan masyarakat, sekali gus mencerminkan nilai sejagat yang menjadi asas ajaran Islam. Beliau menambah bahawa pengiktirafan terhadap keunikan dan sumbangan pelbagai kelompok dalam masyarakat akan memupuk budaya saling memahami dan bekerjasama, seterusnya memperkukuh keharmonian nasional. Dalam konteks ini, beliau mengingatkan bahawa Khutbah Wida‘ Nabi Muhammad ﷺ ialah peringatan abadi mengenai kepentingan kesamarataan dan keadilan, selaras dengan prinsip al-Quran bahawa kepelbagaian merupakan tanda kebijaksanaan Allah serta unsur keunikan dalam masyarakat.
Perbincangan kemudian diperkaya oleh pembentangan Secretary Sheikh Dr. Sabuddin N. Abdurahim dari Filipina, yang membawa konsep “unity without uniformity” sebagai asas pembentukan masyarakat majmuk yang harmoni. Beliau menerangkan bagaimana identiti budaya diperkukuh melalui pengkisahan fasa kesusahan dan pergelutan negara serta mengangkat wira-wira negara sebagai tokoh negara melalui peranan The NCCA (National Commission for Culture and the Arts) dan The NHCP (National Historical Commission of the Philippines). Dalam menghadapi cabaran global seperti polarisasi dan perpecahan budaya, Beliau menutup ucapannya dengan ungkapan: “Global Peace and Stability are not achieved by simplifying humanity, but by mastering the complexity of our differences.”
Forum turut diperkaya dengan pembentangan H.E. Neak Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan dari Kemboja, yang membawa peserta menelusuri sejarah Champa serta penderitaan masyarakat Cham dalam era konflik. Beliau mengingatkan tentang diskriminasi berat termasuk cukai yang lebih tinggi, penghantaran ke medan perang dan jumlah korban yang besar di bawah rejim Democratic Kampuchea. Namun, selepas 1979, kerajaan Kemboja memperkenalkan dasar inklusif yang membolehkan masyarakat Muslim berkhidmat dalam kerajaan, mengiktiraf kebebasan beragama, membenarkan pemakaian hijab, menyediakan ruang solat dan mewujudkan institusi Mufti. Beliau turut menyentuh penganjuran Sidang Kemuncak Islam dan Buddha 2025 sebagai usaha besar negara itu memupuk keharmonian antara agama.
Secara keseluruhannya, forum ini berjaya menghimpunkan pengalaman serantau yang menunjukkan bahawa keamanan global tidak dapat dicapai tanpa dialog, sikap saling menghormati dan tatakelola inklusif. Melalui gagasan Madani, pendekatan fiqh ta‘ayush dan perkongsian antara negara, para panelis sebulat suara bahawa kepelbagaian ialah asas penting untuk membina masa depan yang lebih harmoni dan aman. Forum ini bukan sahaja memperkayakan wacana, tetapi turut menyemarakkan harapan untuk membentuk model budaya damai yang boleh dijadikan rujukan kepada rantau dan dunia.
BESTARI JAYA, 10 September 2026 – Dunia keilmuan akademik dan gerakan dakwah masyarakat sivil melakar detik bersejarah apabila Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), YBhg. Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, secara rasminya menerima watikah pelantikan sebagai Profesor Adjung di Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddiq Fadzil (IPKSF), Universiti Selangor (UNISEL). Pelantikan berprestij tersebut disempurnakan bersempena Majlis […]
BANDAR BARU BANGI, 27 Ogos 2026 – Memperkukuh ikatan ukhuwah merentas generasi serta menyelaraskan kefahaman fikrah harakah menjadi tunjang utama dalam penganjuran Usrah Gabungan Wadah, ABIM, dan Pelajar (WAP) Negeri Selangor bagi edisi Ogos 2026. Pertemuan bulanan yang dihoskan oleh Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor ini telah berlangsung dalam suasana penuh barakah bertempat […]
SHAH ALAM, 23 Ogos 2026 – Membina peradaban masyarakat yang maju menuntut keseimbangan neraca antara penguasaan ilmu, keteguhan nilai moral, serta amalan kebajikan yang berteraskan keadilan. Bagi memperhalusi kerangka penting ini, program Wacana Pemikiran Dr. Siddiq Fadzil telah berjaya dianjurkan bertempat di Dewan Kuliah LT2, Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Shah Alam semalam. Wacana keilmuan berprestij […]
SHAH ALAM, 21 Ogos 2026 – Budaya membaca dan tradisi membedah karya-karya pemikiran terpilih terus disuburkan sebagai teras pembinaan akal budi masyarakat melalui penganjuran rutin bulanan Siri Bedah Buku anjuran bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Selangor. Bagi siri kali ini yang berlangsung di Shah Alam, tumpuan perbincangan […]