DIPLOMASI DAN KEMANUSIAAN MENURUT PRESIDEN WADAH

Kongsikan artikel ini :

Temu Bual Presiden WADAH di Slot Garis Krisis The Merdeka Times: Diplomasi dan Kemanusiaan, Malaysia Tidak Selamanya Aman

Studio Merdeka, 3 Mei 2025 – “Apakah jaminan Malaysia ini akan makmur sebagaimana kita nikmati pada waktu ini?,” ujar Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Penasihat Khas Menteri Luar Negeri bagi Isu Kemanusiaan dan Pembangunan Semula dalam episod ke-12 rancangan Garis Krisis bertajuk Diplomasi dan Kemanusiaan: Malaysia Tidak Selamanya Aman, yang diterbitkan oleh Studio Merdeka. Beliau juga merupakan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).

Dalam temu bual eksklusif bersama hos, Lila Ruzaini Hussain, Dato’ Ahmad Azam berkongsi pengalaman luas beliau dalam misi kemanusiaan merentasi negara-negara konflik, serta mengupas dengan mendalam peranan Malaysia dalam diplomasi kemanusiaan global yang dilihatnya bukan sekadar soal bantuan fizikal, tetapi strategi nasional yang memberi impak besar terhadap kestabilan jangka panjang negara.

Pengalaman Lapangan: Daripada Aceh ke Bosnia

Mengimbau kembali penglibatan awalnya dalam misi bantuan kemanusiaan ketika usia awal dua puluhan, beliau menceritakan pengalaman menyentuh hati ketika membantu mangsa tsunami Aceh. Mayat-mayat yang masih bergelimpangan selepas tiga minggu, ada yang masih elok, ada pula yang reput dan terburai, menjadi peringatan mendalam akan kekuasaan Allah dan betapa kecilnya manusia di hadapan takdir Ilahi.

“Saya lihat sendiri mayat yang auratnya masih terjaga selepas tiga minggu. Itu buat saya insaf – mungkin amalan mereka dizahirkan dalam bentuk kematian yang sempurna.”

Diplomasi Kemanusiaan: Pelaburan Imej Negara

Menurut Dato’ Ahmad Azam, pendekatan diplomasi kemanusiaan yang dilaksanakan Malaysia mampu menaikkan nama negara di mata dunia, terutama dalam kalangan negara Islam. Di Bosnia, Syria, Afghanistan, Palestin dan Somalia, nama Malaysia disebut dengan penuh rasa hormat dan syukur oleh rakyat tempatan.

“Kalau tanya rakyat Syria atau Palestin, mereka kenal Malaysia. NGO kita bina sekolah, hospital, kampung – komitmen kita bukan sekadar ‘touch and go’, tapi ‘stay for long’.”

Katanya lagi, pelajar Bosnia dan Afghanistan yang dahulu dibantu Malaysia kini menjadi pemimpin dan diplomat di negara mereka sendiri – dan Malaysia sering menjadi pilihan utama dalam hubungan bilateral.

Bantuan Luar Bukan Mengabaikan Rakyat Sendiri

Isu yang sering dibangkitkan rakyat Malaysia adalah keutamaan bantuan ke luar negara berbanding keperluan dalam negara. Presiden menolak keras pandangan sinikal ini dengan merujuk kepada konsep keberkatan dalam Islam. Baginya, bantuan kemanusiaan bukanlah sifir “zero sum”.

“Membantu mereka adalah membantu diri kita. Keberkatan itu turun kepada seluruh negara. Negara kita jadi aman, ekonomi berkembang – itu keberkatan yang tak nampak.”

Menolak Naratif Kebencian dan Prasangka

Beliau turut menyelar sikap segelintir rakyat yang menghina pelarian Rohingya atau Palestin tanpa memahami realiti mereka sebagai mangsa konflik, pelarian dan stateless. Katanya, tanah Malaysia milik Allah, dan semua umat Islam itu satu ummah – bukan orang asing.

“Mengapa kita hina orang yang datang mencari perlindungan demi menyelamatkan akidah mereka? Mereka bukan mahu tinggal mewah. Mereka datang kerana tiada pilihan.”

Malah beliau menyifatkan kebencian yang melampau terhadap golongan ini sebagai satu penyakit akidah dan kecelaruan dalam memahami Islam. Baginya, mereka yang mempersendakan usaha bantuan ini patut “semak kembali kefahaman Islam”.

Penjajahan & Pecah-Perintah: Masih Berakar di Malaysia

Beliau juga membongkar bagaimana penjajah Barat, khususnya British, mencipta garisan sempadan seperti Durand Line antara Afghanistan dan Pakistan, serta mewujudkan konflik seperti Kashmir untuk memecahbelahkan umat Islam dan menghalang kesatuan.

“Konsep negara bangsa (nation-state) perlu dirobohkan. Kita satu ummah. Umpama satu tubuh – ada kepala, ada tangan, ada kaki. Kalau satu sakit, semua rasa sakit.”

Dato’ Ahmad Azam menganggap inilah sebab utama umat Islam sentiasa ditindas – kerana terus terikat dengan sistem penjajah dan gagal memahami konsep ummah.

Malaysia Dihormati di Mata Dunia

Beliau menegaskan bahawa hasil kerja kemanusiaan rakyat Malaysia memberi kesan besar kepada reputasi negara. Suara Malaysia di persidangan antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) sering didengar dengan penuh penghormatan.

“Walaupun kecil, suara Malaysia dihormati kerana kita konsisten dan komited dalam membantu negara bergolak, bukan hanya cakap kosong.”

Kehadiran Presiden China Xi Jinping selama tiga hari ke Malaysia baru-baru ini turut dijadikan contoh – bukti bahawa negara kita masih mempunyai maruah dan pengaruh dalam diplomasi antarabangsa.

Kritikan Terhadap NGO: Antara Realiti dan Salah Faham

Mengulas persepsi negatif terhadap NGO, beliau mengakui ada segelintir yang menyalahgunakan kepercayaan dan dana awam. Namun, beliau mempertahankan majoriti NGO yang bekerja dengan ikhlas dan dedikasi.

“Kerja kemanusiaan ini jihad. Tapi bila ada yang menyeleweng, semua NGO terpalit. Kita perlu betulkan persepsi ini.”

Beliau menegaskan pentingnya niat yang betul dalam kerja-kerja bantuan, agar tidak berubah menjadi alat mencari populariti atau kekayaan.

Pesanan Akhir: Jadilah Burung Pipit

Menutup wawancara, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia agar tidak hanya mengkritik dari jauh, tetapi menyumbang walau dengan sekecil tenaga dan kemampuan.

“Jadilah seperti burung pipit dalam kisah Nabi Ibrahim – walaupun usahanya kecil, tapi ada jawapan di sisi Allah. Jangan tunggu jadi sempurna baru nak bantu.”

Beliau menyimpulkan bahawa kerja kemanusiaan adalah bentuk jihad yang manfaatnya kembali kepada diri sendiri, negara dan umat sejagat.

Siaran Temu Bual boleh ditonton di paparan tertera.

Berita Wadah - BM|Berita Wadah

Wanita Madani Bangkit Perkukuh Kesatuan

“Now is the Time”: Presiden WADAH Seru Wanita Madani Bangkit Perkukuh Kesatuan Ummah BANGI, 4 Oktober 2025 – “Now is the time!” demikian seruan Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) ketika menyampaikan ucapan penuh semangat dalam Majlis Makan Malam Inspirasi Wanita Madani: Menyulam Peradaban Ummah yang berlangsung pada 4 Oktober […]

Baca Lanjut

Program Kesihatan Reproduktif WADAH dan Yayasan Taqwa

Program Kesihatan Reproduktif WADAH dan Yayasan Taqwa: Membentuk Generasi Sihat & Bermaruah Alor Setar, 27 September 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Yayasan Taqwa telah menganjurkan Bengkel Kesihatan Reproduktif bertempat di Dewan Dato’ Sheikh Azmi Ahmad, Kompleks Pendidikan Al-Hikmah, Alor Setar, Kedah. Bengkel ini bertujuan memberikan pendedahan dan pendidikan kesihatan reproduktif yang […]

Baca Lanjut

Ukhuwwah Islamiyyah Sebagai Penyembuh Luka

Ceramah Perdana dan Pelancaran Pusat Tunas Nahdah Pokok Sena, Masyarakat Madani: Ukhuwwah Islamiyyah – Penyembuh Luka, Perpaduan Umat ALOR SETAR, 26 September 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman telah dijemput untuk menyampaikan ceramah perdana sempena Muktamar Negeri ke-19 WADAH Kedah dan Pelancaran Pusat Tunas Nahdah Pokok Sena, […]

Baca Lanjut

Tahniah Presiden, Pelantikan SUHAKAM dan Majlis Hukama’

Tahniah Presiden WADAH, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman Atas Dua Pelantikan Penting KUALA LUMPUR, 28 September 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan penuh sukacita merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden WADAH, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, atas dua pelantikan penting di peringkat nasional dan antarabangsa. Pertama, Dato’ Ahmad Azam telah menerima pelantikan […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
706
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
70718
Klik Sini