Dakwah Pemangkin Malaysia MADANI: Buku Terbaharu Timbalan Presiden WADAH Dilancarkan di PBAKL 2025
KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 — “Dakwah bukan sekadar tanggungjawab agama, tetapi satu misi pembinaan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang,” demikian antara inti pati ucapan penuh semangat oleh Ustaz Hasri Harun, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) sempena pelancaran bukunya Dakwah dalam Masyarakat Menuju Malaysia MADANI di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 pada jam 10 pagi, 29 Mei 2025.
Dalam ucapan perasmiannya, Ustaz menekankan bahawa nilai-nilai seperti ihsan, hormat, kasih sayang dan kesejahteraan yang terkandung dalam gagasan Malaysia MADANI perlu diterjemahkan melalui pendekatan dakwah yang berkesan. Menurut beliau, buku ini ditulis dengan bahasa yang mudah difahami untuk menyedarkan masyarakat bahawa dakwah bukanlah hak eksklusif golongan agamawan, tetapi tanggungjawab setiap individu tanpa mengira usia.
“Malaysia MADANI bukan sekadar slogan. Ia menuntut masyarakat yang tidak nafsi-nafsi, yang cakna terhadap sekeliling, dan yang mengangkat nilai kemanusiaan. Dakwah yang berasaskan kasih sayang dan ilmu adalah kunci pembentukan negara yang maju dari segi rohani dan jasmani,” ujar beliau lagi.
Buku ini bertujuan memberi panduan praktikal kepada masyarakat awam dalam menyampaikan mesej kebaikan dan kesejahteraan kepada semua lapisan rakyat, termasuk hubungan antara umat Islam dan bukan Islam dalam kerangka dakwah bersepadu.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Pentas Utama PBAKL itu turut menyaksikan pelancaran sebuah lagi karya penting bertajuk Pendidikan yang Dihitamkan tulisan Dr. Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim. Buku Pendidikan Yang Dihitamkan mengajak kita meneliti semula sistem pendidikan dengan kaca mata yang lebih adil, berlapis, dan jujur. Ia bukan sekadar keluhan, tetapi seruan untuk membina semula keyakinan terhadap sekolah, guru, dan masa depan anak bangsa.
Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh Smart Forum Resources (SFR) sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap isu pendidikan dan peranan dakwah dalam kerangka pembangunan negara.
Majlis dimulakan tepat jam 10:00 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan bacaan doa, diikuti ucapan para penulis. Ucapan perasmian dan pelancaran rasmi disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tuan Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), yang turut menyatakan sokongan terhadap penerbitan kedua-dua buku tersebut sebagai rujukan penting untuk masyarakat Malaysia hari ini.
Pelancaran turut disertai dengan gimik khas sebagai simbolik penerbitan dan penyerahan buku kepada masyarakat. Program berakhir tepat jam 11:00 pagi.
Kedua-dua buku ini kini boleh didapati di reruai pameran Smart Forum di PBAKL sepanjang berlangsungnya pesta buku tersebut, dan dijangka menjadi rujukan penting bagi penggiat pendidikan serta aktivis dakwah seluruh negara.
WADAH MENGUTUK ESKALASI SERANGAN TERHADAP INFRASTRUKTUR TENAGA IRAN & AMARAN KRISIS GLOBAL KENYATAAN MEDIA 19 MAC 2026 Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyatakan kebimbangan yang amat serius terhadap perkembangan terkini di Timur Tengah susulan serangan ke atas FASILITI GAS SOUTH PARS MILIK IRAN—antara medan gas terbesar dunia—yang kini mencetuskan risiko besar kepada keselamatan tenaga global […]
WADAH SAMBUT POSITIF USAHA PERTEMUAN HARMONI MADANI MUSLIM–HINDU : MEMPERKUKUH “PEACEFUL COEXISTENCE” DAN HIDUP BERSAMA DALAM BUDAYA DAMAI KENYATAAN MEDIA19 Mac 2026 | Bandar Baru Bangi, Selangor WADAH menyambut baik dan menyokong sepenuhnya inisiatif pertemuan antara wakil komuniti Muslim dan Hindu yang bertujuan mencari titik damai serta meredakan ketegangan antara agama dalam negara. Usaha ini […]
Kuala Lumpur, 15 Mac 2026 – Dalam semangat Ramadan yang mulia, WADAH Pencerdasan Umat Malaysia, dengan kerjasama Yayasan Taqwa, telah mengagihkan 55 pek Pek Ceria Raya (PCR) kepada para peserta mualaf di Islamic Outreach ABIM (IOA) Centre, Masjid Negara, Kuala Lumpur. Program ini bertujuan membantu golongan mualaf membuat persiapan menyambut Aidilfitri serta menyemai semangat kepedulian […]
Petaling Jaya, 15 Mac – Dalam semangat Ramadan yang penuh keberkatan, program Agihan Pek Ceria Raya (PCR) telah dilaksanakan di PPR Lembah Subang 2, Petaling Jaya, melibatkan pengagihan sebanyak 60 pek sumbangan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dalam komuniti setempat. Program ini bertujuan membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, khususnya dalam membuat persiapan menyambut […]