Forum Intelektual Diraja 2025: Teknologi Berjiwa Dan Tamadun Bermaruah
ISKANDAR PUTERI, JOHOR, 2 September 2025 – Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin, Timbalan Rektor Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Komuniti, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak, telah dijemput sebagai panel dalam Forum Intelektual Diraja 2025 bertemakan “Teknologi Berjiwa, Tamadun Bermaruah: Inspirasi Kearifan Islam Dalam Era Inovasi Digital”. Baliau juga merupakan Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH).
Program ini telah berlangsung pada 2 September 2025, jam 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Dewan Utama, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Bangunan Temenggong Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
Dalam pembentangannya, Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan mengingatkan bahawa teknologi moden sering kali mendekatkan jarak fizikal, namun pada masa sama menjauhkan hati. Beliau menegaskan bahawa anak-anak yang terlalu dimanjakan dengan gajet berisiko mengalami keretakan hubungan kekeluargaan sekiranya penggunaan teknologi tidak dipandu dengan akhlak. Oleh itu, beliau menekankan kepentingan memahami prinsip iqra’ agar media sosial dan kecerdasan buatan dapat digunakan dengan penuh adab, seterusnya membawa manusia lebih dekat kepada Allah SWT.
Beliau turut merujuk kepada Surah al-Hujurat yang menggariskan prinsip tabayyun, keadilan hatta kepada musuh, serta larangan mengumpat, mengaibkan, berprasangka buruk dan bersifat sombong. Nilai-nilai ini, jelas beliau, sangat relevan dalam mendepani arus digital tanpa sempadan.
Masyarakat Teknologi Tinggi
“Sebagaimana dalam Surah al-Hujurat yang menggariskan prinsip tabayyun, keadilan waima kepada musuh, larangan mengumpat, mengaibkan, berprasangka buruk dan bersifat sombong. Prinsip ini sangat relevan dalam mendepani arus digital tanpa sempadan. Masyarakat berteknologi tinggi mestilah tetap berjiwa dan berakhlak kerana akhlak merupakan asas kelestarian tamadun.”
Forum berprestij anjuran Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ini turut mendapat perkenan dan kehadiran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Al Mutawakkil Alallahi Shah, Permaisuri Agong ke-17 merangkap Permaisuri Johor.
Forum Intelektual Diraja 2025 bertujuan membangkitkan kesedaran tentang peranan teknologi digital yang berpaksikan nilai kemanusiaan dan kearifan Islam untuk membina tamadun moden yang unggul, lestari dan berpaksikan syariah dalam kalangan masyarakat. Selain itu, forum ini turut mengupas asas etika, akhlak, dan prinsip syariah dalam pembangunan teknologi agar selari dengan matlamat memakmurkan kehidupan manusia.
Forum ini juga menjadi platform intelektual berimpak tinggi yang mempertemukan cendekiawan, pemimpin muda, ahli akademik dan masyarakat untuk berdiskusi secara ilmiah mengenai isu-isu kontemporari yang menyentuh institusi Islam, budaya ihsan, dan inovasi syariah. Perbincangan ini diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat untuk mengaplikasikan inovasi digital secara berhemah, beretika, dan memperkasa nilai serta identiti tamadun.
Forum Intelektual Diraja 2025 ini turut menampilkan SS YB Dato’ Haji Yahya Bin Ahmad, Mufti Negeri Johor dan En. Muhammad Haziq bin Abd Rahim, Content Creator AJAR PLBT Enterprise sebagai panel, manakala sesi dikendalikan oleh Dr. Muhammad Talhah bin Jima’ain, Pensyarah Kanan UTM.
Penglibatan Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Noordin dalam forum berprestij ini diharap dapat memperkukuh peranan gerakan intelektual Islam dalam memberi panduan beretika terhadap perkembangan teknologi digital. Kehadiran dalam wacana sebegini bukan sahaja memperluas jaringan intelektual bersama institusi akademik dan masyarakat, malah menjadi wadah menyemai kesedaran bahawa kemajuan teknologi mestilah sentiasa dipandu oleh akhlak, nilai Islam dan visi membina tamadun yang bermaruah.
Bismillahirrahmanirrahim. Saudara-saudari seperjuangan yang dirahmati Allah, Saya mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, Majlis Tautan Ukhuwwah Safwah yang dianjurkan oleh Safwah SALWA (Sekretariat Hal Ehwal Wanita WADAH) dapat diadakan sebagai titik pertemuan bersejarah bagi generasi ABIM dan PKPIM yang berusia 35 tahun ke atas. Majlis ini bukan sekadar nostalgia perjuangan lampau, tetapi […]
بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat serta mereka yang istiqamah di atas jalan dakwah hingga ke hari kiamat. Hadirin yang dirahmati Allah sekalian, Pada tanggal 16 April 2026 bersamaan […]
Pulau Pinang, 19 April 2026 – Setiausaha Agung WADAH, Azizuddin Ahmad, mengadakan pertemuan bersama Pengarah Pusat Islam USM, Ustaz Zaid, serta seorang Ahli Majlis Agama Islam Pulau Pinang bagi meneliti beberapa inisiatif penting yang melibatkan pembangunan mahasiswa dan pengukuhan peranan komuniti. Antara perkara yang diberi tumpuan ialah pelaksanaan program halaqah pelajar di bawah Pusat Islam […]
Pulau Pinang, 18 April – Majlis Raya Aidilfitri WAPS Pulau Pinang yang menghimpunkan WADAH, ABIM, PEMBIMBING dan SALWA berlangsung meriah di SERI Ad Diniah, Sungai Bakap. Lebih daripada sekadar sambutan perayaan, program ini menjadi ruang mempererat silaturahim antara pimpinan dan ahli gerakan, dalam suasana yang sarat dengan rasa syukur. Kehadiran Setiausaha Agung WADAH, Azizuddin Ahmad, […]