PMX DAN KERAJAAN PERPADUAN MADANI

Kongsikan artikel ini :

MEMPERTAHANKAN PMX DAN KERAJAAN PERPADUAN MADANI ADALAH KEWAJIPAN

  1. Mempertahankan PMX dan Kerajaan Perpaduan MADANI adalah sebahagian daripada usaha mempertahankan Islam serta kepentingan rakyat, baik majoriti mahupun minoriti.
  2. PMX dan Kerajaan Perpaduan MADANI ditubuhkan melalui perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan persetujuan Raja-Raja Melayu sebagai kuasa tertinggi negara yang mempunyai autoriti mutlak dalam pelantikan Perdana Menteri. Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah diperkenankan untuk membentuk kerajaan perpaduan selepas cadangan Yang Di-Pertuan Agong supaya Perikatan Nasional (PN) menubuhkan kerajaan perpaduan telah ditolak oleh pihak tersebut.
  3. Dato’ Seri Anwar Ibrahim mematuhi titah Seri Paduka Baginda untuk merundingkan gabungan para wakil rakyat daripada Pakatan Harapan dan parti-parti lain sehingga berjaya mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen, lalu membolehkan penubuhan Kerajaan Perpaduan MADANI.
  4. PMX memperkenalkan kerangka membangun Negara MADANI sebagai landasan utama dan panduan asas dalam pentadbiran negara yang berteraskan prinsip al-Qur’an dan Perlembagaan Madinah, serta digabungkan dengan elemen-elemen kontemporari dalam pengurusan moden negara. Pendekatan ini mengintegrasikan prinsip Islam dan prinsip pengurusan semasa bagi melengkapkan urus tadbir negara secara menyeluruh.
  5. Melalui proses demokrasi dan berpandukan kerangka pentadbiran Kerajaan Perpaduan MADANI, pentadbiran negara dapat digerakkan dengan lebih baik serta memenuhi keperluan rakyat dan negara. Panduan yang jelas menerusi skrip membangun Negara MADANI menjadi asas dalam menangani pelbagai cabaran dan rintangan.
  6. Dalam hampir tiga tahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan MADANI, pelbagai usaha telah dilakukan, antaranya:
    • Bantuan berperingkat kepada golongan fakir miskin untuk berusaha menoktahkan kemiskinan;
    • Kenaikan gaji penjawat awam;
    • Penyediaan keperluan asas melalui program Jualan Rahmah,
    • Pelaburan langsung asing oleh syarikat-syarikat gergasi,
    • Penstabilan nilai ringgit,
    • Bantuan tunai RM100 secara one-off melalui pembelian barang keperluan yang disenaraikan di kedai terpilih di seluruh negara kepada seluruh warga negara yang berumur 18 tahun dan ke atas
    • Penurunan harga minyak kepada RM1.95 seliter dan bantuan khas kepada negeri-negeri dan lain-lain lagi.
  7. Berbanding dengan pentadbiran kerajaan PN sebelum ini yang menyaksikan dua kali pertukaran Perdana Menteri, pertambahan kementerian hanya demi memenuhi tuntutan parti-parti komponen, namun tiada pencapaian ketara. Malah, berlakunya ketirisan kewangan yang kini sedang disiasat oleh SPRM – melibatkan bekas PM, ahli keluarga menteri, dan pengarah syarikat. Seruan agar PMX meletakkan jawatan atas nama perjuangan Islam dan Melayu hanyalah taktik untuk mengaburi kegagalan dan kepincangan mereka sendiri yang sarat dengan amalan korupsi. Kita juga tidak pernah mendengar PN atau PAS menyatakan penghargaan terhadap usaha Kerajaan Perpaduan MADANI dalam memerangi rasuah.
  8. Parti PAS kini terpengaruh dengan fahaman politik Syiah seperti konsep Wilayat al-Faqih (kepimpinan ulama) yang bukan sebahagian daripada ajaran politik Ahlus Sunnah wal Jamaah. Perpecahan dalaman antara golongan ulama dan akademik melahirkan Parti Amanah sebagai alternatif. Fatwa politik oleh Tan Sri Haji Hadi pula cenderung kepada pendekatan Khawarij yang bertentangan dengan pendekatan fiqh Ahlus Sunnah wal Jamaah. Konsep Wilayat al-Faqih tiada dalam sejarah politik Islam Ahlus Sunnah, bahkan selepas zaman Khulafa’ al-Rasyidin, pemerintahan Islam menggabungkan kuasa Sultan dan peranan ulama – sebagaimana berlaku dalam sejarah Kesultanan Melayu hingga ke hari ini. Selain itu, pandangan Tan Sri Haji Hadi yang cenderung kepada aliran takfiri sesama Islam serta mengangkat proses pilihan raya melebihi ibadah umrah dan haji adalah keterlaluan dan menyimpang daripada pendirian para ulama muktabar Ahlus Sunnah. Tidak dapat dipastikan sama ada hukum-hukum ini dikeluarkan berdasarkan usul fiqh atau semata-mata didorong oleh kepentingan politik.
  9. Berdasarkan hujah-hujah yang dikemukakan, maka mempertahankan PMX dan Kerajaan Perpaduan MADANI adalah satu kewajipan. Ini kerana prinsip amar makruf nahi mungkar yang diusahakan berjalan seiring dalam memperjuangkan maslahat rakyat dan negara. Sebaliknya, mereka yang mahu menjatuhkan PMX boleh membawa mudarat yang lebih besar berdasarkan bukti-bukti kegagalan semasa mereka mentadbir – tanpa sebarang perancangan jelas untuk pembangunan negara, sebaliknya hanya menjaga kepentingan kelompok sendiri dan mengumpul kekayaan.
  10. Oleh itu, mempertahankan kedudukan PMX sebagai Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan MADANI adalah KEWAJIPAN dari segi hukum dan akal, demi mengekalkan kemaslahatan untuk umat dan negara serta menolak segala bentuk kemudaratan yang dibawa oleh golongan yang kini mahu meruntuhkan Kerajaan Perpaduan MADANI.

Daripada Ibn Umar r.a., bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Wajib bagi setiap Muslim patuh dan taat (kepada pemimpin) pada apa yang dia suka dan dia benci, selagi mana dia tidak diperintah melakukan maksiat. Justeru apabila dia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi kewajipan untuk patuh dan taat.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Sekian,

Dr Abdul Halim El Muhammady
Pengerusi Pertubuhan Majlis Murabbi Madani

5 Safar 1447H / 30 Julai 2025M

Kenyataan Media|Kenyataan Media - BM
seminar ekonomi wanita madani

SEMINAR EKONOMI WANITA MADANI: PEMACU TRANSFORMASI USAHAWAN DAN PEMBERDAYAAN KOMUNITI

CYBERJAYA, 5 Disember 2025 – Bertempat di Dewan Semarak, Cyberjaya, satu anjakan paradigma dalam memperkasa ekonomi golongan wanita telah dizahirkan menerusi penganjuran Seminar Ekonomi Wanita MADANI oleh Pekawanis. Program yang berlangsung bermula jam 8:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ini telah berjaya menghimpunkan ratusan peserta yang terdiri daripada usahawan, surirumah, dan belia dari sekitar daerah […]

Baca Lanjut
AMANAT PIMPINAN

AMANAT PIMPINAN GERAKAN WADAH 2026

Menghidupkan Syura, Memperkukuh Amal Jama‘iyy, Mempersatukan Umat MUKADIMAHTahun 2026 dan Panggilan Tanggungjawab Bismillāhirraḥmānirraḥīm.Saudara-saudari pimpinan dan seluruh warga Gerakan WADAH yang saya kasihi. Kita melangkah ke tahun 2026 dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu. Perpecahan umat semakin ketara, politik kebencian semakin menular, dan suara hikmah sering tenggelam dalam lautan emosi. Dalam suasana inilah Allah SWT […]

Baca Lanjut
FORUM MASYARAKAT MADANI

FORUM MASYARAKAT MADANI: HIKAM SERU BUDAYA HIKMAH DAN TOLAK KETAASUBAN MELALUI ASAS ISLAM RAHMAH (AISAR)

PUTRAJAYA, 28 Disember 2025 – Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) hari ini melakar sejarah penting dalam landskap dakwah negara melalui penganjuran Forum Masyarakat Madani: Menolak Ketaksuban, Mempromosi Hikmah Melalui Asas Islam Rahmah (AISAR). Program yang berlangsung di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Qur’an ini telah menjadi medan pertembungan idea yang progresif bagi menangani isu ekstremisme […]

Baca Lanjut

Malaysia Memimpin: WADAH Tekankan Agenda Islah, Ketahanan Tamadun dan Tajdid Ummah

Seberang Jaya, 29 November 2025 — Muktamar Nasional WADAH kali ke-19 (MUKNAS19) berlangsung dengan penuh signifikan apabila Presiden WADAH Pencerdasan Umat, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, menyampaikan amanat bertema “Malaysia Memimpin: Agenda Islah, Ketahanan Tamadun dan Tajdid Ummah”. Amanat ini merupakan satu rangka pemikiran besar yang menegaskan peranan Malaysia sebagai negara berwibawa, beradab dan […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
310
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
246242
Klik Sini