Seru Dunia Bangkit Kawal Kuasa Veto

Kongsikan artikel ini :

Presiden WADAH: Dunia Perlu Bangkit Kawal Kuasa Veto, PBB Jangan Jadi Alat Kuasa Besar

Kuala Lumpur, 8 Jun 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman menegaskan bahawa kuasa veto yang dimiliki negara-negara besar di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus digunakan dengan bertanggungjawab dan tidak dijadikan alat untuk melindungi kezaliman. Beliau menyuarakan hal ini secara dalam talian dalam rancangan Glob AlHijrah yang disiarkan secara langsung pada 8 Jun 2025, dikendalikan oleh wartawan Zaim Zamani.

Menurut beliau, empat hari lalu harapan untuk melihat gencatan senjata di Gaza berkubur lagi, hanya kerana satu kuasa veto yang diangkat. “Ia sekaligus mengetepikan suara dunia untuk melihat keamanan di bumi Gaza,” katanya, merujuk kepada tindakan Amerika Syarikat pada 4 Jun 2025 yang menggunakan kuasa vetonya terhadap draf resolusi Majlis Keselamatan PBB berkaitan gencatan senjata serta-merta dan berkekalan.

Beliau menyatakan kekecewaannya terhadap tindakan tersebut yang sekali lagi memperlihatkan sikap tidak bertanggungjawab Amerika Syarikat. “Dunia barangkali telah menjangka perkara ini berlaku. Namun, pada masa sama kecewa dengan sikap Amerika Syarikat yang bagaikan menutup mata, tiada tanggungjawab hingga merelakan sahaja bumi Gaza diceroboh, dirobek dan dijarah adik yang dikasihinya, Israel.”

Presiden WADAH turut mempersoalkan sejauh mana kuasa veto benar-benar mencerminkan tanggungjawab sebenar pemegangnya. Katanya, bukan sekali, tetapi berkali-kali kuasa besar itu telah menurunkan martabat dunia, yang sepatutnya menjulang keadilan dan keamanan global.

Pelanggaran Prinsip Undang-undang Antarabangsa

Beliau menyifatkan penggunaan kuasa veto yang sedemikian sebagai pelanggaran terhadap prinsip undang-undang antarabangsa yang sepatutnya menjamin hak asasi manusia, menjamin keamanan sejagat dan menghukum negara-negara yang menyerang atau menindas negara lain. Apabila PBB yang ditubuhkan pasca Perang Dunia gagal mempertahankan keadilan dalam kalangan negara anggotanya dan membiarkan pelanggaran hak asasi manusia berlaku secara terbuka, maka ia secara jelas mencerminkan kecacatan kredibiliti institusi tersebut. Katanya, kehilangan keyakinan terhadap kemampuan PBB untuk menjamin keamanan global kini menjadi isu yang serius dan tidak boleh dipandang remeh.

Dalam kenyataannya, beliau memetik ungkapan penting: “The world is bigger than five”, atau “dunia ini lebih besar daripada lima kuasa veto.” Baginya, dunia tidak boleh terus ditentukan oleh kehendak lima negara ini semata-mata. Menurut beliau, PBB kini berada di persimpangan jalan — sama ada benar-benar berfungsi untuk menjamin keamanan global, atau terus menjadi alat perkakas kepada lima kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat dalam konteks genosida yang sedang berlaku di Gaza.

Beliau mengakhiri kenyataan dengan seruan tegas agar masyarakat antarabangsa bangkit dan bersatu menyuarakan keperluan untuk merombak sistem veto. Beliau menyarankan agar negara-negara serantau seperti di bawah Liga Arab, ASEAN, Amerika Latin dan Afrika membentuk gabungan solidariti global untuk menentang penyalahgunaan kuasa oleh negara-negara veto ini. Dunia tidak boleh terus membiarkan satu tangan berkuasa menghapuskan harapan berjuta manusia.

Video boleh ditonton di paparan tertera.

Berita Wadah|Berita Wadah - BM

PUSAT INFAQ WADAH SANTUNI PELAJAR KOLEJ DAR AL-HIKMAH

Kajang, 22 Mei – Program Jamuan Kasih Pelajar al-Hikmah telah berlangsung di Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, menghimpunkan para pelajar dalam suasana penuh ukhuwah, kesyukuran dan kebersamaan. Program ini turut dihadiri oleh petugas Sekretariat WADAH Pusat, yang bersama-sama menyantuni para pelajar serta menzahirkan sokongan terhadap usaha membina ekosistem pendidikan yang berteraskan kasih sayang, adab dan kepedulian. […]

Baca Lanjut
selat hormuz

KRISIS SELAT HORMUZ & KEDAULATAN DIGITAL : PRESIDEN WADAH GESA KPM RANGKA KURIKULUM ‘TEKNOLOGI MANDIRI’ BERASASKAN AI

PUTRAJAYA, 22 Mei 2026 – Di sebalik kehangatan pergolakan geopolitik di Selat Hormuz yang sedang menghimpit ekonomi dunia, pasak pertahanan dan masa depan sesebuah negara kini tidak lagi sekadar bergantung kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya ditentukan oleh kedaulatan digital dan penguasaan teknologi. Menyedari hakikat ini, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Abdul Rahman, […]

Baca Lanjut
YANG DI-PERTUAN AGONG

YANG DI-PERTUAN AGONG KURNIA WATIKAH PELANTIKAN AHLI MAIWP KEPADA PRESIDEN WADAH

KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap serta mengurniakan surat cara pelantikan kepada 22 Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi sesi 2026–2028. Istiadat rasmi yang penuh gilang-gemilang itu telah berlangsung di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara pada 18 […]

Baca Lanjut
usrah gabungan perak

USRAH GABUNGAN WAP PERAK RUNGKAI PARADIGMA BAHARU GERAKAN ISLAM

CHEMOR, 21 Mei 2026 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Perak dengan kerjasama Wadah Wanita (SALWA) Negeri Perak, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Perak, dan Kesatuan Pelajar Islam Perak (KPIP) telah menganjurkan Program Usrah Gabungan peringkat negeri malam tadi. Program yang berlangsung di Bilik Gerakan Dr. Siddiq Fadzil, Maahad Al Ummah, Chemor ini […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
1414
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
509742
Klik Sini