100 Tahun Malcolm X: Presiden WADAH Seru Kemanusiaan Sebagai Bahasa Bersama Dunia
SHAH ALAM, 21 Mei 2025 – “Kemanusiaan adalah pilihan kita hari ini sama ada berpihak kepada yang tertindas atau membisu dalam ketidakadilan. Seratus tahun Malcolm mengingatkan sejarah akan menghakimi kita bukan atas kuasa, tetapi atas empati.” Demikian seruan penuh makna disampaikan oleh Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dalam ceramah khas bertajuk “Malcolm X: 100 Tahun Kemanusiaan Tanpa Sempadan” sempena seminar memperingati tokoh pejuang hak asasi dunia itu di Dewan Pro-Canselor, UNISEL Shah Alam.
Dalam ucapannya, beliau mengangkat tiga teras utama daripada perjuangan Malcolm X yang masih relevan untuk dunia hari ini – iaitu konsep Kemanusiaan Tanpa Sempadan, Keadilan sebagai Kompas di Tengah Ketidakpastian, dan Diplomasi Kemanusiaan sebagai Senjata Damai.
Dato’ Ahmad Azam menjelaskan bagaimana dunia kini sedang berdepan dengan “jurang kemanusiaan yang lebar” akibat ketidakseimbangan kuasa, perang proksi dan krisis migrasi. Lebih 117 juta manusia kini menjadi pelarian akibat konflik dan kemiskinan. Beliau mengecam fahaman nasionalisme sempit dan politik identiti yang membina tembok, berbanding membina jambatan antara masyarakat.
Mengambil ilham daripada pendekatan Malcolm X yang berubah dari nasionalisme kulit hitam kepada solidariti global, beliau turut menyentuh isu kontemporari seperti Palestin dan Sudan – mengajak hadirin berfikir: “Jika Malcolm masih hidup, apakah pendirian beliau tentang nasib umat manusia hari ini?”
Presiden turut menyeru agar negara-negara memperuntukkan sekurang-kurangnya 1% daripada GDP untuk bantuan kemanusiaan dan mendesak reformasi sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar kuasa veto tidak lagi menghalang misi menyelamatkan nyawa. “Ketika politik gagal, kemanusiaan harus menjadi bahasa bersama dunia,” tegas beliau.
Perjalanan Seminar Malcolm X Penuh Inspirasi & Kepedulian
Seminar “100 Tahun Malcolm X: Kemanusiaan Tanpa Sempadan” anjuran bersama UNISEL, Institut Darul Ehsan (IDE) dan WADAH diadakan sebagai wadah memperingati legasi pejuang hak asasi tersohor dunia itu. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran peserta dari pelbagai lapisan masyarakat.
Turut hadir ke seminar ini ialah Prof. Dr Md Sidin Ahmad Ishak, TNC Akademik, Penyelidikan dan Jaringan Industri UNISEL serta bekas pengacara televisyen, saudara Nizal Mohamad.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YB Senator Prof. Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor UNISEL, sebelum dirasmikan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Dalam ucapan perasmian, beliau berkongsi pengalaman ketika berkhidmat di New York dan mengunjungi masjid-masjid di kawasan Harlem. Beliau juga menyentuh mengenai hubungan Muhammad Ali dan Malcolm X yang sangat menarik untuk dikaji.
Pandangan alam Malcolm X berubah sepenuhnya setelah menunaikan haji pada 1964. Dari seorang bersifat perkauman menjadi insan yang mengangkat kemanusiaan dan mengiktiraf kewujudan bersama secara damai dalam kepelbagaian. Beliau menulis, “ Eaten from the same plate with fellow Muslims whose eyes were bluer than blue,whose hair was blond, blonder than blond,whose skin was whiter than white and we were all the same . ’
Lebih menarik lagi, Perdana Menteri Malaysia kini dan ABIM pernah memperkenalkan perjuangan Malcolm X kepada khalayak Malaysia pada tahun 1996 menerusi Tayangan Perdana Filem Malcolm X dengan kerjasama TV3 yang dibintangi Denzel Washington. Tontonan diadakan di Pusat Matrikulasi UIAM Lembah Pantai.
Pembacaan Autobiografi
Seterusnya, pembacaan dramatik daripada The Autobiography of Malcolm X menjadi pembuka tirai kepada sesi ceramah utama oleh Dato’ Ahmad Azam. Tayangan video pendek Malcolm X turut menghidupkan suasana dan membangkitkan kesedaran.
Acara diteruskan dengan segmen pameran visual yang disampaikan oleh Dr. Rina Abdul Shukor, Kurator dari Jabatan Seni Visual, FCVAC, UNISEL. Ceramah kedua disampaikan oleh tokoh penulis dan sejarawan, Puan Sri Fatini Yaacob, yang membincangkan perjalanan dakwah Malcolm X melalui filem dan media visual sebagai alat kesedaran awam.
Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata dan jamuan ringan. Walaupun Malcolm X telah lama tiada, seminar ini membuktikan bahawa “pelita perjuangan beliau masih menyala” – menerangi jalan bagi generasi baru untuk terus berpihak kepada keadilan dan kemanusiaan.
Presiden WADAH: Mansuh atau Kawal Veto, Dunia Tidak Lagi Percaya kepada PBB Kuala Lumpur, 8 Jun 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman menggesa pemansuhan atau reformasi menyeluruh terhadap kuasa veto yang dimiliki lima anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Gesaan tersebut disuarakan beliau dalam rancangan Glob […]
Presiden WADAH: Dunia Perlu Bangkit Kawal Kuasa Veto, PBB Jangan Jadi Alat Kuasa Besar Kuala Lumpur, 8 Jun 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman menegaskan bahawa kuasa veto yang dimiliki negara-negara besar di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) harus digunakan dengan bertanggungjawab dan tidak dijadikan alat […]
WADAH Anjur Diskusi Meja Bulat: RUU PSB & Isu Sosial PPR Sebagai Usaha Membina Bandar Baharu, Menyatukan Masyarakat Bandar Baru Bangi, 26 Mei 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah menganjurkan satu Diskusi Meja Bulat bertemakan “RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) & Isu Sosial PPR: Membina Bandar Baharu, Menyatukan Masyarakat” yang berlangsung di Bangi […]
Dakwah Pemangkin Malaysia MADANI: Buku Terbaharu Timbalan Presiden WADAH Dilancarkan di PBAKL 2025 KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 — “Dakwah bukan sekadar tanggungjawab agama, tetapi satu misi pembinaan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang,” demikian antara inti pati ucapan penuh semangat oleh Ustaz Hasri Harun, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) sempena pelancaran bukunya […]