PUSAT KAJIAN DAKWAH SEMPENA JAMUAN RAYA WADAH

Kongsikan artikel ini :

WADAH Lancar Pusat Kajian Dakwah Razali Nawawi Sempena Jamuan Aidilfitri Usrah WADAH Pusat

Kajang, 12 April 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) mengorak langkah strategik dalam memperkukuh agenda dakwah tanah air dengan melancarkan Pusat Kajian Dakwah Razali Nawawi (PKDRN) dalam satu majlis yang digabungkan bersama Jamuan Hari Raya Usrah WADAH Pusat di Anjung Rahmat, Sungai Merab, Kajang.

Majlis pelancaran PKDRN yang berlangsung tepat jam 10.00 pagi itu dihadiri oleh ahli-ahli usrah dan para pendukung WADAH yang turut membawa ahli keluarga masing-masing dalam suasana Syawal yang penuh kemesraan dan ukhuwwah.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), yang hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap usaha pengukuhan institusi dakwah di Malaysia. Kehadiran beliau mencerminkan keterlibatan kerajaan dalam mengiktiraf peranan institusi masyarakat sivil dalam memartabatkan kefahaman Islam yang rahmatan lil ‘alamin.

Perasmian PKDRN dimulakan dengan ucapan oleh Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur Manuty, Ketua Majlis Istisyari WADAH (MIW), yang kemudian menyempurnakan acara simbolik pemotongan reben di pintu masuk pusat tersebut. Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang peri pentingnya kesinambungan perjuangan golongan muda dalam meneruskan risalah dakwah dan tarbiah yang digalas oleh generasi terdahulu.

Sumbangan Besar Allahyarham Dr Razali

Mengimbau kenangan lamanya bersama gerakan dakwah di Kuwait, beliau berkongsi pengalaman menghadiri muktamar antarabangsa anjuran gerakan Ikhwan Muslimin yang menghimpunkan pemimpin Islam dari seluruh dunia. Dalam muktamar tersebut, sumbangan besar disampaikan oleh tokoh Ikhwan Kuwait, almarhum Syeikh Ahmad Sakar, sebagai tanda solidariti dakwah serantau.

Menyorot sumbangan besar almarhum Dr. Razali Nawawi, beliau menyifatkan sosok ini sebagai seorang ilmuan yang pintar, berprinsip dan tajam dalam kritikannya terhadap sistem kewangan Islam yang tidak menepati maqasid keadilan. Dr. Razali, menurut beliau, merupakan seorang yang gemar membaca, mendalami syariah, dan berani menegur kelemahan dalam pelaksanaan sistem Islam kontemporari.

“Beliau seorang pemikir tajdid dan pendidik ulung. Bahkan, di usia lanjut pun tetap komited menyambung pengajian hingga ke peringkat PhD dalam bidang Islamic Commercial Laws,” ujar beliau.

Prof. Dato’ Dr. Muhammad Nur turut memuji keberanian almarhum dalam menjadikan ilmu dan gerakan sebagai satu bentuk dakwah yang menyeluruh. Sumbangan pemikiran almarhum, terutamanya melalui dua buah buku pentingnya, dilihat sebagai asas yang wajar dijadikan rujukan oleh para pelapis gerakan dakwah hari ini.

Beliau turut mengajak generasi muda untuk mendalami dan mengembangkan pemikiran dakwah “Azlinawi”, termasuk keterbukaan almarhum terhadap gagasan Fiqh al-Da’wah, pengaruh tokoh-tokoh seperti Bapak Mohammad Natsir, serta keterlibatannya dalam jaringan antarabangsa gerakan Islam.

Matlamat Penubuhan Pusat Kajian

PKDRN ditubuhkan sebagai satu inisiatif untuk mengembangkan pemikiran dakwah Almarhum Prof. Dato’ Dr. Razali Nawawi, tokoh murabbi dan pejuang dakwah tanah air yang banyak mencorak hala tuju gerakan Islam di Malaysia. Penubuhannya di Sungai Merab, Kajang, Selangor ini bertujuan memperkukuhkan usaha dakwah secara lebih sistematik, inklusif dan berkesan.

Matlamat utama penubuhannya adalah untuk menjadi pusat penyelidikan dalam bidang dakwah dan harakah Islamiyah, selain mengembangkan idea serta pendekatan dakwah kontemporari yang sesuai dengan cabaran zaman. PKDRN juga berfungsi sebagai pusat pengumpulan, dokumentasi dan penyebaran bahan-bahan dakwah serta harakiy untuk dijadikan rujukan ilmiah dan strategik oleh para pendakwah, penyelidik dan aktivis. Sebagai pelengkap, sebuah perpustakaan mini turut disediakan dengan koleksi pelbagai kitab tafsir, hadith serta buku-buku ilmiah dalam genre Islam, dakwah, kepimpinan dan pembangunan insan.

Presiden WADAH, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, dalam ucapannya menegaskan bahawa PKDRN bukan sahaja sebagai penghormatan terhadap jasa Almarhum Dr. Razali, malah ia adalah komitmen WADAH untuk menyambung legasi perjuangan dakwah secara berstruktur. Beliau menambah bahawa pusat ini diharap menjadi wadah pemikiran dan pencerahan yang menyumbang kepada penghasilan wacana dakwah yang bersifat segar, berasaskan ilmu dan membumi dalam konteks realiti masyarakat masa kini.

Majlis ini turut diserikan dengan jamuan Hari Raya Aidilfitri yang bermula seawal jam 8.15 pagi hingga 11.00 pagi, menyajikan pelbagai juadah istimewa yang disediakan secara bersama melalui konsep potluck dan sumbangan ahli. Kemeriahan suasana diraikan dalam semangat kekeluargaan, menjadikan majlis ini sebagai titik temu yang menyatukan ukhuwah dan tekad perjuangan. Turut menceriakan suasana ialah acara pemberian duit raya kepada kanak-kanak oleh Presiden WADAH sendiri, satu simbol kasih sayang dan semangat kekeluargaan yang menjadi teras perjuangan WADAH selama ini.

Majlis ditutup dengan doa dan harapan agar PKDRN menjadi pemacu kepada gelombang baru dalam pengembangan dakwah Islam di Malaysia dan rantau ini, selari dengan misi WADAH sebagai gerakan pencerahan umat.

Berita Wadah|Berita Wadah - BM
KEAMANAN

NIKMAT KEAMANAN WAJIB DISYUKURI : PRESIDEN WADAH GARISKAN KERANGKA KESALINGAN KERAJAAN-RAKYAT HADAPI KRISIS GLOBAL

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2026 – Dalam suasana dunia yang semakin dihimpit ketidakpastian geopolitik, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) tampil menggariskan hala tuju strategik buat rakyat Malaysia. Presidennya, Dato’ Hj. Ahmad Azam Ab Rahman, mengeluarkan seruan tegas agar seluruh warga negara memperkukuh benteng syukur dan kesatuan nasional sebagai respons terhadap ancaman global yang kian meruncing. […]

Baca Lanjut
usrah gabungan

Usrah Gabungan WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) Wilayah Persekutuan: Presiden WADAH Kupas Peranan Usrah Sebagai Nadi Kekuatan Ummah

KUALA LUMPUR, 7 Mei 2026 – Program Usrah Gabungan anjuran WADAH-ABIM-PKPIM (WAP) Wilayah Persekutuan peringkat negeri telah berjaya dilaksanakan dengan penuh pengisian bertempat di Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB), malam tadi. Program yang bermula pada jam 7.30 malam itu dihadiri oleh kira-kira 100 orang peserta secara fizikal, selain turut dipancarkan secara langsung melalui platform media […]

Baca Lanjut

ZOPFAN KOMPAS STRATEGIK ASEAN 2026: MEMBINA MASA DEPAN SERANTAU BERSAMA

KENYATAAN MEDIA 8 MEI 2026PERTUBUHAN WADAH PENCERDASAN UMAT MALAYSIA (WADAH) ZOPFAN Kompas Strategik ASEAN 2026: Membina Masa Depan Serantau Bersama Pertubuhan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menegaskan bahawa Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) bukan sekadar warisan diplomasi ASEAN era Perang Dingin, sebaliknya merupakan keperluan strategik yang semakin mendesak dalam menghadapi cabaran geopolitik dan […]

Baca Lanjut
pemergian

PEMERGIAN USTAZ MOHAMAD SAIM BIN ITHNIN

BELASUNGKAWA Seluruh pimpinan dan warga Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh ahli keluarga Ustaz Mohamad Saim bin Ithnin yang telah kembali ke rahmatullah pada 6 Mei 2026 bersamaan 18 Zulkaedah 1447H. Beliau terlibat aktif sebagai ahli dan naqib Usrah Anjung Rahmat yang dilaksanakan setiap minggu. Beliau juga merupakan mantan […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
2007
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
483269
Klik Sini