Penglibatan WADAH dalam Persidangan Kuala Lumpur, Fokus Tindakan Serantau dan Advokasi Global dalam Krisis Rohingya
Kuala Lumpur, 23 Februari 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) merupakan antara rakan kerjasama dalam penganjuran KL Conference: The Rohingya Crisis – Regional Actions and Global Advocacy di Bilik Persidangan Ibnu Taymiyyah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Program ini merupakan anjuran Global Peace Mission (GPM) Malaysia dan Arakan Rohingya National Alliance (ARNA).
Persidangan ini menghimpunkan pelbagai pihak termasuk pembuat dasar, diplomat, ahli akademik, serta aktivis hak asasi manusia bagi membincangkan kerjasama serantau, usaha kemanusiaan, dan advokasi global dalam menangani krisis Rohingya. Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Pesuruhjaya IPHRC OIC juga merupakan Presiden WADAH telah dijemput sebagai penceramah utama dalam persidangan ini.
Kata beliau, “Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN 2025, perlu memainkan peranan utama dalam menyelesaikan krisis di Myanmar dan penderitaan warga Rohingya. Perdana Menteri Malaysia menegaskan komitmen kerajaan dalam menangani isu ini dan memandang serius perkembangan yang berlaku.”
“Pelantikan bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN 2025 turut dilihat sebagai langkah positif. Dengan pengaruh Thailand terhadap kerajaan Myanmar, usaha diplomatik yang lebih berkesan dapat digerakkan bagi mencapai penyelesaian jangka panjang terhadap krisis ini.”
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Prof. Dato’ Dr. Mohamad Fauzan Nordin, Timbalan Rektor UIAM (Pembangunan Pelajar & Penglibatan). Beberapa tokoh terkemuka turut hadir sebagai penceramah utama, antaranya, Tan Sri Dr. Syed Hamid Albar, bekas Menteri Luar Negeri Malaysia, serta Nurul Islam, Pengerusi Arakan Rohingya National Alliance (ARNA).
Dalam sesi panel, pelbagai perspektif dibincangkan termasuk isu pendidikan, keselamatan, dan aspek kemanusiaan krisis Rohingya. Prof. Sk Tawfique M. Haque berkongsi pandangannya dari perspektif Bangladesh, manakala Datin Nur Azlina binti Abdul Aziz membincangkan isu pendidikan bagi pelarian Rohingya di Malaysia.
Dr. Ahmad El-Muhammady memberikan analisis mengenai peranan ASEAN dalam menangani krisis ini, sementara Nezamul Hasan dari ARNA menjelaskan cabaran utama yang dihadapi oleh komuniti Rohingya. Dari sudut kemanusiaan, Dr. Jufitri bin Joha, Pengerusi GPM, menekankan keperluan tindakan segera dalam membantu pelarian, manakala Prof. Dr. Salawati Mat Basir dari UKM mengupas isu ini dari aspek perundangan.
Persidangan ini dikendalikan oleh Dr. Md. Mahbubul Haque, seorang pakar hak asasi manusia bagi bukan warganegara, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan keselamatan. Acara ini turut mendapat sokongan daripada organisasi antarabangsa seperti RHM, HASENE, ABIM, dan JREC, serta bertujuan merangka langkah konkrit dalam menangani isu pelarian Rohingya. Persidangan ini diharapkan dapat menjadi platform penting dalam merancang penyelesaian jangka panjang bagi krisis yang berterusan ini.
KUALA LUMPUR, 16 September 2026 – Cabaran mendidik generasi masa kini di tengah-tengah kerencaman arus teknologi dan ledakan media sosial menuntut penggemblengan usaha berterusan antara agensi penguatkuasaan, pakar perundangan, institusi pendidikan, serta kepimpinan akar umbi. Menyedari peri pentingnya benteng pertahanan keluarga dibina secara kolektif, penganjuran Seminar Keibubapaan Era Digital telah berjaya dilangsungkan dengan penuh meriah […]
KUALA LUMPUR, 17 September 2026 – Memperingati pembentukan sebuah persekutuan berdaulat pada Hari Malaysia menuntut penghayatan patriotisme yang melangkaui kibaran bendera secara luaran, sebaliknya wajib diterjemahkan melalui tanggungjawab sosial, keadilan, dan pembelaan kebajikan rakyat terbanyak. Semangat inilah yang menyemarakkan penganjuran Usrah Gabungan Wadah, ABIM, dan Ppiwp (WAP) Wilayah Persekutuan yang berlangsung dengan penuh penghayatan di […]
JITRA, 14 September 2026 – Memahami peralihan paksi kuasa dunia serta mengantisipasi ancaman anasir luar terhadap fabrik perpaduan nasional menuntut daya fikir yang tajam, matang, dan berteraskan kefahaman strategik dalam kalangan aktivis masyarakat sivil dan gerakan Islam. Menyedari peri pentingnya wacana keilmuan ini, satu persidangan berprestij iaitu Seminar Antarabangsa Geopolitik dan Perubahan Global telah berjaya […]
SEREMBAN, 23 Ogos 2026 – Memperkukuh saf perjuangan gerakan Islam, menyelaraskan persefahaman fikrah merentas generasi, serta memperkasakan institusi kekeluargaan menjadi intipati teras dalam penganjuran Ijtimak Harakiy Wadah, ABIM, dan Pelajar (WAP) Negeri Sembilan serta Muktamar Negeri (MUKRI) 2026. Perhimpunan tahunan yang penuh bersemangat ini telah berlangsung dengan jayanya bertempat di Dewan Sri Seremban semalam. Program […]