KETEPATAN ISTILAH PENTING DALAM MENYATAKAN PENDIRIAN TERHADAP PENCEROBOHAN MASJID AL-AQSA
June 3rd, 2026
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
KENYATAAN MEDIA
6 JUN 2026 BANDAR BARU BANGI, MALAYSIA
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) menyambut baik pendirian tegas Kerajaan Malaysia melalui Kementerian Luar Negeri yang mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pencerobohan ke atas Masjid Al-Aqsa oleh kelompok Zionis Israel.
WADAH menghargai komitmen berterusan Malaysia dalam mempertahankan kesucian Masjid Al-Aqsa, mendukung hak rakyat Palestin serta menolak sebarang bentuk pencabulan terhadap tempat suci umat Islam di Baitulmaqdis. Pendirian ini juga selari dengan ketegasan YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini secara konsisten menyatakan bantahan keras Malaysia terhadap pencerobohan dan kezaliman Israel terhadap rakyat Palestin.
Namun demikian, WADAH ingin menegaskan bahawa ketepatan istilah dalam kenyataan rasmi kerajaan adalah amat penting, khususnya dalam isu yang melibatkan penjajahan, pencerobohan dan kezaliman berterusan ke atas rakyat Palestin.
Dalam konteks ini, istilah “peneroka” wajar dielakkan kerana ia boleh membawa maksud yang lebih neutral, lunak atau seolah-olah menggambarkan suatu bentuk penempatan yang sah. Realitinya, kelompok Zionis yang memasuki kawasan suci Masjid Al-Aqsa secara provokatif bukanlah peneroka, sebaliknya mereka ialah penceroboh haram Zionis.
Penggunaan istilah yang tepat bukan sekadar soal bahasa, tetapi mencerminkan pendirian moral, politik dan diplomatik sesebuah negara. Istilah yang longgar boleh mengaburkan hakikat bahawa Zionis Israel merupakan kuasa penjajah, manakala rakyat Palestin adalah mangsa penindasan yang berhak mempertahankan tanah air, maruah dan tempat suci mereka.
WADAH berpandangan bahawa setiap kenyataan rasmi kerajaan, khususnya yang dikeluarkan oleh kementerian, agensi dan jurucakap rasmi, perlu lebih cermat agar tidak secara tidak sengaja menormalisasikan naratif penjajah atau melembutkan tindakan pencerobohan yang jelas melanggar prinsip keadilan dan kemanusiaan.
Pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa, termasuk tindakan mengibarkan bendera Zionis Israel di kawasan suci tersebut, merupakan provokasi terang-terangan dan sebahagian daripada usaha sistematik untuk mengubah identiti sejarah, budaya dan agama Baitulmaqdis.
Sehubungan itu, WADAH menggesa Kerajaan Malaysia agar terus tampil dengan pendirian yang jelas, tegas dan berprinsip dalam isu Palestin, termasuk melalui penggunaan istilah yang benar-benar menggambarkan realiti penjajahan dan pencerobohan yang sedang berlaku.
WADAH turut menyeru masyarakat antarabangsa, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Pertubuhan Kerjasama Islam dan negara-negara umat Islam, agar segera mengambil tindakan konkrit bagi menghentikan pencabulan berulang terhadap Masjid Al-Aqsa serta memastikan rejim Zionis Israel dipertanggungjawabkan atas segala pelanggaran yang dilakukan.
WADAH kekal berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut kemerdekaan, keadilan dan pembebasan tanah air daripada penjajahan Zionis Israel.
“MENGANGKAT MARTABAT UMAT”
AZIZUDDIN AHMAD Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
BESTARI JAYA, 7 Oktober 2026 – Memugar khazanah pemikiran tokoh cendekiawan agung watan dan menterjemahkannya ke dalam kerangka pembinaan negara bangsa menjadi matlamat utama penganjuran Simposium Fikrah Siddiq Fadzil (SAF) 2026 yang melabuhkan tirainya dengan penuh jayanya di Dewan Senat, Universiti Selangor (UNISEL), Kampus Bestari Jaya hari ini. Simposium keilmuan berprestij anjuran Institut Pemikiran dan […]
BANGI, 6 Oktober 2026 – Memperkukuh literasi undang-undang, memelihara keluhuran perlembagaan, serta menyediakan respons berstruktur terhadap isu-isu keadilan sosial menjadi fokus utama penganjuran Bengkel Strategik Isu Perundangan di Malaysia anjuran Majlis Al-Mizan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Program intensif setengah hari ini telah berlangsung dengan jayanya bermula jam 8.45 pagi hingga 12.30 tengah hari. Inisiatif […]
PUTRAJAYA, 25 September 2026 — Pertemuan para pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam sedunia tidak seharusnya terhenti sekadar di meja rundingan, bergambar atau mengeluarkan deklarasi semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kefahaman dunia yang jernih serta tindakan bersama yang praktikal. Demikian ditegaskan oleh Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, ketika menyampaikan […]
PUTRAJAYA — Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melakar satu lagi detik bermakna di pentas antarabangsa apabila dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran Mesyuarat Majlis Ke-40 Kesatuan Pertubuhan Bukan Kerajaan Dunia Islam (Union of NGOs of the Islamic World – UNIW / İDSB) yang berlangsung di Putrajaya bermula 24 hingga 27 September 2026. Penganjuran persidangan berprestij […]