KERAJAAN PERLU SEGERA SEDIAKAN PELAN KOMPREHENSIF TANGANI KRISIS MINYAK
April 1st, 2026
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
KERAJAAN PERLU SEGERA SEDIAKAN PELAN KOMPREHENSIF TANGANI KRISIS MINYAK
Krisis minyak global yang berpunca daripada konflik bersenjata di Asia Barat sejak 28 Februari 2026 kini memasuki bulan kedua dengan kesan yang semakin nyata terhadap ekonomi dan kehidupan rakyat Malaysia. Kehilangan 11 juta tong bekalan minyak sehari pasaran global — melebihi dua krisis minyak tahun 1970-an digabungkan — telah menyebabkan harga minyak mentah Brent mencecah AS$115 setong, kenaikan bulanan terbesar dalam sejarah. Malaysia, sebagai pengimport bersih minyak dengan penggunaan domestik melebihi pengeluaran berada dalam kedudukan rentan yang memerlukan tindakan segera dan terancang.
Walaupun kerajaan telah mengambil langkah awal termasuk pelarasan kuota subsidi BUDI95 kepada 200 liter sebulan serta memperketatkan kawalan di sempadan bagi membendung penyeludupan bahan api, WADAH berpendapat bahawa langkah-langkah bersifat reaktif ini tidak mencukupi. Kementerian Ekonomi sendiri mengakui bahawa tempoh penstabilan konflik dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan hingga setahun, memandangkan kemudahan penapisan yang rosak memerlukan masa untuk pulih sepenuhnya. Negara jiran seperti Singapura, Indonesia dan Thailand telah pun mengeluarkan pelan awal keselamatan tenaga masing-masing. Malaysia tidak boleh terus hanya bergantung kepada nasib dan rundingan diplomatik yang bersifat sementara. Kesan jangka panjang krisis ini — daripada kenaikan kos pengangkutan, tekanan inflasi, sehinggalah kepada risiko kekurangan bekalan — pastinya akan terpalit kepada rakyat sekiranya tiada perancangan menyeluruh dilaksanakan dari sekarang.
Kerajaan harus segera mengutarakan:
Pertama: Segera membentangkan Pelan Tindakan Keselamatan Tenaga Nasional (National Energy Security Action Plan) yang komprehensif.
Pelan ini perlu merangkumi tiga fasa: fasa segera (0-3 bulan) meliputi pengurungan bekalan semasa, fasa sederhana (3-12 bulan) meliputi kepelbagaian sumber dan laluan bekalan alternatif serta fasa jangka panjang (melebihi setahun) meliputi transformasi struktur tenaga negara.
Kedua: Mewujudkan mekanisme pemantauan dan intervensi harga yang lebih responsif.
Kerajaan perlu menubuhkan pasukan tugas khas (special task force) yang melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Kementerian Ekonomi, Bank Negara, dan agensi penguat kuasa untuk memantau pergerakan harga secara harian dan bertindak segera terhadap sebarang percubaan manipulasi harga atau penimbunan barangan.
Ketiga: Memperkukuh penguatkuasaan anti-penyeludupan secara drastik.
Dengan nilai rampasan petrol dan diesel mencecah RM32.1 juta sejak 2024, jelas bahawa ketirisan subsidi adalah satu bentuk pengkhianatan kepada kepentingan negara. WADAH mendesak agar teknologi pengesanan moden diperkenalkan di semua pintu sempadan dan hukuman yang lebih berat dikenakan kepada mereka yang terlibat.
Keempat: Mempercepatkan peralihan tenaga dan pengurangan kebergantungan kepada minyak import.
Malaysia perlu segera mempelbagaikan sumber tenaga dengan mengembangkan tenaga hijau seperti solar dan hidrogen, selain mencari pembekal alternatif di luar Asia Barat bagi mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan pada masa hadapan.
Kelima: Mengadakan sesi libat urus nasional dengan semua pihak berkepentingan.
Kerajaan perlu memanggil wakil industri, pengusaha SME, pakar ekonomi, dan pertubuhan pengguna bagi mendapatkan maklum balas dan membangunkan penyelesaian secara kolektif. Seperti yang ditegaskan oleh Menteri Ekonomi, pihak kerajaan tidak boleh hanya bergantung kepada data rasmi tetapi perlu mendengar secara langsung pengalaman pemain industri untuk mengenal pasti gangguan rantaian bekalan lebih awal.
Krisis minyak global kali ini bukan sekadar ujian kepada ketahanan ekonomi negara, tetapi juga ujian kepada kemampuan kerajaan merancang dan bertindak secara strategik. Rakyat telah bersedia untuk menghadapi tekanan dengan sikap berhemat dan tidak terpengaruh dengan spekulasi. Namun, rakyat juga berhak mengetahui bahawa kerajaan mempunyai pelan yang jelas dan komprehensif untuk membawa negara keluar daripada krisis ini. Sudah tiba masanya Malaysia berhenti bersikap reaktif dan mula bertindak secara proaktif — bukan hanya untuk mengharungi krisis semasa, tetapi untuk membina daya tahan yang lebih kukuh bagi menghadapi cabaran-cabaran yang pasti akan datang pada masa hadapan.
WADAH berharap semua Kementerian terus mencari jalan yang wajar bagi membolehkan kakitangan boleh memaksimakan kerja secara efektif dalam membantu mengurangkan kos rakyat serta memastikan ekonomi kita dalam keadaan yang stabil dalam menghadapi sa’atul ‘usra (masa sukar).
“MENGANGKAT MARTABAT UMAT”
AZIZUDDIN AHMAD Setiausaha Agung Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
BANGI, 23 Mei 2026 – Dalam usaha memperkukuh jaringan strategik bersama pertubuhan belia serta menyuburkan budaya gaya hidup sihat, empat orang petugas daripada Sekretariat WADAH Pusat telah tampil menyahut cabaran dalam Pertandingan Bowling Komuniti AYG 2026. Pertandingan yang berlangsung meriah itu telah diadakan bertempat di Ampang Superbowl, Tingkat 3, Bangi Gateway, semalam. WADAH kali ini […]
Kajang, 22 Mei – Program Jamuan Kasih Pelajar al-Hikmah telah berlangsung di Kolej Dar Al-Hikmah, Kajang, menghimpunkan para pelajar dalam suasana penuh ukhuwah, kesyukuran dan kebersamaan. Program ini turut dihadiri oleh petugas Sekretariat WADAH Pusat, yang bersama-sama menyantuni para pelajar serta menzahirkan sokongan terhadap usaha membina ekosistem pendidikan yang berteraskan kasih sayang, adab dan kepedulian. […]
PUTRAJAYA, 22 Mei 2026 – Di sebalik kehangatan pergolakan geopolitik di Selat Hormuz yang sedang menghimpit ekonomi dunia, pasak pertahanan dan masa depan sesebuah negara kini tidak lagi sekadar bergantung kepada kekuatan ketenteraan, sebaliknya ditentukan oleh kedaulatan digital dan penguasaan teknologi. Menyedari hakikat ini, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Abdul Rahman, […]
KUALA LUMPUR, 20 Mei 2026 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima mengadap serta mengurniakan surat cara pelantikan kepada 22 Ahli Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi sesi 2026–2028. Istiadat rasmi yang penuh gilang-gemilang itu telah berlangsung di Dewan Seri Bendahara, Istana Negara pada 18 […]