WADAH SABAH ANJUR SEMINAR GEOPOLITIK DAN MUKRI KE-20 : GAGASAN ‘MANHAJ SABAHI’ DAN PENGUKUHAN ENAM KLUSTER INFRASTRUKTUR ILMU
August 28th, 2026
| Editor Wadah
Kongsikan artikel ini :
KOTA KINABALU, 28 Ogos 2026 – Dalam usaha membaca dinamika perubahan sosiopolitik serantau serta memperkemas pendekatan dakwah kontekstual di Negeri Bawah Bayu, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Negeri Sabah telah melakar sejarah tersendiri menerusi penganjuran bersiri Seminar Geopolitik dan Muktamar Negeri (MUKRI) WADAH Sabah Ke-20.
Inisiatif keilmuan dimulakan dengan penganjuran Seminar Geopolitik dan Masa Depan Ummah: Implikasi Kepada Masyarakat Islam di Sabah yang berlangsung di Kinabalu Hall, Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu. Seminar yang menghimpunkan seramai 220 orang peserta ini menampilkan pakar keselamatan dan geopolitik terkemuka, YBhg. Prof. Madya Dr. Ahmad El-Muhammady bin Muhammad Uthman El-Muhammady sebagai penyampai ucap utama. Sesi tersebut memberi fokus kepada pembacaan impak ketidaktentuan geopolitik global, keselamatan serantau, serta kedudukan strategik masyarakat Islam di Sabah dan Malaysia dalam mendepani era pascanormal (post-normal times).
Kemuncak agenda diteruskan menerusi persidangan Muktamar Negeri (MUKRI) WADAH Sabah Ke-20 yang diadakan di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Teluk Likas, Jalan Sulaman, Kota Kinabalu. Persidangan ini dihadiri kira-kira 100 orang perwakilan dan aktivis gabungan WADAH Sabah, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sabah, dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sabah, serta diserikan dengan kehadiran Presiden WADAH Pusat, YBhg. Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman.
Manhaj Sabahi: Pendekatan Dakwah Berakar Realiti Watan
Menerusi Kertas Ucapan Pengerusi (KUP) bertajuk “Memperkukuh Saf Perjuangan, Wasatiyah dan Manhaj Sabahi dalam Menghadapi Cabaran Zaman”, Pengerusi WADAH Negeri Sabah, Sdr. Abdul Manap Mahmud menegaskan bahawa gerakan Islam tidak boleh lagi sekadar bergantung kepada budaya program atau bertindak secara reaktif.
Sebaliknya, beliau melontarkan gagasan strategik Manhaj Sabahi—iaitu pendekatan dakwah kontekstual yang menghubungkan prinsip Islam yang thabit dengan realiti kemajmukan etnik, agama, geografi, dan sejarah Sabah dalam kerangka Malaysia. Gagasan ini digerakkan melalui kitaran dinamik: mengenali realiti, menjalankan penyelidikan, turun ke lapangan, melaksanakan tindakan, membuat penilaian, dan melakukan penambahbaikan secara berterusan.
Dalam konteks pembentukan jati diri, KUP tersebut menggariskan pembinaan tiga lapisan kesedaran iaitu Sabah Consciousness, Malaysian Consciousness, dan Global Consciousness. Berhubung isu hak negeri seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), WADAH Sabah menegaskan bahawa advokasi hak sewajarnya berpasak kepada fakta sejarah, lunas perlembagaan, dan keadilan dengan memegang prinsip “memperjuangkan hak tanpa membina permusuhan”.
Pelancaran Enam Kluster Infrastruktur Ilmu WADAH Sabah
Bagi memastikan transformasi WADAH Sabah menjadi gerakan berasaskan ilmu (knowledge-driven movement), MUKRI Ke-20 menggariskan pembangunan ekosistem penyelidikan dan kaderisasi menerusi enam kluster infrastruktur ilmu:
Unit Kajian Kerja Sosial: Membina keupayaan aktivis dalam advokasi, pemetaan sosial, pengurusan kes, dan intervensi berstruktur bagi menyantuni kelompok rentan.
Unit Kepustakaan Siddiq Fadzil: Bertindak sebagai pusat sumber intelektual yang mendokumentasi dan mengembangkan wacana pemikiran Islam wasatiyyah, pembinaan bangsa, dan masyarakat madani.
Unit Madrasah Qaradhawi: Wadah pengajian fiqh keutamaan (fiqh al-awlawiyyat), fiqh realiti (fiqh al-waqi’), dan maqasid syariah dalam melatih aktivis berfikir secara responsif.
Akademi Sejarah dan Kajian Masa Depan (ASAS): Platform membina kesedaran sejarah Borneo-Malaysia serta kemahiran foresight (kajian masa depan) bagi mengantisipasi senario mendatang.
Akademi Pembangunan Mampan (AKMAS): Menterjemahkan matlamat SDG 2030, kelestarian alam sekitar, dan pembangunan komuniti berasaskan data (evidence-based development).
Unit Mutiara HAMKA: Mengkaji integrasi dakwah, akhlak, sastera, dan kearifan budaya Nusantara dalam membina jiwa masyarakat.
Muktamar turut mendengar ucapan daripada Pengerusi Majlis Syura WAP Sabah, Sdr. Muddin Beting, serta pembentangan laporan agensi institusi kebajikan dan pendidikan rangkaian WADAH seperti RPH Ranau, Home Tuaran, Pusat Tunas Nahdah, SRI Dar Al Hufaz, SIFN, IFG Sabah, SALWA Rumah Harmoni, TASKI, SAR Nabawan, dan Madrasah Al-Istiqomah.
MUKRI Ke-20 melabuhkan tirainya dengan amanat penangguhan oleh Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman yang menyeru seluruh jentera gerakan di Sabah agar memelihara ukhuwah, memperkukuh budaya ilmu, dan bersiap siaga menghadapi cabaran literasi maklumat menjelang PRU16 dengan penuh integriti dan wasatiyyah.
KUALA LUMPUR, 31 Oktober – Bengkel Keibubapaan Era Digital telah diadakan di Masjid Salahuddin Al-Ayubi, Taman Melati, bagi meningkatkan kesedaran ibu bapa terhadap cabaran mendidik anak-anak dalam persekitaran teknologi yang semakin berkembang. Program ini memberi tumpuan kepada perkembangan psikologi generasi digital, strategi pencegahan dan kawalan penggunaan gajet serta pembinaan ketahanan keluarga dalam menghadapi dunia tanpa […]
BANGI, 31 Oktober 2026 – Memperkukuh jaringan ukhuwah Islamiah merentas sempadan serantau serta meneroka ruang sinergi dalam pemerkasaan institusi pendidikan Islam menjadi matlamat utama penganjuran Program Kunjung Hormat Delegasi NGO dan Institusi Pendidikan Indonesia ke Ibu Pejabat Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Bangi hari ini. Pertemuan muhibah peringkat serantau ini menghimpunkan barisan kepimpinan utama […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Hubungan antara institusi diraja dengan rakyat serta kepentingan memelihara adat dan Perlembagaan dalam sistem kenegaraan Malaysia menjadi tumpuan sesi ketiga Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan tersebut mengangkat hubungan timbal balik antara […]
22 Oktober 2026 | Editor WADAH BANGI, 21 Oktober – Kepentingan mengurus perbezaan pandangan secara berhemah serta cabaran penyebaran fitnah dan kebencian melalui media sosial menjadi fokus sesi kedua Dialog Ummah 2.0 bertajuk “Islam dan Adab Mengurus Perbezaan Pendapat” yang berlangsung di Bangi Resort Hotel, Bandar Baru Bangi. Perbincangan ini meneliti pendekatan Islam dalam menangani […]