Urus keharmonian bertunjang Islam kelebihan Malaysia pimpin ASEAN
Ajaran Islam itu sendiri sesuai untuk setiap manusia dan tidak terbatas dengan masa tertentu. Aspek ‘alamiyyah merangkumi tiga bidang utama iaitu syariah, akhlak dan akidah.
Semua manusia tanpa mengira bahasa, warna kulit dan bangsa mempunyai kedudukan sama di sisi Allah SWT. Tidak ada bangsa lebih mulia daripada bangsa lain hanya kerana faktor sesuatu bangsa, warna kulit atau bahasa semata-mata.
Dalam erti kata lain manifestasi kesejagatan dalam Islam merangkumi makhluk lain seperti firman Allah SWT bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad) ‘Wahai sekalian manusia. Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu. (Di utus oleh Allah) yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (berhak disembah) melainkan Dia; Yang Menghidupkan dan Mematikan. Oleh itu, beriman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, Nabi yang Ummi beriman kepada Allah dan Kalimah-Nya (KitabNya) dan ikutilah dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”. (Surah al-A’raf, ayat 158)
Dalam konteks sebuah negara moden dan memahami aspek pemeliharaan hubungan kaum, Islam memelihara dan menghormati kepelbagaian kerana ia adalah lumrah.
Kepelbagaian bukan faktor perpecahan dan permusuhan kerana Allah SWT menggariskan peri pentingnya memelihara hubungan serta saling mengenal antara satu sama lain.
Hormat menghormati adalah formula penting dalam memelihara perbezaan. Jangan sesekali membangkitkan sebarang pertelingkahan sesama manusia kerana jika perlu sekali pun harus menggunakan saluran betul demi mencari jalan penyelesaian.
Tidak ada kata lain lebih mulia daripada hidup secara terhormat, kasih mengasihi dan saling memahami antara satu sama lain. Betapa hidup ini mampu dijaga dan dipelihara apabila setiap bangsa dan agama ini saling mencari titik persamaan serta menghormati perbezaan.
Sebagai sebuah negara pelbagai agama dan budaya seperti di Malaysia, mengikut Perlembagaan Islam adalah agama Persekutuan, maka tidak menjadi satu halangan untuk mengetengahkan idea hidup bersama secara aman.
Masyarakat Islam di Malaysia masih mempunyai potensi menjadi contoh kepada masyarakat bukan Islam dalam memimpin kehidupan lebih harmoni selaras dengan prinsip Islam.
Perbincangan ‘Fiqh Ta’ayush’ di Malaysia menampakkan satu potensi cukup besar. Istilah melabelkan kafir kepada masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi keperluan dalam konteks negara bangsa di Malaysia.
Masyarakat dalam negara termasuk Muslim dan bukan Muslim harus memahami tanggungjawab sebagai warganegara dan berkongsi nilai kehidupan rakyat Malaysia. Mahu tidak mahu sebagai negara pelbagai bangsa dan etnik, rakyat harus sama-sama menghargai satu sama lain.
Rakyat Malaysia tidak harus ada alasan untuk saling mengenepikan hak dan tanggungjawab pelbagai etnik untuk sama-sama membangunkan negara ke arah lebih baik.
Konsep muhibah menjadi teras menyatukan pelbagai bangsa di Malaysia sangat penting untuk diamalkan supaya menjadi teras dan kayu ukur kepada pembangunan negara lebih baik.
Pelaksanaan konsep ‘Taayush’ dalam konteks pembinaan kemasyarakatan murni harus dilihat melalui kaca mata Islam sebenar. Islam bukan agama membangkitkan kebencian dalam kalangan penganutnya dan orang di luar agamanya.
Sudah tentu realiti masyarakat di Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan etnik memungkinkan berlaku pelbagai perselisihan serta kekeliruan, namun ia harus ditangani dengan bijak dan sebaiknya.
Kebencian hanya merugikan
Kebencian dalam kalangan masyarakat pelbagai agama dan bangsa di Malaysia amat merugikan. Apa yang lebih penting adalah dialog dan perhubungan bersama, mencari jalan penyelesaian baik demi menubuhkan kejayaan bersama di bawah bumbung Malaysia.
Sikap sesetengah kelompok memperjuangkan hak bangsa masing-masing secara keterlaluan boleh membangkitkan kecurigaan melampau, bakal mengundang kepada perpecahan.
Menjadi satu keperluan dan kepentingan pengalaman Malaysia sebagai negara majmuk untuk dikongsi dengan jiran ASEAN bagaimana keperluan memurnikan kehidupan penuh dengan ragam dan kepelbagaian.
Sememangnya tidak dinafikan apabila wujud sikap berasingan dan tiada tolak ansur, ia akhirnya menumbuhkan benih pertelingkahan kepada warganegara, akhirnya boleh menyebabkan pertumpahan darah.
Akibat kejumudan dan kedegilan sesetengah pemimpin negara jiran yang bersikap individualistik menyebabkan wujud sikap diktator dalam mengurus kepelbagaian rakyat dalam negara.
Berdasarkan tindakan dan keperluan memastikan rantau ini aman dan damai, kebijakan politik negara bakal menjadikan ASEAN sebagai rantau aman dan tenteram, ini bakal mengundang peluang ekonomi dan pelaburan lebih baik.
Dasar ekonomi terbuka dan santun memerlukan sikap serta pemimpin negara berpandangan luas dan ke hadapan. ASEAN terkenal dengan kepelbagaian majoriti dan minoriti bangsa dalam negara.
Formula kesantunan, etika dan akhlak baik diperlukan dalam memastikan rantau ini terus dihormati. Di sinilah Malaysia boleh menggunakan platform ASEAN untuk berkongsi formula terbaik.
Sebagai negara Islam, Malaysia berpegang kepada semangat kebersamaan dan hidup secara tolak ansur demi keharmonian rakyat dan negara. Rakyat majoriti dipelihara namun rakyat minoriti tidak dipinggirkan.
Kehidupan dalam negara tidak boleh menjadi faktor berlaku ketidakadilan, malah sikap jujur dan beretika sangat penting dalam mewujudkan negara aman dan dapat memastikan ekonomi serta kehidupan terbaik.
Apatah lagi 2025 adalah tahun Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dengan ketokohan dan pengalaman beliau, Malaysia mempunyai keupayaan meneruskan legasi membawa misi keharmonian dan kesejahteraan global menggunakan Pendekatan ASEAN.
Malaysia mampu menjadi contoh bagaimana formula kesejahteraan, mengemudi negara dengan harmoni, rakyat hidup dalam kepelbagaian dalam bingkai kesatuan sebagai formula penting memastikan keharmonian masyarakat serantau dapat dipelihara.
Penulis ialah Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
WADAH Anjur Diskusi Meja Bulat: RUU PSB & Isu Sosial PPR Sebagai Usaha Membina Bandar Baharu, Menyatukan Masyarakat Bandar Baru Bangi, 26 Mei 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah menganjurkan satu Diskusi Meja Bulat bertemakan “RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB) & Isu Sosial PPR: Membina Bandar Baharu, Menyatukan Masyarakat” yang berlangsung di Bangi […]
Dakwah Pemangkin Malaysia MADANI: Buku Terbaharu Timbalan Presiden WADAH Dilancarkan di PBAKL 2025 KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 — “Dakwah bukan sekadar tanggungjawab agama, tetapi satu misi pembinaan masyarakat yang berilmu, berakhlak dan penyayang,” demikian antara inti pati ucapan penuh semangat oleh Ustaz Hasri Harun, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) sempena pelancaran bukunya […]
Semangat Jihad Membangunkan Generasi Al-Fatih: Slot Ketiga dan Ucapan Perasmian Penutup Presiden WADAH Menyuntik Jiwa Kebangkitan Ummah Ipoh, 29 Mei 2025 – Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Hj. Ahmad Azam Ab Rahman, telah menyampaikan pembentangan ketiga dan ucapan perasmian penutup di penghujung Seminar Nahdah Ummah: Legasi Fatih yang berlangsung di Masjid Muhammad Al-Fatih, […]
Program “Bicara Dari Hati” OKU Penglihatan dan Serahan Sumbangan Kepada Warga PPR KUALA LUMPUR, 24 Mei 2025 — Dalam kesibukan rutin harian penghuni Perumahan Awam Seri Kota, satu program penuh inspirasi dan menyentuh perasaan telah berjaya menyatukan komuniti setempat, bukan melalui kehadiran selebriti popular atau pidato hebat, tetapi melalui kisah kehidupan tiga anak muda luar […]