TEKS PENUH AMANAT PIMPINAN MUKNAS 18

Kongsikan artikel ini :

MISI UMMATIK: KERANGKA BUDAYA DAMAI DALAM MENGHADAPI PERUBAHAN GEO-POLITIK DUNIA

Pengerusi Majlis Syura Kebangsaan,
Ketua Majlis Istisyari Wadah,
Para Qiyadah WADAH, ABIM dan PKPIM,
Para Muktamirin dan Muktamirat sekalian.

Assalamu ‘Alaykum wa Rahmatullahi wa Barakatuh,

Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, kita lafazkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah c atas segala nikmat dan rahmat-Nya, atas limpahan kurnia-Nya, yang mengikat hati-hati ini dalam suatu ikatan ukhuwwah dalam sebuah gerakan memperjuangkan nahdah dan melanjutkan dakwah demi kebenaran dan keadilan.

Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar kita Rasulullah g, pembawa cahaya dan petunjuk kebenaran pedoman hidup buat seluruh manusia sarwa alam.

Dengan rasa syukur yang amat mendalam, dan atas semangat ukhuwwah Islamiyyah dari lubuk hati yang tulus ikhlas, saya mengalu- alukan kehadiran para tetamu jemputan dan para muktamirin ke Muktamar Nasional Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) yang ke-18 dengan ucapan Selamat Datang, Ahlan wa Sahlan wa Marhaban.

Mari kita mulakan perbahasan Amanat Pimpinan pada kali ini dengan menghayati firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 214:

Maksudnya: Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.

(Surah al Baqarah 2: 214)

1.0 WADAH BERSAMA PERJUANGAN RAKYAT PALESTIN

Sesungguhnya firman Allah ini memberi petunjuk kepada kita umat Islam untuk sentiasa berasa yakin dengan pertolongan Allah. Umat Islam diseru oleh al-Quran agar mengambil iktibar akan keyakinan dan ketabahan yang dilalui umat-umat terdahulu dalam berdepan dengan pelbagai cabaran dan ujian dalam landasan perjuangan menegakkan kalimah Tawhid dan menyebarkan risalah kebenaran di muka bumi. Kita mesti meyakini sesungguhnya rahmat dan inayah Allah sentiasa bersama umat yang yakin dan sabar.

Pedoman al-Quran ini amat relevan dihayati oleh kita semua selaku para pejuang di medan dakwah Islamiyyah yang kini sedang berdepan dengan cabaran zaman yang sungguh mencabar. Permasalahan penjajahan di Palestin dan peperangan di Gaza yang masih berlanjutan benar-benar menguji keimanan dan kesabaran umat Islam. Sesungguhnya, serangan brutal Israel yang tidak berperikemanusiaan ke atas Gaza pada masa ini menunjukkan perlakuan genosida membersihkan Palestin secara etnik.

Fakta ini diakui oleh Profesor Sains Politik Universiti Chicago, Prof. John Mearsheimer yang menegaskan bahawa objektif utama Israel dari awal lagi adalah untuk melakukan pembersihan etnik di Gaza. Netanyahu dan konconya percaya bahawa satu-satunya cara untuk menghapuskan penentangan pejuang Palestin adalah dengan pembunuhan beramai-ramai dan menghalau penduduk Palestin keluar dari Gaza. Mereka tahu kebangkitan Palestin tidak pernah musnah sepenuhnya walaupun dikalahkan secara ketenteraan.

Israel tidak berhasrat untuk mempertimbangkan penyelesaian dua negara kerana ia berpuas hati dan yakin bahawa ia boleh terus menjadi penjajah dan mengamalkan dasar aparteid kerana percaya tiada siapa yang boleh menamatkannya. Itulah segolongan manusia jahat, para mufsidun yang haloba mahu menguasai seluruh dunia dan akan menggunakan segala kekuatan dan tipu daya bagi mengekalkan hegemoni kuasa menyebar kerosakan di muka bumi dengan alasan ia hanyalah kebaikan buat kemanusiaan.

Maksudnya: Ingatlah, sesungguhnya mereka itulah orang- orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar.

(Surah al Baqarah 2: 12)

Firman Allah ini menjelaskan kepada kita sifat bermuka- muka golongan mufsidun di mana ketika Allah melarang mereka berbuat kerosakan, mereka malah mendakwa merekalah yang melakukan perbaikan, sehingga firman Allah menempelak mereka dengan mendedahkan mereka dengan sifat asli mereka, iaitu suka berbuat kerosakan.

WADAH sebagai gerakan dakwah akan terus bersama perjuangan rakyat Palestin menuntut kemerdekaan negara Palestin. Kita mendukung pendirian tegas kerajaan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin menuntut pembebasan dan mengkritik sikap hipokrasi sesetengah kuasa besar terhadap isu Palestin. WADAH akan bersama- sama dengan agensi-agensi, rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa membantu bagi meringankan beban dan kesengsaraan rakyat Palestin menerusi misi-misi kemanusiaan yang diselaraskan oleh pihak kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan sosial Islam nasional dan antarabangsa.

1.2    KEPENGERUSIAN ASEAN 2025 DAN ASPIRASI KEAMANAN SERANTAU

Malaysia kini telah diamanahkan pada 11 Oktober 2024 untuk mempengerusikan ASEAN bagi sesi tahun 2025 sepertimana yang pernah dilakukan pada tahun 2015. Tema yang diangkat oleh YAB Perdana Menteri ialah keterangkuman (inclusivity) dan kemampanan (sustainability) sebagai asas kerangka Kepengerusian ASEAN selama setahun yang akan datang ini.

Bagi kita, keterangkuman mengiktiraf (acknowledging) apa yang disifatkan sebagai tanawwu’ (keberagaman) yang sememangnya diperakui al-Qur’an. Kita telah membincangkan secara panjang lebar tentang tanawwu’ (keberagaman) dan ta’addudiyyah (kepelbagaian) lewat muktamar WADAH ini di awal-awal penubuhannya. Bagi kita kemajmukan bukanlah perpecahan atau perbenturan. Ia boleh diserasikan secara harmoni di atas pertimbangan penegakan moral dan etika.

Kemampanan sesebuah penyelesaian lazimnya merujuk khusus kepada perkara-perkara dasar yang bersifat jangka panjang (long- term solutions), bukannya sekadar menangani simptom-simptom yang sifatnya sentiasa berubah dari semasa ke semasa. Penyelesaian jangka panjang memberi tumpuan kepada isu-isu dan punca-punca (root cause) permasalahan. Pakej penyelesaiannya mungkin bersifat kompromi untuk memenuhi hati semua pihak yang terlibat dalam rundingan. The winners do not take all, and the losers do not lose everything. Ini penting dalam menerajui Kepengerusian ASEAN yang padat dengan segala macam kerumitan dan kerencamannya. Untuk itu, kita mendoakan agar YAB Perdana Menteri dapat melaksanakan amanat dan tanggungjawab ini dengan jayanya bukan sahaja demi kesejahteraan Malaysia, malah kemakmuran serantau.

Tragedi dan peperangan yang terjadi di Timur Tengah dan di beberapa rantau dunia hari ini menginsafkan kita betapa nikmat keamanan mesti disyukuri dan dipertahankan. Sebagai umat teramai di Asia Tenggara, kita mesti membimbing dan memandu umat Asia Tenggara menghargai keamanan serantau. Dalam masa yang sama, kita mesti mendidik umat Asia Tenggara agar menolak sebarang unsur dan elemen yang boleh memupuk perseteruan dan perpecahan sehingga menggugat kerukunan hidup damai komuniti Asia Tenggara.

Selaku pergerakan dakwah Islamiyyah di negara ini, WADAH meletakkan persoalan keamanan serantau sebagai agenda terpenting perjuangan dakwah masa kini. Sehubungan itu, program seminar bersempena Muktamar Nasional pada kali ini mengangkat tema “Fiqh Ta’ayush: Hidup Damai dalam Komuniti ASEAN”. Kita berharap, seminar ini akan mengemukakan pandangan dan rumusan terbaik kepada kita langkah-langkah selanjutnya yang mesti kita lakukan bersama ke arah mempertahankan kerukunan hidup yang damai di kalangan umat serantau seterusnya mengukuhkan teraskan keamanan berkekalan di rantau tercinta ini.

1.2.1  Fiqh Ta’ayush Asas Keamanan Serantau

Semangat serta pelaksanaan misi Fiqh Ta’ayush – membina rukun damai dalam masyarakat yang majmuk terzahir jelas dalam sirah Rasulullah. Sesunguhnya fasa hijrah Rasulullah dan Muhajirin ke Madinah merupakan fasa transformasi umat yang luar biasa. Rasulullah telah menggubal sahifah Madinah – dustur – piagam Madinah bagi mentadbir kehidupan orang Islam dan menjelaskan hubungan dengan penduduk non-Muslim umumnya dan orang Yahudi khasnya. Ini diterima oleh semua pihak sebelum tertegak negara Islam. Piagam terulung ini menjadi perlembagaan yang memelihara dan menjamin keselamatan, kesejahteraan, kebebasan dan hak semua penduduk Madinah. Piagam ini menyatukan masyarakat majmuk umat Islam, orang Yahudi dan kabilah-kabilah Arab dalam suatu perjanjian damai dan persefahaman keselamatan. Sahifah Madinah dilatari fenomena pluralistik – kepelbagaian kabilah, suku dan agama. Semangat yang mendasarinya adalah untuk membina kesatuan tanpa menghapuskan perbezaan.

Agenda besar membina kesatuan dilaksanakan dalam dua tahap penting. Tahap pertama, membentuk kesatuan keagamaan yang menggabungkan seluruh kabilah dan suku yang beragama Islam. Kesatuan inilah yang disebut ummah diniyyah (umat keagamaan) yang eksklusif. Tahap kedua, membentuk kesatuan politik yang meliputi kaum Muslimin dan bukan Muslimin. Kesatuan politik inilah yang disebut ummah siyasiyyah yang sifatnya lebih inklusif, kesatuan yang disemangati kesediaan qabul al-akhar (menerima orang lain) untuk hidup bersama secara damai dan harmonis. Yahudi yang diiktiraf sebagai ummah diniyyah tersendiri, bergabung dengan umat Muslimin membentuk kesatuan ummah siyasiyyah negara Madinah.

Piagam Madinah memastikan seluruh warga Madinah mendapat jaminan hak mengekalkan agama dan budaya masing-masing, tetapi menyatu dalam sejumlah kesepakatan, termasuk kesetiaan kepada pimpinan Rasulullah, dan tanggungjawab bersama mempertahankan negara (Madinah). Demikianlah terbentuknya suatu ummah yang menepati formula dasar “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”. Lahum ma lana wa `alayhim wa `alayhim ma

`alayna- “mereka berhak tentang apa yang mereka dapat dan mereka menanggung apa yang kita tanggung”.

Piagam Madinah ialah jelmaan prinsip kesatuan, kesamaan dan kemuliaan insaniah yang mengakar kukuh dalam ajaran Islam. Rasulullah menegakkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat – keadilan dan persaudaraan insani (al-ukhuwwah al-insaniah) yang merentas perbezaan ras, agama dan budaya. Piagam Madinah menginstitusikan keadilan Ilahi yang rahmatan li al-`alamin.

Di bawah kepimpinan dan bimbingan Rasulullah, persaudaraan dan bergerak secara amal jama’iy berjaya mengatasi bibit-bibit perbedaan dan ikhtilaf walau adakalanya sengit. Negara, masyarakat atau organisasi akan selalu bergoncang, berpecah-belah apabila tumbuh penyakit “Hubbu Ri’asah” di mana semua orang hendak menjadi pemimpin.

Pemimpin Islam mesti tahu diri masing-masing, sedar diri masing-masing, agar tahu menempatkan diri, bijak di mana hendak memposisikan diri. Menurut ilmu pengurusan, individu diibaratkan anak panah yang tidak tahu ke mana akan dilepaskan menuju sasarannya. Budaya yang diterapkan komuniti atau organisasi yang bijak akan memastikan panah apabila dilepaskan secara terarah dan ke mana arahnya bukan menembak sesama sendiri. Itulah kesatuan hati, kesatuan fikrah dan kesatuan amal. Itulah cara bagi membebaskan umat yang masih terperangkap dalam penyakit kejahilan terancang, kemiskinan terancang dan perpecahan terancang.

Sirah menunjukkan bahawa pemimpin Islam mesti mengamalkan orientasi yang mengutamakan kepentingan ramai dan matlamat perjuangan. Itulah pengorbanan. Mengatasi perbedaan juga berkaitan masalah hati dan pendekatan hati menuntut kita berbicara dari hati ke hati. Rasulullah telah menunjukkan bahawa musyawarah proses mencari pilihan yang paling baik. Ia bukan sahaja menekankan kepintaran berhujah semata-mata tetapi juga ruang kesediaan untuk mendengar.

Rasulullah juga telah mengajar kita bahawa hatilah yang membangkitkan, memutuskan, menghidupkan, memugarkan, yang menghasilkan tindakan dan membawa kemenangan. Allah jua yang menentukan hati manusia, Allah yang membolak-balikkan hati, Allah boleh mengubah hati dalam sekelip mata. Maka jagalah hati kita, dekatkan hati kita kepada Allah. Jangan berputus asa, jangan merajuk, jangan goyah dalam mengikuti dan menekuni perjuangan di jalan Allah.

Rasulullah mengajar kita agar memohon pertolongan dan keredhaan Allah, dalam menghadapi segala rintangan dan hanya kepada Allah c kita bertawakkal. Pada Perang Badar, ribuan malaikat turun untuk membantu umat Islam yang cukup kecil jumlahnya, namun mencapai kemenangan besar. Pada zaman Nabi Muhammad g, tentera Rom Byzantine melarikan diri dari Tabuk kerana takut kepada umat Islam. Hati mereka tenggelam dengan perasaan gerun.

Para pejuang Afghanistan mempunyai kekentalan azam, daya tahan dan berhati teguh. Mereka masih memilikinya. Walaupun hakikatnya pejuang Afghan tidak mempunyai senjata canggih atau berteknologi tinggi. Rakyat Afghan tabah dan berjuang menentang penjajahan asing Barat dengan cekal dan sabar. Mereka telah berlawan dengan gigih, gagah beristiqamah sepanjang 20 tahun penaklukan Barat yang panjang. Rakyat Afghan mengalami pelbagai malapetaka jenis pengeboman besar-besaran yang dahsyat, jumlah serangan dron pembunuh tidak terhitung banyaknya, operasi ketenteraan yang membawa maut dan parah, pemusnahan, penghinaan, penaklukan, pengepungan dan sekatan.

Tetapi Allah mencampakkan ketakutan, rasa putus asa, kekecewaan dan kekeliruan ke dalam hati-hati para pemimpin AS dan NATO serta bala tentera mereka yang cukup hebat. Tentera AS dan NATO melarikan diri pada tengah malam dari Kandahar dan bercempera lari meninggalkan Kabul secara semberono, melarikan diri dengan tergesa-gesa dan terdesak tanpa sebarang tindakan pengunduran terancang.

Di Palestin, walaupun sengsara dan kehilangan ribuan nyawa, Gaza tetap berdiri teguh dan masih tegak berjuang dan menentang Israel dengan kehendak Allah. Di manakah ummah? Kecuali banyak beralasan dengan adegan pengecut, pengkhianatan dan kepura-puraan oleh kebanyakan pemimpinnya. Umat lumpuh. Tidak bertindak.

Sebaliknya, Allah telah menggerakkan hati-hati orang Barat terutamanya golongan muda untuk memberontak, memprotes, mencabar Zionisme dan mencabar naratif pro-Israel yang biasanya mendominasi sebelum ini. Di jalan raya dan kampus-kampus seluruh dunia bergegar dengan laungan “Free Palestine”. Rakyat Barat di seluruh dunia tekad bangkit menentang pembunuhan beramai-ramai dan tataurus dunia kapitalis yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Mengambil iktibar dan suri teladan Rasulullah, maka kita mesti bangkit semula, menghidupkan hati, memburu keredhaan Allah, beriltizam dengan usaha dan juang. Kita mesti bekerjasama, beramal jama’iy, bekerja lebih keras menuju nahdah kebangkitan ummah, memulihkan dan menyucikan hati, serta memohon keampunan daripada Allah.

Aspirasi keamanan serantau adalah misi penting gerakan dakwah masa kini. WADAH akan memberikan sumbangan terbaik dari aspek pemikiran dan gerak kerja amal Islami ke arah merealisasikan misi besar dakwah ini. Ini kerana, tanpa keamanan serantau yang dihirup bersama, hasrat serta agenda bagi memacu Nahdah Umat – kebangkitan Islam menyeluruh dalam konteks nasional akan menemui kegagalan. Di dunia baru yang serba kebergantungan hari ini, hubungan dan kerjasama mencapai keamanan bersama serantau adalah asas bagi memastikan kesejahteraan umat di peringkat tempatan dan lapangan dapat dipacu dan dijelmakan.

Inilah yang dimaksudkan dengan Misi Ummatik; Misi Kerasulan berintikan kerahmatan, ukhuwah dan kesatuan.

2.0  HAMBATAN MEMACU KEBANGKITAN ISLAM DI ERA MADANI

Sementara WADAH terus komited dan akan gigih merealisasikan agenda dakwah serantau, kita juga akan berusaha memastikan agenda memacu Nahdah Umat, iaitu agenda memperkasa kebangkitan Islam nasional akan sentiasa mekar di bumi Malaysia tercinta.

Sesungguhnya sejarah telah menyaksikan era 1970-an adalah sebuah rakaman sumbangan dan penglibatan dakwah kita dalam menjayakan kebangkitan Islam di negara ini. Cabaran mengetengahkan Islam is the way of life bukan sekadar slogan dan tema sebuah kerajaan tetapi dilaksana sebagai sebuah agenda ummah. Sejak awal itulah, gerakan Islam yang kita pelopori telah menempuh cabaran lebih 24 tahun menggalas amanah membangunkan negara.

Agenda Madani yang hari ini menjadi siulan dan tatapan negara bukanlah satu tema baru yang diketengah tetapi telah menjadi agenda rakyat bawah pimpinan Saudara Anwar Ibrahim. Agenda Islamisasi Ilmu, proses mengangkat martabat umat dalam negara menjadi teras kepada Madani yang kita kecapi pada hari ini. Oleh sebab itu, janganlah kita naif dalam mengatakan bahawa agenda Malaysia Madani ini adalah agenda politik semata-mata. Ia adalah satu gagasan negara yang lahir daripada jiwa dan semangat untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang lebih baik dan hebat di mata dunia. Tanpa menafikan cabaran membangunkan Malaysia Madani bukanlah mudah namun kita tiada pilihan melainkan menggerakkan dan membantu menjayakan agenda ini bersungguh-sungguh.

Namun, di tengah pencapaian dan ruang terbaik yang diperoleh gerakan kita, umat Islam di Malaysia masih lagi berhadapan dengan beberapa hambatan dan cabaran dakwah yang mesti ditangani dengan gigih dan penuh hikmah. Ini kerana, sekiranya kita gagal mengatasi hambatan dakwah ini, ia boleh menggugat pencapaian yang telah kita nikmati dalam konteks keluasan ruang menerusi misi kenegaraan Madani yang wujud bagi tujuan memperkasakan Ummah seterusnya memacu cita-cita pembinaan Khayra ummah yang merupakan cita-cita unggul gerakan dakwah kita.

2.1    Tangani Pemikiran Ekstrem (Ghuluw) Demi Kemaslahatan Negara

Gerakan kita berasa sedih dan kecewa kerana pemikiran ekstrem (ghuluw) masih berleluasa di negara kita dan telah membentuk satu arus yang membimbangkan. Ekstremisme atau radikalisme secara umumnya bermaksud sebuah fahaman atau ideologi yang membawa kepada perlakuan ekstrem, radikal, melampau atau ganas, al-tatarruf. Dalam konteks sejarah umat Islam, ekstremisme berlaku dalam dua bentuk, iaitu ekstremisme dari sudut perbuatan (al-ifrat) dan ekstremisme dari sudut pemikiran (al-tafrit). Kedua-dua bentuk ekstrem ini tidak sesuai dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sikap beginilah yang sering dikategorikan dalam Islam sebagai ghuluw, ekstrem dan tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya dengan adil. Islam dengan amat jelas menolak sikap ghuluw ini kerana ia amat merugikan umat dan negara. Sabda Rasulullah, maksudnya:

“Awasilah kamu dalam melampau dalam beragama, kerana binasanya orang-orang sebelum kamu adalah disebabkan sikap ghuluw mereka dalam beragama.”

(Riwayat Ibn Hibban)

Oleh itu, rakyat dan negara perlu dididik dengan budaya hormat dan menghormati, saling bekerjasama dalam membangun negara dan sentiasa berlapang dada dalam apa jua perbezaan. Negara dengan segala bentuk perundangan dan perlembagaan telah memberikan hak dan tanggungjawab yang tertentu dalam membangun negara. Oleh sebab itu, sikap ghuluw dan jumud dalam konteks negara kita adalah tidak layak dan seharusnya ditinggalkan.

Punca kepada segala kejumudan dan pemikiran ekstrem ini adalah akibat daripada kejahilan dan meletakkan ilmu tidak utama dalam bertindak. Sikap dan tindakan berdasarkan hawa nafsu yang kotor telah memungkinkan umat berada dalam kegelapan dan menyebarkan kemungkaran dengan alasan-alasan yang pelbagai. Dalam konteks negara berilmu, masyarakat kita tidak boleh dibiarkan dibelenggu dengan gaya pemikiran yang jumud dan ekstrem kerana memungkinkan akan melahirkan masyarakat yang merosakkan keamanan dan kesejahteraan.

Iman al-Hasan al-Basri yang dinyatakan oleh Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya, Zhahiratu al-Ghuluw Fi al-Takfir menyatakan:

“Orang yang bekerja tidak atas dasar ilmu, sama dengan orang yang berjalan tidak di atas jalan yang benar. Orang yang bekerja tidak berdasarkan ilmu, akan membuat lebih banyak kerosakan daripada kebaikan. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menuntut ilmu, tanpa meninggalkan ibadah dan mengerjakan ibadah tanpa merugikan ilmu. Ada satu kaum yang tekun beribadah, tetapi meninggalkan ilmu. Oleh kerana itu, mereka bangkit memanggul senjata memerangi ummat Muhammad SAW. Sekiranya mereka menuntut ilmu, maka ilmu itu tidak akan membimbing mereka berbuat apa yang seperti mereka perbuat.”

Pemikiran ekstrem atau ghuluw ini hendaklah diatasi dengan menekankan perbahasan ilmiah yang rasional di kalangan rakyat dalam menilai sesuatu perkara. Dalam konteks pencapaian membina negara Madani, masyarakat Islam khususnya mesti diasuhkan agar dapat menilai secara rasional terhadap pencapaian Kerajaan Perpaduan setelah diamanahkan memerintah negara ini sejak dua tahun yang lalu. Sesungguhnya pelbagai usaha dan tindakan telah dan sedang dilakukan demi memastikan rakyat dan negara mendapat manfaat dan kebaikan terutama dari segi kebajikan, kesejahteraan hidup serta menyebarluaskan lagi program-program keilmuan untuk mencerdaskan umat agar menjadi rakyat yang santun dan berbudi bahasa. Kerajaan telah bertekad untuk melakukan kerjasama politik, sosial dan ekonomi dengan cara yang terbaik dalam mengemudi negara ke arah yang cemerlang.

Sebenarnya formula pembentukan berteraskan konsep perpaduan ini bukanlah sesuatu yang dirancang tetapi telah ditakdir oleh Allah atas segala usaha yang dilakukan. Semua parti politik dengan segala kekuatan dan kelemahan telah mencari jalan bagaimana mengutamakan kemaslahatan ummah dan rakyat daripada kepentingan diri dan parti. Atas titah Kebawah DYMM Yang di-Pertuan Agong maka terjadinya sebuah Kerajaan pada hari ini. Usaha yang dilakukan bukan mudah seperti mana Kerajaan sebelum ini yang memiliki majoriti besar dan memerintah negara.

Oleh itu, kebijaksanaan yang dilakukan ini cukup untuk menjadikan kita sentiasa mengutamakan kemaslahatan dan kebaikan daripada kepentingan diri. Jauhkan sikap membenci dan menolak kebaikan orang lain dan merasakan kita sahaja yang mampu membangunkan negara. Waktu ini adalah masanya untuk kita bersama-sama membangunkan negara dan rakyatnya agar terus cemerlang. Elakkan daripada sikap individualistik, sentiasa berpolitik setiap masa, malah yang paling membimbangkan sikap dan tindakan sesetengah pemimpin menyebarkan pemikiran-pemikiran melampau, fitnah dan adu domba yang boleh merosakkan negara. Apatah lagi sikap berfikiran sebegini melahirkan masyarakat berfikiran jumud, tertutup dan menolak kebaikan anjuran orang lain.

Keterbukaan Perdana Menteri ke-10 dalam menampilkan sikap lunak dan lembut dalam mengetengahkan pemikiran yang wasatiy merupakan satu usaha terbaik dalam membentuk fikrah masyarakat dan negara ke arah pemikiran wasatiy, seimbang dan matang. Ini terbukti dengan kejayaan negara membawa tokoh-tokoh ulama terkenal dunia seperti Sheikul Azhar, Sheikh Prof. Dr. Ahmad Tayyib, mantan Mufti Mesir, Sheikh Prof. Dr. Ali Jumuah dan ramai lagi ulama- ulama Nusantara dan rantau Arab.

Selaku sebuah gerakan dakwah berasaskan jalan pertengahan (wasatiyyah), kita tidak boleh memandang mudah penularan pemikiran dan sikap ghuluw dalam kehidupan masyarakat. Oleh itu, saya menyeru semua penggerak dakwah WADAH agar dapat meningkatkan dan mempelbagaikan kegiatan pencerdasan umat terhadap bahaya pemikiran dan sikap demikian dalam kehidupan seorang Muslim. Kita perlu lebih proaktif dalam menangani permasalahan ini dengan memanfaatkan segala sumber, kepakaran dan teknologi bagi membangun umat Islam yang berpegang kepada jalan agama yang sebenar berpandukan asas kesederhanaan dalam Islam.

2.2  Permasalahan Kesesatan dalam Masyarakat

Fenomena kesesatan dalam kalangan masyarakat dan umat Islam bukanlah perkara baharu. Ia sememangnya menjadi cabaran dan ujian besar dalam kalangan umat Islam akibat daripada kejahilan dan kekurangan ilmu dan ketaksuban kepada pemimpin. Tambahan pula pengikut-pengikutnya begitu jahil dan mudah terpengaruh dengan dakyah yang dibawa oleh kelompok terbabit. Apabila Islam itu difahami dalam konteks yang tidak tepat, malahan didapati kejahilan itu diletakkan pada sisi ketaksuban dan mereka-reka kefahaman yang salah dan akhirnya membawa kepada kemudaratan yang berpanjangan.

Akibat daripada kejahilan inilah, begitu banyak ajaran sesat timbul, seperti mengaku menjadi Nabi, boleh mendapat syafaat selepas mati, dan melakukan sumbangan wang untuk mendapat pahala dan berbagai-bagai lagi. Itu tidak termasuk kefahaman sesat dengan zikir- zikir yang salah, mengaku mudah mendapat syurga dan sebagainya.

Adalah keterlaluan mengamalkan syariat Islam secara seleweng, menyalah laku poligami demi untuk mendapat pahala dan sebagainya. Segala kefahaman ini bukanlah berpandukan kepada sumber syarak yang benar berdasarkan al-Quran dan Sunnah tetapi tafsiran oleh kelompok ajaran sesat dan nafsu pemimpin mereka yang tidak dapat dikawal. Secara luaran mereka menampilkan amalan kehidupan normal tetapi keyakinan dan aqidah mereka terpesong daripada kefahaman sebenar berpandukan al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad g.

Kita dikejutkan dengan terbongkarnya kes GISBH. Apa yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana kumpulan ini yang dahulunya berasaskan daripada kumpulan Al-Arqam yang telah diharamkan kembali bangkit dengan agenda yang cukup luas dari segi pendidikannya, ekonomi dan kemasyarakatannya, namun masih terikat dengan kefahaman lama yang tidak boleh ditinggalkan. Apa pun yang berlalu kita harus menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk menyiasat samada pihak polis mahupun jabatan agama Islam yang bertanggungjawab merungkai permasalahan yang timbul dan memberi kesan yang cukup besar kepada masyarakat.

Walau apa pun kegiatan mereka, namun jika wujud unsur-unsur bertopengkan agama, ia adalah sangat memalukan dan ini tidak sekadar merosakkan kehidupan tetapi memusnahkan akidah umat Islam yang tidak berdosa.

Jangan sesekali menggunakan agama untuk mendapat nikmat dunia, menggunakan umat Islam sekadar nafsu semata-mata. Jangan sesekali berniat sedemikian kerana mengundang kemudaratan dan keburukan kepada masyarakat. Ingatlah peringatan Allah kepada umat dalam al-Quran surah al-An’aam ayat 39:

Maksudnya: Dan orang-orang yang mendustakan ayat- ayat kami adalah tuli, bisu, dan berada dalam gelap-gelita. Barang siapa dikehendaki Allah (dalam kesesatan), nescaya disesatkan-Nya. Dan barang siapa dikehendaki Allah (untuk diberi petunjuk), nescaya Dia menjadikannya berada di atas jalan yang lurus.

WADAH berpandangan usaha dan tindakan bagi mengatasi masalah kesesatan haruslah dilakukan secara bijaksana demi memastikan pengikut-pengikut ajaran ini dapat kembali dalam kehidupan asal. Tiada jalan pintas untuk mengatasi masalah ini. Usaha berterusan selain tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa, adalah tindakan menyelamatkan ribuan pengikut mereka sama ada dalam atau luar negara untuk kembali ke pangkal jalan. Isu kesesatan dan ketaksuban ini bukanlah satu perkara kecil dan remeh. Ia boleh menjejaskan akidah dan status kehidupan umat Islam sebenar. Tiada gunanya ekonomi yang hebat jika asal kehidupan menyimpang daripada keyakinan kepada Allah c serta diasaskan kepada eksploitasi terhadap golongan lemah terutama terhadap golongan wanita dan kanak-kanak.

3.0    DAKWAH DI ERA GELOMBANG KECERDASAN BUATAN (AI) DAN DIGITALISASI

Negara kita sedang menongkah gelombang mendepani era teknologi yang amat pesat di era kini terutama dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan digitalisasi. Perkara ini sudah tidak dapat dielakkan lagi kerana ia adalah kehendak zaman.

Sementara kita harus mendukung kehendak zaman ini, dalam masa yang sama kita mesti terus memastikan nilai dan budaya masyarakat yang unggul terus diperkasakan era teknologi yang serba canggih. Ketika Seminar Fikrah Siddiq Fadzil yang diadakan di Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) pada Mac 2023, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada menggariskan bahawa, “Pada era yang didominasi oleh digitalisasi dan AI, aspek-aspek ketamadunan seperti bahasa dan sastera tidak seharusnya dipinggirkan kerana bahasa dan kesusasteraan inilah yang menjadi sumber kekuatan nilai dan moral masyarakat.”

Kita hendaklah memperakui impak positif digitalisasi terhadap urusan kehidupan. Di negara Estonia misalnya, tahap kecekapan servis kerajaan yang disatukan melalui satu platform pentabdiran e-Kerajaan atau e-Government telah menjadikan perkhidmatan awam amat efisien dengan rakyatnya hanya perlu ke pejabat kerajaan 3 kali sahaja sepanjang hidup mereka.

Oleh itu, gerakan dakwah kita mesti turut memberi tumpuan terhadap penguasaan dan pengaplikasian perkembangan teknologi ini. Seiring percambahan pesat digitalisasi, pendekatan model dakwah juga perlu sentiasa dibugarkan agar menepati keperluan dan semangat zaman (zeitgeist), sambil mengekalkan elemen utama penerapan nilai-nilai pendakwah yang menghayati Sirah Nabawiah dan menggarap cita-cita dakwah yang holistik dan ummatik.

Dalam konteks ini, WADAH mendukung penuh inisiatif penting kerajaan dalam mempersiapkan masyarakat menghadapi dunia baru teknologi digital. Kini di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Malaysia telah tampil sebagai antara peneraju utama perkembangan digitalisasi dan inovasi artificial intelligence (kecerdasan buatan) di rantau Asia dan di peringkat global.

WADAH juga turut menghargai dan mengucapkan tahniah kepada Kerajaan atas usaha memperoleh pelaburan dalam bidang teknologi digital. Peningkatan signifikan nilai pelaburan asing dalam industri teknologi di Malaysia kini dianggarkan telah melonjak melebihi RM100 bilion dengan suntikan pelaburan tambahan oleh pelbagai syarikat gergasi dunia, seperti Amazon, Google, Microsoft, Nvidia, dan Oracle tidak sahaja akan merancakkan industri digital, namun dalam masa yang sama membuka ruang pekerjaan serta peningkatan profesionalisme serta kepakaran rakyat Malaysia dalam bidang yang amat dituntut pada hari ini.

Namun, kita juga hendaklah berwaspada di mana kemajuan teknologi yang tidak disandarkan pada nilai-nilai manusiawi akan menatijahkan hasil sampingan yang tidak diingini dan merbahaya kepada komuniti. Kewaspadaan terhadap kemungkinan ancaman AI ini turut disuarakan oleh Prof. Stuart J. Russell, Distinguished Professor of Computer Science, University of California, Berkeley. Menurut beliau:

“AI does good things, but to allow AI to choose to kill humans will be devastating to our security and freedom. We have an opportunity to prevent the future from becoming more dangerous, but the window to act is closing fast.”

Marilah kita mempersiapkan generasi pendakwah baru negara yang serba berketerampilan sejajar dengan perkembangan dunia baru yang berubah, namun dalam masa yang sama mendidik masyarakat supaya memanafaatkan kemajuan teknologi ini dengan disandarkan kepada nilai dan ajaran agama yang luhur.

Khusus berkenaan dengan kecerdasan buatan ini, sebagai sebuah gerakan dakwah, kita juga ingin turut memberi peringatan bahawa walaupun potensi positifnya sangat besar, namun kemafsadatan yang boleh dihasilkan tidak kurang negatifnya. Jadi, disarankan agar gerakan dakwah seperti kita ini benar-benar menguasai teknologi- teknologi kecerdasan buatan ini agar kita dapat menangani segala kemafsadatan yang terhasil dengan lebih berkesan. Tidak wajar untuk kita mengalah dan menguzlahkan diri dari penguasaan teknologi dan kemahiran digital sebegini.

4.0  PEMBANGUNAN INKLUSIF EKONOMI MADANI

Ekonomi Malaysia kini berada di landasan yang jauh lebih kukuh melalui hasil strategi Kerajaan dan juga usaha reformasi yang berterusan dan berkesan. Pencapaian ini disokong oleh agenda pembaharuan melalui kerangka Ekonomi Madani yang berjaya mengukuhkan hubungan diplomasi dan dagang dengan pelabur antarabangsa. Ringgit semakin kukuh. Kadar inflasi terus stabil meskipun penyasaran subsidi diesel dilaksanakan pada bulan Ogos 2024. Rizab antarabangsa meningkat. Kadar pertumbuhan meningkat. Kadar defisit berbanding KDNK berjaya dikurangkan. Jumlah hutang baru berkurangan untuk tiga tahun berturut-turut. Trajektori pembangunan negara juga menggariskan banyak petunjuk dan unjuran-unjuran positif.

Barangkali ada keperluan untuk kita menghimbau kembali bagaimana pembentangan satu demi satu blueprint ekonomi yang diusahakan dengan penuh susah payah menerusi kerangka Malaysia Madani yang dikemukakan oleh kerajaan kini sejak Januari 2023 – yang ketika itu masih dalam tempoh 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

Pembentangan kerangka Ekonomi Madani dibentangkan pada hari yang sama dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (New Energy Transition Roadmap, NETR), iaitu di penghujung bulan Julai 2023. Kemudian Pelan Induk Perindustrian Baru 2030 (New Industrial Master Plan, NIMP 2030) dikemukakan pada bulan Ogos 2023, dan ini diikuti oleh Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (2021 – 2025) pada bulan September 2023. Kesemua pembentangan dokumen- dokumen penting berkenaan pelan keseluruhan hala tuju baru ekonomi negara ini kemudiannya terlaksana menerusi satu demi satu Belanjawan Madani ke-3, termasuklah Belanjawan MADANI ketiga pada 18 Oktober 2024 baru-baru ini.

Sesungguhnya kerangka Ekonomi Madani ini menunjangi penstrukturan semula kedudukan ekonomi negara secara menyeluruh yang didukung oleh beberapa proses transformasi lain termasuklah menggiatkan semula (revitalisation) sektor perindustrian. Antaranya ialah transformasi digital yang banyak memberi penekanan kepada ekonomi-ekonomi baru (new economy) seperti strategi sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan (artificial intelligence).

Menerusi Ekonomi Madani, laluan pembangunan kita mestilah yang memudahkan dan penyelesaian akhirnya ialah berkhidmat demi kesejahteraan umat, terus memperkasa rakyat, menangani kesenjangan dan memupuk minda bertanggungjawab bersama dan berinovasi.

Yang ingin dibina bukannya sangat gedung-gedung besar, mahligai-mahligai mewah, bangunan-bangunan pencakar langit dengan segala branding duniawi dan lompang-lompang kehidupan yang kesannya hanya terbatas di alam dunia ini sahaja. Apa yang ingin ditonjolkan menerusi Ekonomi Madani ialah seperangkat nilai yang menongkat penegakan moral dan etika ekonomi, yang membentuk kekuatan peribadi terhadap tatakelola yang betul yang keberhasilannya adalah sebuah baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur – sebuah negara yang terhimpun kebaikan alam dan keluhuran perilaku rakyatnya, dan yang mendapat pengampunan Ilahi. Inilah negara impian yang bukannya bersifat khayali.

Sebagai gerakan dakwah, kita berkeyakinan bahawa demi pertumbuhan ekonomi yang mampan (sustainable), dana awam perlu dibelanjakan, khususnya untuk pemerkasaan modal insan, setidak-tidaknya menerusi pendidikan (education) dan kesihatan (healthcare). Pembasmian kemiskinan dan keperluan mewujudkan keadaan kehidupan dan suasana bekerja yang manusiawi sifatnya mesti diutamakan.

WADAH ingin merakamkan penghargaan dan tahniah terhadap Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) yang berjaya menganjurkan Forum Serantau YAPEIM (FSY) baru-baru ini. Potensi pembangunan ekonomi Islam baru hendaklah diteroka dan kerjasama dengan para penggiat ekonomi Islam serantau mesti diperkukuhkan. Inisiatif ini adalah sejajar dengan kerangka Ekonomi Madani yang sedang digerakkan kerajaan di mana instrumen dan mekanisme ekonomi semasa dan baru digembleng secara bersama bagi meningkatkan mutu kehidupan masyarakat terbanyak berpaksikan prinsip ekonomi berasaskan manusiawi, iaitu ekonomi yang mengangkat darjat insaniah dan kehormatan manusia.

5.0  MELESTARI FIKRAH MADANI DALAM KOMUNITI ASEAN

Kepengerusian ASEAN 2025 merupakan satu kesempatan dan ruang penting pergerakan dakwah Islamiyyah di Malaysia untuk menyumbang terhadap kelestarian Fikrah Madani dalam Komuniti ASEAN. Fikrah Madani merujuk kepada pemikiran yang mengutamakan pembangunan masyarakat berasaskan prinsip-prinsip Islam yang holistik. Islam sebagai cara hidup bukan sahaja menekankan aspek spiritual tetapi juga sosial, ekonomi, dan budaya, yang keseluruhannya bertujuan untuk membentuk tamadun yang seimbang dan harmoni.

Melestarikan Fikrah Madani dalam konteks Komuniti ASEAN juga bermaksud meningkatkan usaha kerjasama pelbagai peringkat individu dan pergerakan sosial berasaskan sivil untuk bergandingan bagi mengukuhkan teras dan nilai dalam gagasan Malaysia Madani, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan dalam kefahaman dan pengamalan Komuniti ASEAN. Dalam erti kata lain, melestarikan Fikrah Madani ialah menyebarluaskan nilai-nilai unggul kesederhanaan, keterbukaan dan kerahmatan agar dihayati dalam kehidupan warga Komuniti ASEAN. Kita yakin, penghayatan fikrah dan nilai Madani ini akan menyumbang terhadap pengukuhan benteng ke arah mewujudkan Komuniti ASEAN yang seimbang, sejahtera dan dinamik.

Bagi tujuan melestarikan Fikrah Madani dalam Komuniti ASEAN, beberapa proses dalam masyarakat mesti diterapkan antaranya pelaksanaan pendekatan islah dan tajdid serta pengukuhan konsep rahmah dan hikmah dalam kehidupan masyarakat, sepertimana firman Allah:

Maksudnya:(DantiadalahKamimengutuskamu)HaiMuhammad! (melainkan untuk menjadi rahmat) yakni merupakan rahmat (bagi semesta alam) manusia dan jin melalui kerasulanmu.

(Surah al-Anbiyaa’ 21: 107)

Bagi merealisasikan aspirasi ini, gerakan dakwah kita mesti konsisten menerapkan pendekatan Islah merujuk kepada proses memperbaiki dan memulihkan keadaan dalam masyarakat. Dalam konteks fikrah Madani, Islah adalah melibatkan pembaikan moral dan spiritual dengan menyemarakkan nilai-nilai ini dalam masyarakat berlandaskan ajaran Islam. Islah juga mengambil kira aspek penambahbaikan sosial bagi memastikan keadilan sosial, mengatasi kemiskinan, dan memperbaiki keadaan hidup masyarakat melalui program-program sosial yang berkesan. Proses ini tidak akan berjaya tanpa adanya pendidikan.

Di samping itu juga, kita hendaklah terus meningkatkan dapatan serta idea-idea berasaskan semangat tajdid (pembaharuan) bagi membangunkan natijah baru dalam konteks pembangunan umat dalam Komuniti ASEAN. Dalam Fikrah Madani, tajdid turut menyentuh aspek penerapan nilai dengan menyesuaikan pemikiran dan pendekatan dalam mendepani isu-isu semasa tanpa mengorbankan prinsip-prinsip asas Islam.

Proses tajdid ini bermula daripada pembangunan ilmu yang memerlukan kepada kajian dan penyelidikan ilmu pengetahuan yang relevan dengan kehidupan kontemporari. Hasil kajian tersebut boleh dilihat sejauh mana proses adaptasi boleh dilakukan terhadap masyarakat serta melahirkan inovasi yang boleh memberi manfaat kepada masyarakat. Inovasi tersebut perlulah selari dengan ajaran agama dan bukanlah yang menyimpang serta sesat.

Proses tajdid berasaskan ilmu hakikatnya tidak lari daripada sumber al-Quran yang membawa kepada kegemilangan tamadun Islam. Hal ini digambarkan oleh Dr. Siddiq Fadzil dalam penulisan beliau:

“Selama abad-abad kegemilangannya, kekuatan tersebut diperoleh dengan menyerap ajaran al-Qur’an sehingga tercernanya minda Qur’ani-Rabbani. Mereka adalah generasi Rabbaniyyun yang terbina dalam tradisi pengajaran dan pembelajaran al-Kitab (Surah Ali-’Imran 3: 79). Demikianlah minda yang mengakar pada al-Qur’an mempersepsikan segala sesuatu berasaskan pandangan sarwa atau Weltanschauung Qur’ani dan merasakan semuanya dengan cita rasa Qur’ani. Hakikat itulah yang diungkapkan oleh Dr. Said Ramadan Al-Buti dalam pembicaraannya tentang pendekatan al-Qur’an terhadap pembinaan tamadun insani sebagai tabsira wa tadhawwuq Qur’ani (Al-Buti 1998: 139 159).”

(Fikrah Siddiq Fadzil, 2022) Sesungguhnya agenda bagi melestarikan Fikrah Madani dalam

Komuniti ASEAN memerlukan penglibatan dan penyertaan semua pihak. Seungguhnya, tema “Keterangkuman dan Kemampanan” misi kepengerusian ASEAN 2025 ini adalah sejajar dengan wawasan Islam Rahmatan lil Alamin (Islam sebagai rahmat ke seluruh alam) yang menjadi salah satu agenda dalam misi gerakan dakwah WADAH. Manakala, wawasan membina Komuniti ASEAN 2025 yang menjadi teras gerak kerja Kepengerusian ASEAN juga seiring dengan semangat Nahdah Umat ke arah membangun Khayra Ummah yang menjadi aspirasi gerakan dakwah kita.

Berasaskan perspektif dan cita-cita membina Komuniti ASEAN yang aman, makmur dan sejahtera, gerakan dakwah WADAH mesti memanfaatkan ruang dakwah baru di peringkat serantau ini.

Bagi tujuan tersebut, saya ingin mengemukakan cadangan lima langkah yang boleh disumbangkan oleh gerakan dakwah kita bagi membantu pihak kerajaan dalam merealisasikan amanah Kepengerusian ASEAN 2025, iaitu:

1.             Menggalakkan kerjasama pergerakan dakwah serantau bagi memperkasa kesejahteraan Komuniti ASEAN.

Bagi mencapai tujuan ini, WADAH bersedia untuk menggerakkan usaha bagi menyelaraskan pengwujudan Sekretariat Asia Tenggara atau Madani Centre for ASEAN Community: Social Innovation and Development (MACASID). Peranan sekretariat ini amat mustahak sebagai sebuah badan induk menyelaraskan pertubuhan dakwah Islamiyyah berorientasikan aspirasi Madani di peringkat negara-negara ASEAN. Kita dapati banyak kepesatan dalam bidang dakwah yang luas meliputi pendidikan, komuniti, wanita dan belia yang diusahakan secara sukarela oleh warga umat serantau. Oleh itu, WADAH ingin mengesyorkan satu persidangan khusus dianjurkan pada tahun hadapan mengumpulkan pertubuhan-pertubuhan dakwah serantau ini bagi mencari jalan terbaik ke arah pengukuhan kerjasama dakwah serantau dan menjayakan keamanan serta kesejahteraan Komuniti ASEAN.

2.             Meningkatkan program pelatihan dan kepimpinan dakwah di peringkat serantau.

Sesungguhnya, misi merealisasikan Nahdah Umat ASEAN hendaklah diteraskan pada barisan pendakwah berwibawa dan berkualiti. Mereka mesti dibekalkan dengan idealisme membina Khayra Ummah yang kental serta keterampilan kepimpinan dakwah masa kini yang berkesan termasuk bidang teknologi digital terkini. Sehubungan itu, WADAH ingin mencadangkan penubuhan Pusat Latihan Dakwah dan Kepimpinan Islam Asia Tenggara. Dalam konteks ini, Kolej Dar Al- Hikmah (KDH) disyorkan agar mengemudi peranan penting ini dengan mengemukakan program pelatihan dakwah serantau yang lebih teratur. Menerusi kemudahan prasarana baru yang dibaik pulih, KDH mampu menjadi sebuah institusi penyelaras serantau bagi melatih kader-kader dakwah di peringkat Asia Tenggara. Pengalaman KDH menawarkan program pendidikan dan latihan kepada pelajar-pelajar dari Kemboja mesti dikembangkan ke negara-negara lain di ASEAN. Bagi merealisasikan matlamat ini, WADAH akan mencadangkan satu Jawatankuasa Khas ditubuhkan melibatkan semua pihak bagi membincangkan hala tuju serta gerak kerja lanjut bagi memastikan perancangan penting ini dapat dilaksanakan.

3.             Memperkasa perkongsian penyelidikan dan sumber maklumat dakwah Asia Tenggara.

Di era teknologi maklumat yang pesat ini, pergerakan dakwah serantau hendaklah saling berkongsi input dan data yang boleh saling dimanfaatkan antara satu dengan lain. Pengwujudan Portal Dakwah Asia Tenggara dalah satu bentuk saluran komunikasi yang boleh dikemukakan bagi tujuan tersebut. Oleh itu, WADAH akan menggerakkan satu pasukan khas dari kalangan penggerak dakwah serantau bagi memperincikan hasrat ini melibatkan pakar-pakar ilmuwan dan teknologi dalam bidang teknologi maklumat dalam masa terdekat.

4.             Memperkasa institusi masjid serantau.

Sesungguhnya WADAH menyokong pelbagai usaha bagi mengukuhkan kerjasama masjid-masjid serantau. Dalam hubungan ini, WADAH mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dengan kerjasama pelbagai NGO Islam yang diselaraskan MAPIM atas kejayaan penganjuran Muktamar Masjid SeMalaysia dan Sambutan Hari Masjid Sedunia baru-baru ini. Cadangan bagi penganjuran Muktamar Masjid di peringkat ASEAN pada 2025 adalah disambut baik dan kita akan memberi kerjasama penuh bagi menjayakan matlamat yang amat mulia ini. Sejak dari awal, WADAH sentiasa berpandangan, iaitu penggemblengan kerjasama dan keupayaan masjid sebagai insitusi umat adalah wasilah paling berkesan bagi memelihara kesejahteraan dan pembangunan semula tamadun dan Nahdah Umat.

5.             Meningkatkan kerjasama pembangunan ekonomi komuniti serantau.

Sesuai usaha YAPEIM dalam meningkatkan usaha kerjasama serantau dalam pembangunan ekonomi komuniti serantau perlu terus digerakkan. WADAH berpandangan mekanisme infaq dan wakaf yang merupakan antara teras penting sistem kewangan sosial Islam mesti diperkasakan lagi. Sumber infaq dan wakaf mesti digembleng bagi membina institusi dakwah, pendidikan dan dana modal ekonomi komuniti. Bagi tujuan ini, idea penubuhan Tabung Infaq dan Wakaf Dakwah ASEAN hendaklah terus diteroka dari segi kesesuaian dan hambatan pelaksanaannya. Bagi tujuan tersebut, WADAH ingin mencadangkan satu pertemuan lebih menyeluruh dalam bidang ekonomi komuniti di bawah pengawasan penggerakan dakwah serantau diadakan dan syor penubuhan tabung tersebut dibentangkan. Model-model yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa boleh dipelajari bagi mencapai tujuan luhur ini.

Semua syor-syor ini adalah bertujuan agar satu bentuk penyertaan dan penglibatan pada tahap warga sesama warga (people to people) dalam Komuniti ASEAN dapat diaktifkan sepanjang tempoh Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia. Dalam erti kata lain, sekiranya kita dapat menggembleng kesedaran dan penglibatan umat ASEAN dibawah satu penyelarasan yang teratur, kita yakin ia pasti dapat membantu meningkatkan peranan dan keupayaan pertubuhan dakwah menjayakan pembangunan dan kesejahteraan menyeluruh umat Islam di Asia Tenggara pada masa akan datang.

6.0  SERUAN PERJUANGAN

Mari kita bersama merafakkan sembah dan syukur tidak terhingga ke hadrat Allah c di atas limpah kurnia-Nya memilih kita untuk terus istiqamah di atas perjuangan dakwah yang suci ini.

Istiqamah di dalam perjuangan dakwah melangkau 50 tahun bukanlah sesuatu yang mudah sebagaimana perintah Allah di dalam al-Quran:

Maksudnya: Maka tetaplah Engkau (Muhammad), di jalan yang benar, sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang bertaubat bersamamu, dan janganlah kamu melampaui batas. Sungguh, Dia Maha Melihat terhadap apa yang kamu kerjakan.

(Surah Hud 11: 112)

Gerakan WADAH ialah generasi pencetus kebangkitan Islam tahun 70-an yang telah melalui zaman getir penubuhannya (ketika itu atas nama PKPIM dan ABIM), kemudian mempelopori agenda Islamisasi, membina Model Islam dalam sistem pendidikan, kewangan, dan penerapan nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, dan selanjutnya diuji dengan perjuangan reformasi yang panjang dan kini memikul misi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Perjuangan dakwah ini adalah perjuangan yang getir dan panjang dan hanya pejuang yang yakin akan pertolongan Allah, istiqamah dan sabar sahaja yang mampu memikul amanah mulia ini.

Perjuangan menjayakan agenda Malaysia MADANI dalam konteks kenegaraan dan Global MADANI di peringkat dunia mempunyai cabaran yang lebih rencam dan kompleks. Rasulullah g terpaksa berperang sebanyak 19 kali dalam perjuangan dakwahnya untuk merealisasikan amanah Istikhlaf (Kekhalifahan) (Riwayat al-Bukhari 3949).

Insya-Allah, kemenangan Islam semakin dekat, hegemoni Barat dan Zionis semakin sirna, rakyat Barat makin menerima Islam dan cahaya Islam makin menyinar di mana-mana.

Saya menyeru seluruh warga WADAH termasuk ABIM dan PKPIM untuk memperkukuh gerakan tercinta ini, menyatukan hadaf dan khittah bagi menghadapi cabaran-cabaran dakwah mendatang.

Kesempatan ini ingin kita rakamkan rasa solidariti terhadap perjuangan hak asasi dan pembebasan rakyat Palestin, rakyat Lubnan, rakyat Kashmir, Muslim di India, Rohingya di Myanmar, rakyat Patani, Selatan Thai, Uyghur di China, dan di mana-mana umat Islam tertindas di seluruh dunia, dengan titipan doa dan harapan agar kemenangan dianugerahkan Allah secepat mungkin.

Lemparan Kayu Sinwar

Lemparan kayu sebelum syahid menjemputmu,
adalah lambang perjuangan sepanjang hayat,

Titik mati perjuangan,
Kau abadikan dalam memori umat,
Perjuangan itu pengorbanan segala,
Penjajahan itu perhambaan,
Tak mungkin merdeka cuma-cuma,
kepada si bacul dan pengecut,
Menjilat-jilat mohon simpati,
Menggadai cebisan maruah yang masih berbaki.

Lemparan Kayu Sinwar,
Membakar jiwa yang berselimut,
Membangkit semangat hati nurani yang masih ada roh,
Tanpa mengira bangsa dan agama,

Palestin pasti akan merdeka,
Lambang sebuah kebangkitan,
Pengorbanan ribuan jiwa yang tak sia-sia,
kerna syurga menanti.

Lemparan Kayu Sinwar,
tanda berakhirnya 100 tahun penderitaan umat akibat penjajahan,

Lemparan Kayu Sinwar,
Lambang Perjuangan,
Lambang Kemerdekaan,
Erti kematian yang menghidupkan!

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

RUJUKAN

  • Abdul Rahman Rukaini, Sirah: Membentuk Generasi Pewaris Nabi, 2001.
  • Ahmad Azam Ab Rahman, Mengembalikan Hati, 2024.
  • Dr. Muhammad Sa’id Ramadan al-Buthy, Seerah Nabawiyah (Fiqh al Seerah).
  • Dr. Osman Bakar, Dialog bersama Perdana Menteri Pakistan dan Alim Ulama Islam Global, 2022.
  • Dr. Siddiq Fadzil, Islam dan Masyarakat Majmuk: Cabaran Aktualisasi Rahmat Sejagat (Rahmatan Li Al-`Alamin), 2014.
  • Khaled A. Beydoun, The New Crusades, Islamophobia and Global War on Muslims, University of California Press, 2023.
  • Olivier Ray, The Crisis of Culture, Identity Politics and The Empire of Norms, C. Hurst & Co. Ltd., 2024.
  • Prof. Dr. Ali Qaradaghi, Mengangkat Kedudukan Umat Islam: Sejarah, Visi, Harapan, Markas Al-Qaradaghi, 2024.
  • Siri Bimbingan Pengukuhan Fikrah Madani, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi: Penghayatan Manhaj Islah dan Tajdid Dalam Pemerkasaan Umat, WADAH, 2024.

BIODATA DATO’ HAJI AHMAD AZAM BIN AB RAHMAN

Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman lahir pada 21 Jun 1960 di Gombak, Selangor. Beliau mendapat pendidikan di St John Institution dan kemudian meneruskan pengajiannya ke Institut Teknologi MARA (Kini: UiTM) dalam bidang Diploma Pentadbiran Awam. Beliau memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Indiana State University dan kemudian menerima Masters in Business Administration (MBA) dari Stephen F. Austin State University di Amerika Syarikat. Beliau pernah bertugas sebagai Pegawai MARA Daerah Seberang Perai Utara, Pengurus Latihan, Institut Kajian Dasar, Pengarah Latihan P&Q Consult Sdn. Bhd., serta Pensyarah di Institut Pengajian Ilmu-ilmu Islam.

Di atas sumbangan signifikan beliau dalam latar pertubuhan masyarakat dan inisiatif kemanusiaan, beliau telah dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N.) yang membawa gelaran Dato’ oleh Yang Dipertua (YDP) Negeri Pulau Pinang, bersempena hari ulang tahun ke-72 YDP Pulau Pinang pada tahun 2021. Beliau juga merupakan penerima Anugerah Khas Individu bersempena Majlis Maulidur Rasul g Peringkat Wilayah Persekutuan 1445H/2023M.

Dato’ Ahmad Azam ialah seorang tokoh pemimpin NGO yang sangat aktif berperanan di peringkat tempatan dan antarabangsa. Dengan bermula sebagai pemimpin gerakan pelajar semasa di universiti pada tahun awal 1980-an, beliau kini merupakan Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), iaitu sebuah NGO yang bertujuan memperkasa umat dengan cara meningkatkan kesedaran dan kecerdasan daya fikir mereka melalui pengembangan literatur yang bermutu, perbahasan dan wacana ilmu yang berkualiti serta pernyataan pandangan yang jelas dan tegas.

Dato’ Ahmad Azam telah dipilih mewakili Malaysia sebagai Pesuruhjaya Suruhanjaya Bebas Tetap Hak Asasi Manusia, Organisasi Kerjasama Negara-Negara Islam (Independent Permanent Human Rights Commission / OIC-IPHRC) bagi sesi 2019 – 2022 dan telah disambung lantikan bagi sesi 2022 – 2025. Melalui peranan beliau dalam OIC-IPHRC, Malaysia telah menjadi hos bagi 8th OIC-IPHRC International Seminar yang telah berlangsung pada 5 – 6 Oktober 2022 dengan tema “Islamic Perspectives on Protection of Refugees: Rights and Access to Education”.

Dato’ Ahmad Azam juga merupakan Pengerusi Global Peace Mission Malaysia (GPM) dari awal penubuhannya pada 2001 sehingga Januari 2024. Sepanjang kepimpinan beliau, GPM kini merupakan antara agensi kemanusiaan Malaysia yang ternama, dengan pengalaman operasi di lebih 30 buah negara sepanjang lebih 20 tahun beroperasi, dengan pengkhususan bantuan kepada wilayah-wilayah yang dilanda konflik perang mahupun bencana alam.

Sebagai pengiktirafan kepada projek-projek membangunkan masyarakat Islam, khususnya pendidikan di Kemboja melalui Global Peace Mission (GPM), Dato’ Ahmad Azam telah dianugerahkan “Royal Order of Monisaraphon Moha Sena” oleh Kerajaan Kemboja pada 26 September 2015 dan“The Royal Order of the Kingdom of Cambodia of Commander (Thipden)” pada November 2012. Atas sumbangan beliau terhadap perhubungan dua hala Malaysia-Kemboja, Dato’ Ahmad Azam telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia sebagai Special Envoy for Malaysia to Cambodia.

Pada sambutan ulang tahun ke-20 GPM pada 26 September 2021, Menteri Luar Negeri Malaysia telah melantik Dato’ Ahmad Azam sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Luar Negeri Malaysia Mengenai Afghanistan. Dalam tempoh setahun lantikan sehingga

25 September 2022, Malaysia telah mengelola pelbagai siri misi kemanusiaan serta misi diplomatik ke Afghanistan.

Beliau kemudian telah dilantik oleh Menteri Luar Negeri Malaysia sebagai Anggota Majlis Perundingan Mengenai Dasar Luar Negeri (Consultative Council on Foreign Policy – CCFP) dari Februari 2023 sehingga Februari 2024. Dato’ Ahmad Azam juga telah dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Menteri Luar Negeri Mengenai Kemanusiaan dan Pembangunan Semula (Humanitarian & Reconstruction) bermula Julai 2023 sehingga Jun 2025.

Dato’ Ahmad Azam turut merupakan Pengerusi Pertubuhan Jaringan Islam Global Masa Depan (JREC) yang mengelolakan enam buah sekolah pelarian yang mempunyai lebih 900 orang pelajar, dengan dukungan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Dato’Ahmad Azam juga telah terpilih menganggotai jawatankuasa penaja The Union of NGOs in the Islamic World (UNIW), organisasi yang memayungi 354 NGO Islam meliputi 66 buah negara dan beribu pejabat di Istanbul, Turki sejak Mei 2005. Ahmad Azam Abdul Rahman telah dilantik sebagai Timbalan Setiausaha Agung UNIW (Asia Pasifik) bagi sesi 2015 – 2017 dan 2018 – 2021. Kini Dato’ Ahmad Azam merupakan anggota UNIW Council of Advisors.

Dato’ Ahmad Azam telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Munazzamat Dakwah Sudan bagi sesi lantikan 2018 – 2022 and dilantik semula bagi sesi 2022 – 2023. Munazzamat Dakwah Sudan merupakan pertubuhan dakwah dan kemanusiaan di rantau Afrika.

Sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap sumbangan beliau dalam pembangunan belia dalam dan luar negara, Menteri Belia dan Sukan Malaysia telah melantik beliau sebagai Ahli Majlis Perundingan Belia Negara bagi tahun 2003 – 2004. Beliau juga telah dianugerahkan Pingat Bakti Belia Malaysia (P.B.B.M) oleh Majlis Belia Malaysia pada 12 Ogos 2005.

Dato’ Ahmad Azam turut dikenali sebagai pembimbing dan jurulatih dalam bidang Kepimpinan Ummatik kepada golongan belia dan remaja Muslim. Beliau sering diundang sebagai panel seminar, bengkel dan kem latihan pembangunan belia Muslim bagi memangkin pembangunan komuniti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Dato’ Ahmad Azam telah berkahwin dengan Datin Nur Azlina Abdul Aziz, seorang aktivis sosial yang aktif dalam lapangan pendidikan kanak-kanak pelarian di Malaysia. Mereka dikurniakan dengan lima orang anak dan empat orang cucu.

Berita Muktamar|Bicara Presiden|Bicara Presiden - BM

PELUNCURAN DUA KARYA HEBAT NUSANTARA

Majlis Peluncuran Buku Inspirasi: Amanah Dakwah Karya Dr. Razali Nawawi dan Mohammad Natsir: Ilmuwan Ulung Alam Melayu Abad Ke-20 Karya Prof. Emeritus Tan Sri Dr. M. Kamal Hassan Bangi, 3 Disember 2024 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dan Aras Mega telah berjaya menganjurkan satu majlis berprestij bagi peluncuran dua karya penting dalam dunia intelektual […]

Baca Lanjut

WAKIL NGO SELURUH MALAYSIA SERTAI BENGKEL FIQH AL-MIZAN

AHLI WADAH-ABIM-PKPIM, SALWA MALAYSIA DAN WAKIL NGO SELURUH NEGARA SERTAI PROGRAM BACAAN KITAB FIQH AL-MIZAN ANJURAN MAIWP, BENGKEL MENDEKATI SYARIAH DAN KEHIDUPAN HARIAN Bandar Baru Bangi, 1 Disember 2024 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Pertubuhan Salwa Malaysia (SALWA) dan wakil NGO seluruh Malaysia […]

Baca Lanjut

TAHNIAH ATAS PENGANUGERAHAN PROFESOR EMERITUS

Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) Merakamkan Penghargaan kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan penuh rasa syukur dan bangga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman, Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), di atas penganugerahan gelaran Profesor Emeritus oleh Universiti Malaya (UM) […]

Baca Lanjut

KONVOKESYEN KDH KALI KE-25

KONVOKESYEN KOLEJ DAR AL-HIKMAH (KDH) KALI KE-25 Konvokesyen Kolej Dar Al-Hikmah (KDH) ke-25 telah berlangsung dengan penuh gemilang di Bangi Convention Centre, Bangi. Majlis ini menyaksikan seramai 100 graduan berjaya menamatkan pengajian mereka di peringkat Diploma, melibatkan pelbagai bidang pengajian. Anugerah tertinggi, Pelajar Citra Cendekia Al-Hikmah, telah diberikan kepada Mohamad Zharfan Shah Bin Hadini dari […]

Baca Lanjut
Jumlah Pelawat Hari ini :
178715
Jumlah Pelawat Keseluruhan :
738,666
Klik Sini