Hak Kembali Rakyat Palestin: Syarahan Khas Presiden WADAH Tegaskan Keadilan Sejagat Berlangsung di Thailand
Bangkok, 12 Mei 2025 – “Kebebasan rakyat Palestin bukan hanya isu wilayah – ia adalah ujian moral zaman kita,” tegas Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), dalam syarahan khas bertajuk “Hak Sah Rakyat Palestin untuk Kembali ke Tanah Air” sempena Wacana Ilmiah 77 Tahun Penderitaan Rakyat Palestin — Dari Nakbah ke Genosid di Gaza di Yayasan Pusat Islam Thailand. program ini merupakan anjuran anjuran Jawatankuasa Rangkaian Kemanusiaan Sheikhul Islam Thailand.
Dalam syarahannya, beliau memulakan dengan menekankan bahawa peringatan terhadap al-Nakbah bukan sekadar mengenang sejarah, tetapi menghidupkan semula suara rakyat Palestin yang terus dinafikan haknya. Pada 15 Mei setiap tahun, katanya, rakyat Palestin dan para penyokong keadilan seluruh dunia memperingati peristiwa tahun 1948, di mana lebih 700,000 rakyat Palestin dihalau dari tanah air mereka dan lebih 400 buah perkampungan dimusnahkan.
“Nakbah bukan hanya peristiwa yang telah berlaku. Ia adalah realiti yang masih berterusan hingga ke hari ini. Ia hidup dalam kem pelarian di Lubnan dan Jordan, di Gaza yang dikepung, di Tebing Barat yang dijajah, dan dalam hati jutaan rakyat Palestin di Diaspora,” ujar beliau.
Penderitaan Palestin Berterusan
Beliau turut menyatakan bagaimana rakyat Palestin masih hidup dalam penindasan seperti sekatan jalan, perobohan rumah, rampasan tanah dan undang-undang apartheid. Namun, di sebalik penderitaan yang berpanjangan, mereka tetap berdiri dengan maruah, harapan dan semangat perjuangan.
Dato’ Ahmad Azam mengkritik respons masyarakat antarabangsa yang menurutnya penuh dengan kontradiksi. “PBB telah meluluskan puluhan resolusi menyokong Palestin dan hak mereka untuk kembali. Tetapi terlalu kerap, kata-kata itu tidak diiringi tindakan. Undang-undang antarabangsa diamalkan secara terpilih.”
“Hak untuk kembali bagi pelarian Palestin bukanlah cadangan, tetapi hak yang sah berdasarkan Resolusi 194 PBB. Pendudukan penempatan haram bukan sekadar isu debat, tetapi pelanggaran nyata terhadap Konvensyen Geneva Keempat,” katanya lagi.
Beliau menyifatkan pengepungan ke atas Gaza yang telah berlarutan hampir dua dekad bukanlah soal keselamatan, sebaliknya satu bentuk hukuman kolektif terhadap rakyat awam. “Keadilan tidak boleh hanya untuk yang berkuasa dan dinafikan kepada yang tertindas,” tegasnya.
Dato’ Ahmad Azam turut menyeru agar sistem global ditegakkan dengan adil, termasuk memperkasakan Mahkamah Jenayah Antarabangsa dan mekanisme lain agar dapat bertindak terhadap jenayah perang – sama ada di Ukraine, Syria mahupun Palestin.
Kuasa Veto Merupakan Punca Utama
Beliau juga menyeru dunia agar mendengar suara rakyat Palestin – para guru, doktor, ibu bapa, anak-anak, dan aktivis – serta berkongsi kisah dan sejarah mereka. Dalam masa sama, beliau mengajak masyarakat antarabangsa menyokong gerakan akar umbi seperti Boikot, Pelucutan dan Sekatan (BDS) yang menuntut hak asasi dan keadilan bagi Palestin, sama seperti gerakan anti-apartheid di Afrika Selatan.
“Perubahan tidak pernah datang dari atas ke bawah, tetapi dari rakyat biasa yang menolak kezaliman. Mahasiswa, artis, ahli akademik dan aktivis kini menjadi suara penentu masa depan,” katanya. Dato’ Ahmad Azam menegaskan bahawa perjuangan Palestin tidak terasing, malah ia sebahagian daripada perjuangan global melawan penindasan kaum, kolonialisme, ketidakadilan ekonomi dan kerosakan alam sekitar.
Beliau juga menyentuh masalah struktur Majlis Keselamatan PBB yang disifatkan sebagai punca kegagalan utama dalam menegakkan keadilan untuk Palestin. “Majlis Keselamatan PBB menjadi punca malapetaka yang kita saksikan hari ini. Sistem ini mesti direformasi. Dunia lebih besar daripada lima kuasa veto.”
Katanya, benua Afrika yang mempunyai 1.4 bilion penduduk, Latin Amerika dan ASEAN tidak mempunyai kuasa veto, justeru tidak mempunyai suara ketika kuasa besar menentukan keselamatan serantau. Beliau menyarankan agar blok serantau turut diberi kuasa veto demi ketelusan dan keadilan global.
“Veto tidak boleh kekal selama-lamanya. Ia mesti direformasi atau akan menjadi tidak relevan bagi dunia dan keadilan sejagat. Marilah kita menjadi generasi yang enggan berpaling, yang bersuara saat yang lain diam, dan yang membina jambatan di tempat tembok pernah berdiri.”
Syarahannya diakhiri dengan laungan tiga kali: “Free Palestine! Free Palestine! Free Palestine!”
Perjalanan Program Wacana Ilmiah
Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Watcharapol Komontamathee, Pengerusi Yayasan Pusat Islam Thailand, diikuti ucapan perasmian oleh Prof. Lt. Gen. Dr. Somchai Virunhaphol, seorang tokoh akademik terkemuka.
Sesi wacana pertama bertajuk “Misi Bantuan Kemanusiaan dalam Isu Palestin oleh Organisasi Rantau Asia Tenggara dan Pasifik” melibatkan:
Encik Jismi Johari (Malaysian Humanitarian Aid and Relief)
Encik Raiyan (Friend of Palestine)
Assoc. Prof. Dr. Adisara Katib (Pengerusi PSC Thailand)
Encik Anusorn Sriadulphan (Majlis Rangkaian, Pejabat Sheikhul Islam Thailand)
Wacana ini membincangkan bentuk bantuan, halangan diplomatik dan kempen serantau untuk menyokong penduduk Palestin.
Sesi kedua bertajuk “Palestin: Kesedaran dalam Kalangan Masyarakat Thailand” menampilkan:
Asst. Prof. Dr. Arthit Thong-in (Universiti Sukhothai Thammathirat)
Assoc. Prof. Dr. Sarawut Arees (Pengarah Pusat Kajian Muslim, Universiti Chulalongkorn)
Paderi Dr. Bancha Chotiwanaporn (Pengarah Program Pengajian Teologi dan Pastoral)
Panel ini menyorot pentingnya pendidikan awam, media yang beretika dan gerakan antara agama dalam membina kesedaran yang adil mengenai isu Palestin.
Majlis ditutup dengan ucapan penutup oleh Dr. Anan Chai Thaiprathan, Pengerusi Majlis Rangkaian Bantuan Kemanusiaan, Pejabat Sheikhul Islam Thailand yang menyeru agar solidariti Asia terhadap Palestin terus diperkukuh melalui pelbagai platform.
Rakaman syarahan khas boleh ditonton di paparan tertera.
CYBERJAYA, 5 Disember 2025 – Bertempat di Dewan Semarak, Cyberjaya, satu anjakan paradigma dalam memperkasa ekonomi golongan wanita telah dizahirkan menerusi penganjuran Seminar Ekonomi Wanita MADANI oleh Pekawanis. Program yang berlangsung bermula jam 8:00 pagi hingga 1:00 tengah hari ini telah berjaya menghimpunkan ratusan peserta yang terdiri daripada usahawan, surirumah, dan belia dari sekitar daerah […]
Menghidupkan Syura, Memperkukuh Amal Jama‘iyy, Mempersatukan Umat MUKADIMAHTahun 2026 dan Panggilan Tanggungjawab Bismillāhirraḥmānirraḥīm.Saudara-saudari pimpinan dan seluruh warga Gerakan WADAH yang saya kasihi. Kita melangkah ke tahun 2026 dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu. Perpecahan umat semakin ketara, politik kebencian semakin menular, dan suara hikmah sering tenggelam dalam lautan emosi. Dalam suasana inilah Allah SWT […]
PUTRAJAYA, 28 Disember 2025 – Himpunan Gerakan Islam Malaysia (HIKAM) hari ini melakar sejarah penting dalam landskap dakwah negara melalui penganjuran Forum Masyarakat Madani: Menolak Ketaksuban, Mempromosi Hikmah Melalui Asas Islam Rahmah (AISAR). Program yang berlangsung di Dewan Abdullah Bukhari, Kompleks Nasyrul Qur’an ini telah menjadi medan pertembungan idea yang progresif bagi menangani isu ekstremisme […]
Seberang Jaya, 29 November 2025 — Muktamar Nasional WADAH kali ke-19 (MUKNAS19) berlangsung dengan penuh signifikan apabila Presiden WADAH Pencerdasan Umat, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, menyampaikan amanat bertema “Malaysia Memimpin: Agenda Islah, Ketahanan Tamadun dan Tajdid Ummah”. Amanat ini merupakan satu rangka pemikiran besar yang menegaskan peranan Malaysia sebagai negara berwibawa, beradab dan […]