Presiden WADAH Tekankan Matlamat Kebangkitan Ummah di Program Marhaban Ya Ramadhan
Dalam ucapan khasnya, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Dato’ Ahmad Azam Abd Rahman menegaskan tiga matlamat utama dalam memperkukuh kebangkitan ummah, iaitu menangani kejahilan dengan mendalami ilmu al-Quran, menangani kemiskinan bagi menghindari kesan negatif terhadap kehidupan sosial, dan menangani perpecahan dalam masyarakat demi mewujudkan kesatuan yang utuh. Beliau turut menekankan bahawa bulan Ramadhan bukan sekadar ibadah puasa semata-mata, tetapi juga satu bulan yang mendidik jiwa untuk menjadi lebih prihatin terhadap isu-isu sosial dan kebajikan.
Beliau mengingatkan bahawa kemiskinan adalah cabaran besar dalam masyarakat, kerana kemiskinan boleh menghampiri kekufuran. Ramai dalam kalangan orang miskin yang mudah terpengaruh untuk meninggalkan agama kerana tekanan hidup. Oleh itu, usaha membantu mereka yang kurang berkemampuan perlu digiatkan agar tiada individu yang kelaparan dan terabai. Presiden WADAH turut mengajak masyarakat untuk lebih prihatin terhadap isu sosial, mengambil pengajaran daripada Surah Al-Ma’un, dan memastikan kebajikan mereka yang memerlukan sentiasa diutamakan.
Kepentingan Perpaduan Masyarakat
Dalam ucapannya, beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dalam masyarakat. Perbezaan pasti ada, namun ia tidak seharusnya menjadi punca perpecahan yang boleh melemahkan ummah. Beliau menggesa agar umat Islam bersatu dalam melakukan kebaikan, berpegang teguh kepada al-Quran, serta tidak membesarkan perbezaan kecil sehingga merosakkan ukhuwah. Menurutnya, generasi Khairul Ummah hanya dapat dibentuk apabila umat Islam bersatu dalam kebajikan dan keilmuan.
Presiden juga mengingatkan bahawa program seperti Marhaban Ya Ramadhan ini bertujuan menyemarakkan kecintaan kepada agama serta membina keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan. Beliau berharap agar Ramadhan kali ini lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, dengan lebih banyak inisiatif kebajikan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Selepas ucapan Presiden WADAH, tayangan video khas mengenai Pusat Tunas Nahdah telah ditayangkan bagi memberi pendedahan mengenai inisiatif pendidikan dan kebajikan yang dijalankan Pusat Tunas Nahdah. Seterusnya, berlangsung pelancaran Kempen Infaq Salam Ramadhan, dengan acara simbolik pemotongan riben gulungan banting sebagai tanda perasmian kempen infaq ini.
“Marhaban Ya Ramadhan” di Anjung Rahmat, Sungai Merab
Kajang, 22 Februari 2025 – Dalam usaha menyemarakkan kedatangan bulan suci Ramadhan, Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Merab telah menganjurkan program khas bertemakan “Marhaban Ya Ramadhan 2025 | 1446H” pada 22 Februari 2025 di Anjung Rahmat, Sungai Merab, Bangi.
Program ini bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat setempat serta menghayati keberkatan Ramadhan dengan pelbagai pengisian menarik. Acara telah dimulakan seawal pukul 4:00 pagi dengan ketibaan para sukarelawan terdiri dariapda penduduk kampung, petugas sekretariat WADAH Pusat, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Yatim / Miskin Rukaiyah diikuti sesi lapah dan rewang pada pukul 7:30 pagi. Aktiviti memasak bermula pada pukul 8:30 pagi sebelum para hadirin menikmati jamuan makan tengah hari yang dijadualkan pada pukul 11:30 pagi.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan oleh Ketua Kampung Sungai Merab, Tuan Hj Mohamad Aris bin Said, yang menekankan pentingnya semangat gotong-royong dalam masyarakat bagi memastikan kesejahteraan bersama. Beliau menegaskan bahawa Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi bulan untuk membina kesedaran tentang keperluan membantu mereka yang kurang berkemampuan. Ketua Kampung juga menyeru agar komuniti terus berganding bahu dalam menjalankan aktiviti kebajikan dan memastikan keberkatan Ramadhan dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Cabutan Bertuah dan Pemberian Hamper
Majlis ini turut dimeriahkan dengan sesi cabutan nombor bertuah yang diadakan setiap dua jam bermula jam 10 pagi. Nombor cabutan diberikan kepada peserta ketika mendaftar kehadiran, dan pemenang berpeluang membawa pulang hadiah berupa hamper makanan dan barangan dapur. Sesi ini bukan sahaja menceriakan suasana majlis, tetapi juga sebagai tanda penghargaan kepada para peserta yang hadir.
Selain itu, seramai 10 orang golongan orang kurang upaya (OKU) turut menerima sumbangan berbentuk bakul makanan bagi meringankan beban perbelanjaan mereka dalam menyambut bulan Ramadhan yang mulia. Bantuan kemanusiaan ini merupakan hasil sumbangan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), yang komited dalam usaha membantu golongan yang memerlukan.
Turut dipetik dalam poster program adalah firman Allah SWT:
“Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang benar dan yang batil). Maka barang siapa di antara kamu yang menyaksikan (bulan itu), hendaklah ia berpuasa…” (Surah Al-Baqarah, 2:185)
Semoga program ini dapat memberi manfaat yang besar kepada masyarakat dalam menghayati keberkatan bulan Ramadhan. Diharapkan agar inisiatif seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang, bagi memperkukuh semangat kebersamaan dan budaya infaq dalam kalangan umat Islam.
Rakaman Perjalanan Majlis boleh ditonton dalam paparan yang tertera.
WADAH Kukuhkan Persaudaraan, Santuni Muallaf Outreach Oasis Bukit Bintang Menjelang Aidilfitri Bukit Bintang, 23 Mac 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) telah menganjurkan Majlis Sumbangan Hari Raya Aidilfitri bertempat di Outreach Oasis Bukit Bintang (OOBB), sempena menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tiba. Seramai 60 orang muallaf dari sekitar kawasan Bukit Bintang […]
Ihsan MADANI: WADAH Santuni Pesakit di PPUM dan Hospital Cyberjaya Melalui Hospital Visit Petaling Jaya, 19 Mac 2025, Cyberjaya, 25 Mac 2025 – Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) dengan kerjasama Yayasan Taqwa telah menganjurkan Program Ziarah Hospital bertempat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Cyberjaya sempena bulan Ramadan ini. Lawatan ini juga selari […]
Presiden WADAH antara jemputan Perdana Menteri Kemboja ke Program Iftar Ramadan Muslim Kemboja ke-9 Phnom Penh, 24 Mac 2025 – Sebagai tanda penghargaan terhadap usaha dan sumbangan dalam pembangunan masyarakat Islam di peringkat antarabangsa, Perdana Menteri Kemboja telah menjemput Dato’ Ahmad Azam Ab Rahman, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) sebagai salah seorang jemputan untuk […]
Sumbangan Pek Ceria Raya WADAH Bantu Golongan OKU Sekitar Bangi Bangi, 23 Mac 2025 – Seramai 30 penerima dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dari sekitar Bangi dan kawasan berhampiran telah menerima sumbangan Pek Ceria Raya dalam satu majlis anjuran Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) melalui program Pusat Tunas Nahdah. Serahan pek berlangsung di Surau […]